Arkib Tag: pelancaran

Zontes 368G ADV: Kami dah cuba skuter ini di China

Berita baik buat para peminat skuter kembara, pihak Zontes Malaysia mengesahkan model Zontes 368G ADV bakal memasuki pasaran Malaysia awal tahun 2025.

 

Spesifikasi

Mengikut spesifikasi, Zontes 368G ADV ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal sejukan cecair SOHC berkuasa 38 hp @ 7,500 rpm dan daya kilas 40 Nm @ 6,000 rpm, dengan dua mod tersedia iaitu Eco dan juga Sport.

Aspek tunggangan dibantu dengan penggunaan suspensi fork hadapan jenis terbalik (USD) 41 mm dengan larasan mampatan/lantunan, penyerap hentak berkembar di belakang dengan larasan pra-bebanan, dan sistem brek J.Juan.

Ia juga turut dilengkapi sistem ABS dua saluran, kawalan cengkaman serta sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS) sebagai ciri standard.

Skuter ADV ini mendapat tangki sebesar 17.5 liter, storan bawah pelana yang boleh memuatkan dua helmet full-face, penghadang angin boleh laras lima tahap, serta tinggi pelana 790 mm (atau 770 mm untuk versi lebih rendah).

Segala info penting serta tetapan fungsi-fungsi tambahan anda boleh akses menerusi skrin paparan TFT bersaiz lapan inci.

Menariknya, pihak Zontes turut menawarkan beberapa aksesori standard untuk model 368G ADV ini.

Seperti contoh, terdapat crash bar dan pelindung tangan pada bar hendal, serta lampu kabus dengan beberapa tetapan suluhan tersedia bagi melengkapkan imej skuter ADV yang sangat bergaya.

Untuk keselesaan penunggang, 368G ini turut dipasangkan dengan fungsi pemanas grip bar hendal yang sangat berguna semasa membuat perjalanan pada musim sejuk/hujan.

Akhir sekali, terdapat kamera perakam tunggangan (dashcam) untuk bahagian depan dan belakang menggunakan penderia Sony Starvis yang mampu merakam video HD 1080p dan storan sebesar 128 GB.

 

Pandang pertama

Kami berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat dan menguji kemampuan skuter ADV ini sewaktu menghadiri lawatan ke kilang Zontes yang terletak di Jiangmen, China, minggu ini.

Dari pandang pertama, para peminat skuter kembara mungkin akan jatuh cinta terus melihatkan kepada imejnya yang sangat bergaya, lengkap dengan crash bar, lampu kabus, dan rim jenis lidi (17 inci depan, 14 inci belakang).

Kami juga amat tertarik kerana rekaan lantai yang agak luas, menyediakan beberapa posisi tunggangan yang lebih selesa, serta kehadiran tempat pemijak kaki tambahan pada bahagian tengah untuk memudahkan pemilik membuat aksi tunggangan berdiri di laluan off-road.

Berdasarkan tunggangan untuk tempoh beberapa jam, apa yang kami boleh katakan skuter Zontes 368G ADV ini mampu menawarkan hamburan kuasa yang cukup baik dan mudah untuk dikawal, di mana penulis tidak memerlukan masa yang lama untuk membiasakan diri dengan respons pendikit skuter ini.

Dimensinya yang tidak terlalu lebar membuatkan skuter ini boleh dikawal dengan lebih meyakinkan terutama ketika sedang mencelah di tengah-tengah kesesakan trafik ibu kota.

Prestasi brek juga tidak mengecewakan, dan yang paling penting, dengan sistem suspensi yang sedikit keras ini anda boleh menikmati pengalaman tunggangan yang sedikit agresif apabila bertembung dengan mana-mana selekoh di jalan lama.

Bagi mereka yang masih lagi skeptikal dengan motosikal buatan China, Zontes 368G ini boleh membuatkan anda terdiam seketika.

Dengan kualiti pemasangan yang mengkagumkan, anda sukar untuk mencari mana-mana bahagian yang longgar atau mempunyai kemasan yang cincai, bahkan semasa menunggang boleh dikatakan tiada gegaran ketara yang boleh buatkan kita ‘hilang stim’ untuk terus menunggang.

Skrin paparan TFT yang cukup besar itu amat mudah untuk dibaca walaupun ketika melakukan kembara di bawah sinaran mentari yang terik pada waktu tengah hari.

Satu lagi perkara yang membuatkan kami teruja ialah kualiti paparan rakaman dashcam yang cukup tajam dan jelas untuk menangkap segala bukti-bukti yang diperlukan sekiranya anda (mintak simpang 44) berdepan dengan situasi yang tidak diingini.

 

Harga

Kami diberitahu harga jualan Zontes 368G ADV ini akan berada sekitar RM28 ribu apabila ia mula dijual pada tahun hadapan.

Satu harga yang cukup berbaloi dengan spesifikasi dan ciri yang dimuatkan pada jentera kembara ini, dan mampu membuatkan para pemilik Honda ADV350 rasa tergugat.

Mitsubishi Triton 2025, platform & enjin baharu, lima varian, dari RM102k

Mitsubishi Motors Malaysia selesai melancarkan trak pikap generasi baharu Mitsubishi Triton untuk pasaran tempatan.

Ia boleh didapati dalam lima varian utama, terdiri daripada empat varian kabin berkembar dan satu varian kabin tunggal yang dikhaskan untuk kerja-kerja berat.

Menggunakan platform serba baharu yang lebih tegar, Triton 2025 menawarkan ukuran dimensi yang lebih besar, dengan panjang 5,360 mm (+55 mm), lebar 1,930 mm (+115 mm), tinggi 1,815 mm (+35 mm) dan jarak antara roda 3,130 mm (+130 mm).

Secara standard, Triton didatangkan dengan suspensi jenis double wishbone di depan, diikuti spring dedaun di belakang yang dibantu dengan talaan untuk aspek pengendalian dan keselesaan yang lebih baik.

Selain platform baharu, Triton juga hadir dengan enjin diesel baharu MIVEC kod 4N16, dengan kuasa 181 hp @ 3,500 rpm dan daya kilas 430 Nm @ 2,250-2,500 rpm.

Varian tertinggi Athlete mendapat tetapan turbo dua tahap dengan piawaian Euro 5, dengan kuasa setinggi 204 PS @ 3,500 rpm dan daya kilas 470 Nm @ 1,500-2,750 rpm.

Selain itu, varian Athlete turut mendapat sistem stereng elektronik (EPS) dan juga sistem 4WD Super Selec II yang menawarkan sehingga tujuh mod pemanduan (Normal, Eco, Gravel, Sand, Mud, Snow, Rock).

Hanya dua varian terendah (termasuk varian kabin tunggal) dilengkapi dengan kotak gear manual enam kelajuan, manakala selebihnya hadir dengan kotak gear automatik 6-kelajuan.

Triton baharu kini menampilkan bahasa rekaan Dynamic Shield yang dipertingkatkan dengan pendekatan “Beast Mode”.

Ciri luaran termasuklah lampu utama LED, lampu nyalaan siang (DRL) LED, rim 18 inci (16 inci untuk varian rendah), diikuti dengan grafik berbentuk T pada lampu belakang.

Ruang kabin pula menggunakan konsep Horizontal Axis yang lebih moden, menampilkan meter analog, skrin MID LCD tujuh inci, skrin sentuh tengah dengan sokongan Apple CarPlay/Android Auto, enam pembesar suara kawalan iklim dua zon, corong penyejuk udara untuk penumpang baris kedua, tempat duduk balutan leatherette premium, roda stereng balutan kulit, serta tombol gear balutan kulit.

Varian asas mendapat sistem audio yang lebih ringkas dengan 4 pembesar suara, tempat duduk fabrik, diikuti dengan roda stereng dan tombol gear urethane.

Dari segi keselamatan, Mitsubishi Triton mendapat sehingga tujuh beg udara, ABS, EBD, Bantuan Mula Mendaki, Kawalan Kestabilan Aktif, Bantuan Menurun Cerun (HDC), serta kelengkapan keselamatan termaju seperti Sistem Mitigasi Pelanggaran Hadapan, Kawalan Jelajah Adaptif (ACC), Amaran Titik Buta (BSM), Amaran Penukaran Lorong (LCA), Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA) dan Bantuan Suluhan Tinggi (AHB).

Untuk pasaran tempatan, harga jualan Mitsubishi Triton 2025 adalah seperti berikut:
Triton Single Cab (MT) – RM101,980
Triton GL (MT) – RM114,980
Triton GL (AT) – RM116,980
Triton Premium (AT) – RM145,980
Triton Athlete (AT) – RM165,980

Secara standard, Mitsubishi Triton 2025 datang dengan jaminan pengeluar selama lima tahun atau had perbatuan 200,000 km (yang mana tiba dahulu), kecuali Mitsubishi Triton Athlete yang hadir dengan jaminan tanpa had perbatuan selama lima tahun, sah untuk pendaftaran sehingga 31 Disember 2024 sahaja.

Mitsubishi Triton Single Cab 2025

10 EV paling gempak yang dilancarkan di Malaysia pada 2023 – Bhg 2

TINGGAL beberapa hari sahaja lagi sebelum tahun 2024 membuka tirainya dan berdasarkan pengamatan kami, tahun ini menyaksikan pasaran kenderaan elektrik (EV) di Malaysia terus berkembang dengan kehadiran pelbagai model baharu.

Dalam artikel ini, kita akan mengimbas kembali 10 EV paling menarik perhatian yang masuk ke pasaran negara ini sepanjang tahun ini. Perlu diingatkan yang senarai ini tidak mengikut turutan dan ia adalah pilihan peribadi penulis.

Tesla Model 3 Highland

Model 3 facelift atau lebih dikenali sebagai Highland, dilancarkan tidak lama selepas Tesla mengumumkan kemasukannya ke Malaysia menerusi Model Y.

Sedan elektrik ini boleh dikatakan EV yang paling dinanti-nantikan tahun ini, dan ini bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana ia tampil lebih handsome, dengan pelbagai penambahbaikan dan harga yang amat menggoda.

Sayangnya, kami belum berpeluang memandu model ini namun apa yang pasti, pengalamannya pasti berbeza dengan EV lain kerana batang signalnya digantikan dengan butang, manakala gear perlu dipilih menerusi skrin sentuh.

Audi e-tron GT

Tidak seperti kembarnya iaitu Porsche Taycan, Audi e-tron GT boleh membuatkan anda rasa seperti seorang filantropi yang melawan makhluk asing jahat dengan sut robot yang cool.

e-tron GT adalah antara EV yang paling memikat dalam pasaran dan prestasinya juga telah terbukti semasa sesi pandu uji yang diadakan di Litar Antarabangsa Sepang tempoh hari.

Untuk pasaran Malaysia, anda boleh mendapatkan e-tron GT dalam versi asas atau versi RS yang mempunyai kuasa yang lebih tinggi, rear differential lock, stereng gandar belakang dan sistem suspensi udara.

Mercedes-Benz EQS SUV

Mercedes-Benz Malaysia amat aktif memperkembangkan rangkaian EV mereka, kali ini dengan pelancaran satu lagi model iaitu EQS SUV.

Hadir dalam varian EQS 580 4Matic AMG Line, ia dilengkapi dengan bateri berkapasiti 107.8 kWj yang menawarkan jarak pandu sejauh 615 km dengan satu cas penuh. Pengecasan pantas DC 200 kW membolehkan bateri dicas dari 10 hingga 80 peratus dalam 31 minit.

Ciri-ciri lain yang menjadi tarikan termasuk kit badan AMG Line, rim AMG berukuran 22 inci, sistem infohibur MBUX dengan Hyperscreen dan sistem suspensi udara Airmatic.

BMW i7

Anda boleh kata apa sahaja mengenai rekaan bahagian luaran i7, namun ia merupakan EV paling berkuasa dan pantas pernah dihasilkan oleh BMW pecutan 0-100 km dalam 3.7 saat bagi varian M70.

Dalam versi xDrive60 M Sport, limosin elektrik ini mempunyai 544 PS dan 745 Nm yang membolehkan melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 4.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 240 km/j. Jarak pandunya juga mengagumkan iaitu 625 km.

Jika prestasi bukan keutamaan anda, i7 masih menawarkan keselesaan dan kemewahan yang sudah boleh dijangka dengan 7 Series. Ada pelbagai gajet dan teknologi baharu, termasuk skrin teater sebesar 31.3 inci untuk penumpang belakang.

Hyundai Ioniq 6

Berikutan sambutan yang menggalakkan untuk Ioniq 5, Hyundai mengambil keputusan untuk membawa masuk satu lagi model EV iaitu Ioniq 6.

Sedan dengan rekaan streamliner ini boleh didapati dalam varian Max RWD dan Max AWD, masing-masing menawarkan jarak pandu sejauh 614 km dan 519 km, dengan harga jualan dari RM289,888 hingga RM319,888.

Jika ini agak mahal, Hyundai turut menawarkan varian Lite dan Plus yang berharga dari RM219,888. Kelengkapannya tidak jauh berbeza namun kedua-dua varian ini mempunyai kuasa yang lebih rendah, manakala jarak pandunya juga lebih dekat iaitu 429 km.

10 EV paling gempak yang dilancarkan di Malaysia pada 2023 – Bhg 1

TINGGAL beberapa hari sahaja lagi sebelum tahun 2024 membuka tirainya dan berdasarkan pengamatan kami, tahun ini menyaksikan pasaran kenderaan elektrik (EV) di Malaysia terus berkembang dengan kehadiran pelbagai model baharu.

Dalam artikel ini, kita akan mengimbas kembali 10 EV paling menarik perhatian yang masuk ke pasaran negara ini sepanjang tahun ini. Perlu diingatkan yang senarai ini tidak mengikut turutan dan ia adalah pilihan peribadi penulis.

Lotus Eletre

Ada banyak sebab untuk menyukai Eletre, sama ada anda peminat Lotus atau tidak. Pertama sekali, ia merupakan SUV produksi pertama bagi jenama yang terkenal dengan kereta sport kecil dan ringan itu.

Ia mungkin sebuah SUV elektrik, namun Eletre tidak mempunyai sebarang masalah untuk bersaing dengan jentera-jentera ICE Lotus yang sedia ada dengan kuasa sebanyak 905 hp/985 Nm dalam versi yang paling berkuasa.

Rekaan luarannya mungkin kelihatan terlalu agresif untuk sesetengah orang, namun ruang dalamannya tidak ubah seperti kokpit kapal angkasa lepas.

Smart #1

Setelah diacah selama beberapa bulan, smart #1 akhirnya dilancarkan pada November lalu, dengan tiga pilihan varian dan harga jualan dari RM189,000 hingga RM249,000.

Sudah tentu anda di antara anda yang akan kata “lebih baik beli…” namun dengan model ini, apa yang anda bayar, itulah yang anda dapat. Dalam erti kata lain, ia cukup premium dan spesifikasinya sangat menarik.

Varian Pro dan Premium tidak kurang hebatnya, dengan prestasi pecutan 0-100 km/j dalam 4.4 saat dan jarak pandu sejauh 440 km. Jika ini tidak cukup, ada varian Brabus yang tampil lebih sporty dengan tema merah dan dua motor elektrik.

BYD Dolphin

Dolphin merupakan model kedua BYD yang tiba di Malaysia selepas Atto 3. Dengan harga jualan yang bermula di bawah paras RM100,000, ia juga merupakan antara EV paling mampu milik dalam pasaran.

Sesuai dengan namanya, reka bentuk luaran Dolphin agak comel, diserikan lagi dengan signatur lampu LED yang menarik di belakang. Ruang dalamannya pula kelihatan unik dengan rekaan papan pemuka yang funky dan tema warna yang meriah.

Selain jarak pandu yang memuaskan (410 km hingga 490 km, NEDC), apa yang menarik tentang Dolphin adalah jumlah kelengkapan standard yang disertakan yang termasuk Apple CarPlay wayarles, skrin sentuh berputar 12.8 inci dan ADAS.

Rolls-Royce Spectre

Coupe elektrik ultra-mewah ini tiba di Malaysia pada September lalu sebagai EV paling mahal di negara ini dengan harga bermula dari RM2 juta tidak termasuk opsyen.

Jika enjin V12 yang digunakan pada Ghost, Dawn dan model-model lain pun sudah dikatakan cukup senyap, bayangkan Rolls-Royce tanpa enjin pembakaran dalaman.

Dengan bateri berkapasiti 102 kWh, Spectre boleh dipandu sejauh 520 km dengan satu cas penuh. Pengecasan 10-80 peratus boleh dicapai dalam hanya 34 minit dengan menggunakan pengecas DC 195 kW. Apa yang menarik, ia Spectre merupakan kereta coupe dua pintu pertama Rolls-Royce yang didatangkan dengan rim 23 inci.

BMW iX M60

Merupakan model SAV elektrik yang sulung dalam portfolio BMW M, iX M60 dipacu oleh dua motor elektrik yang menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 619 PS dan 1,015 Nm.

Jika jumlah tork itu tidak cukup tinggi,fungsi Launch Control akan meningkatkannya kepada 1,100 Nm bagi membolehkan jentera ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.8 saat. Kelajuan maksimum pula adalah 250 km/j.

Pek bateri litium-ion berkapasiti 105.2 kWj boleh memberikan jarak pandu sejauh 561 km namun dengan tujahan kuasa yang cukup menggoda itu, rasanya tidak ramai pemilik yang boleh mencecah 500 km sekali cas.

Senarai kereta yang dilancarkan sepanjang 2022 – mampu milik, ultra-mewah, prestasi tinggi, EV

TAHUN 2022 menyaksikan industri automotif di negara kita semakin meningkat rancak dan hampir kembali ke normal selepas pandemik beberapa tahun kebelakangan ini. Walaupun ekonomi di beberapa sektor belum pulih sepenuhnya, tetapi hidup masih diteruskan, dan industri automotif terus bergerak ke depan.

Kali ini kita akan lihatkan pelancaran-pelancaran kereta sepanjang 2022, dari kenderaan mampu milik hingga kenderaan ultra-mewah dan edisi terhad.

Dan walaupun semakin banyak kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) diperkenalkan, pengeluar juga tidak melupakan jentera prestasi tinggi naturally-aspirated seolah-olah bahan api fosil tidak akan habis.

Kami akan senaraikan kereta yang dilancar mengikut kronologi bulan. Jom!

JANUARI 2022

Porsche Macan facelift (Macan, Macan S, Macan GTS)

Volvo V60 Recharge T8

Volkswagen Passat R-Line

Honda Civic 2022

Toyota Corolla Cross Hybrid

Porsche Taycan GTS

Peugeot 2008

FEBRUARI 2022

BMW X3 facelift (sDrive20i, xDrive30e)

Volkswagen Golf GTi Mk8

Volkswagen Golf R Mk8

Toyota Camry facelift

McLaren Elva

Mercedes-Benz C-Class

MAC 2022

Mercedes-Maybach S580

Mercedes-Maybach GLS600

Lamborghini Aventador LP780-4 Ultimae

Hyundai Ioniq 5

MAN TGX

Mercedes-Benz EQA 250

Volvo XC40 Pure Electric

Volkswagen Tiguan Allspace (Elegance 1.4 dan R-Line 4Motion 2.0)

Ferrari 296 GTB

APRIL 2022

Lotus Emira

Mazda MX-5 RF

MEI 2022

Proton Saga MC2

BMW i4 M50

BMW M3 dan M4 Competition

BMW M5 facelift

JUN 2022

Proton X70 MC (facelift, enjin baharu)

Maserati Grecale

Lamborghini Huracan STO

Isuzu D-Max X-Terrain (kemaskini)

Kia EV6

Jaguar F-Pace facelift

Maserati MC20

Mazda MX-30

Mercedes-AMG A35 Sedan

Mazda CX-8 (facelift, enjin baharu)

JULAI 2022

Ferrari 296 GTS

Audi A5 Sportback

Audi Q5 Sportback S Line

Nissan Serena S-Hybrid facelift

Honda HR-V 2022

BMW 3-Series facelift (320i, 330i M Sport)

Perodua Alza 2022

Mercedes-Benz EQS450+

Ford Ranger 2022

Kia Carnival CKD (8-seater, 7-seater)

OGOS 2022

Mitsubishi Triton Phantom Plus

Proton Exora facelift

SEPTEMBER 2022

Audi RS Q8

Land Rover Defender 90

Ford Everest 2022

Perodua Ativa Subscription

BMW 5-Series Limited Edition

OKTOBER 2022

Mazda CX-3 (facelift, enjin baharu)

Ford Ranger Raptor

Audi RS3

Hyundai Staria 10-seater

Audi A3 Sedan

Toyota Harrier facelift

Toyota Veloz

Chery OMODA 5

Chery Tiggo Pro

Bentley Flying Spur Hybrid

BMW X7 xDrive40i M Sport

NOVEMBER 2022

Honda Civic e:HEV RS

Ora Good Cat EV

DISEMBER 2022

Porsche 718 Cayman GT4 RS

BYD Atto 3 EV

Volvo C40 Pure Electric EV

7 pelancaran kereta pilihan Engear sepanjang 2021

WALAUPUN 2021 ditemani dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama beberapa bulan dan kilang-kilang serta pusat pengedar terpaksa menghentikan operasi mereka, ini tidak bermakna pengeluar tidak membawa masuk model-model baharu ke pasaran kita.

Pelancaran model-model sepanjang 2021 dibuat secara fizikal seperti biasa dan ada masanya dibuat secara maya (online).

Banyak model-model menarik dan mengujakan dilancarkan tahun ini, dan kali ini, kami ingin senaraikan tujuh (7) pelancaran kereta yang kami rasa anda wajib tahu.

Senarai ini hanyalah pilihan peribadi penulis dan ia disusun mengikut kronologi dari awal hingga hujung tahun.

1. Proton Iriz dan Saga R3 Limited Edition

Kita mulakan dengan pengeluar nasional pertama kita, iaitu Proton. Pada 18 Februari 2021, Proton memperkenalkan Iriz dan Saga versi R3 Limited Edition.

Bagi kami, ia wajar masuk senarai ini kerana pelancaran itu sedikit sebanyak mengubat kerinduan peminat terhadap produk R3 dari Proton.

Walaupun R3 Limited Edition ini lebih kepada kosmetik dan tiada penambahbaikan dari segi prestasi, sekurang-kurangnya lebih baik ada dari tiada langsung, bukan? Dan mungkin juga kita boleh harapkan lebih banyak lagi model Proton menerima sentuhan R3 di masa depan, terutamanya dari segi prestasi.

2. Perodua Ativa

Nombor dua dalam senarai kita ialah Perodua Ativa. Tidak dinafikan lagi Ativa menjadi antara model terpenting buat Perodua dan menjadi perhatian seluruh negara dan peminat automotif khususnya.

Ini kerana ia bukan sahaja menandakan kembalinya Perodua dalam segmen SUV setelah lebih sedekad menghilang, Ativa juga merupakan model turbo pertama pengeluar itu. Selain itu, Ativa mendapat banyak teknologi terkini dari segi casis, enjin, kotak gear dan sistem keselamatan.

3. BMW iX

Seterusnya kita beralih pula ke jenama premium, dan model pilihan kami ialah BMW iX. Sebenarnya BMW melancarkan agak banyak model ke Malaysia tahun ini seperti 5-Series baharu, M3 dan M4 serta beberapa model facelift.

Namun iX menunjukkan langkah BMW yang seterusnya iaitu ke arah elektrifikasi. Ya, BMW iX merupakan sebuah SUV elektrik sepenuhnya dengan kuasa sekitar 240kW (322hp) dan mampu memecut dari pegun ke 100km/j dalam hanya 6.1 saat. Ia juga menawarkan jarak pemanduan sehingga 425km untuk setiap caj.

4. Suzuki Jimny

Suzuki Jimny pula sebuah ikon dan generasi terkini dilancarkan di Malaysia pada 2021 walaupun pasaran kita tidak mendapat model generasi sebelum ini.

Kenderaan 4×4 kecil ini merupakan model kedua yang dilancarkan setelah Suzuki kembali ke Malaysia di bawah naungan baharu iaitu Naza.

Ia ditawarkan pada harga agak tinggi iaitu hampir RM170k tetapi orang tidak beli Jimny ini kerana spesifikasi dan praktikaliti, sebaliknya atas faktor cool. Lihat sahaja bentuknya yang bersegi, flared fender, dan warna terang, pasti menarik perhatian.

5. Hyundai Staria

Kita ke jenama Korea pula, perkenalkan Hyundai Staria. Walaupun MPV besar ini bukan disasarkan pada pembeli umum, tetapi ia menjadi perhatian kerana penampilannya yang nampak sangat futuristik.

Ditambah pula dengan Hyundai yang mensasarkan Staria untuk bersaing dengan MPV mewah seperti Toyota Alphard dan Vellfire, ia menimbulkan perdebatan di kalangan netizen yang memberi pandangan serta pendapat masing-masing.

Dan entah bagaimana, video Hyundai Staria kami di Facebook mendapat jumlah tontonan begitu tinggi, kini sudah melebihi 1,000,000 view! Hyundai Staria dijual pada harga sekitar RM360k.

6. Perodua Myvi

Kembali ke jenama tempatan, kali ini, King atau Perodua Myvi! Siapa yang tidak kenal, dan mana mungkin terlepas dari masuk ke senarai ini.

Bukan hanya kerana ia sebuah Myvi iaitu kereta paling popular di Malaysia, tetapi kerana facelift kali ini membawakan penambahan cukup signifikan.

Rupa luarannya diperbaharui sedikit, dan perubahan terbesar adalah di bahagian yang kita tidak nampak iaitu kotak gear D-CVT baharu serta ciri keselamatan, kini dengan ASA 3.0.

King akan terus bertakhta.

7. Honda City Hatchback

Akhir sekali, sebuah model bukan jenama tempatan tetapi turut mendapat perhatian umum iaitu Honda City Hatchback. Model popular kegemaran para fresh grad sebagai simbol kejayaan ini kini ditawarkan dalam versi hatchback, menggantikan Honda Jazz yang ditamatkan pengeluarannya.

Honda City Hatchback berkongsi hampir semua spesifikasi teknikal dengan versi sedan yang dilancarkan pada 2020, cuma buat pertama kali, ditawarkan dengan bentuk badan seperti ini. Ia juga bersaing terus dengan Toyota Yaris yang diasaskan dari model Vios.

 

Jom rebut peluang memiliki sebuah kereta jenis Suzuki Swift. – Foto ihsan Suzuki

Sekian sahaja tujuh pelancaran pilihan kami untuk tahun 2021. Ada lagi beberapa pelancaran lain yang tidak kurang menariknya iaitu Toyota Corolla Cross, Suzuki Swift Sport, dan Proton Persona serta Iriz facelift.

Di segmen premium pula, kita menyaksikan pengenalan Volkswagen Arteon R-Line, Land Rover Defender, Hyundai Palisade, dan Mercedes-Benz S-Class.

Dan untuk segmen kereta impian atau sports dan supercar, Malaysia telah menerima ketibaan Ferrari SF90 Spider dan Porsche 911 GT3 baharu.

Nantikan artikel kompilasi kami yang seterusnya esok!