Ulangtahun BMW M ke-50: Lima model M baharu untuk pasaran Malaysia
BERSEMPENA dengan ulangtahun BMW M yang ke-50 hari ini, BMW Malaysia menyambutnya dengan memperkenalkan lima model berprestasi tinggi baharu. Model-model itu adalah M3 Competition, M4 Competition Sedan dan Coupe, M5, M5 Competition, serta i4 M50 yang merupakan model M elektrik sepenuhnya yang pertama.
Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkata: “Dalam kita mengorak langkah ke depan, kami juga berfikir tentang prestasi dan identiti BMW M.”
“Saya rasakan ini masa paling sesuai (jubli emas atau ulangtahun ke-50) untuk mempersembahkan BMW i4 M50 yang pertama kepada pelanggan-pelanggan kami di Malaysia.”
BMW M3 Competition dan BMW M4 Competition kini dengan M xDrive
Model M3 Competition dan M4 Competition menjadi pasangan pertama yang menerima sistem pacuan semua-roda xDrive yang khas untuk kenderaan M.
Nadi kepada kedua-dua M3 dan M4 ini ialah enjin 3.0-liter enam-silinder sebaris dengan turbo BMW M TwinPower, menjana 510hp dan 650Nm tork.
Kuasa disalurkan melalui kotak gear automatik 8-kelajuan dengan M Steptronic, Drivelogic dan sistem xDrive. Ini membolehkan M3 dan M4 memecut ke 100km/j dalam hanya 3.5 saat.
Sistem pacuan semua-roda M xDrive ditala agar lebih kepada pacuan roda belakang dalam pemanduan biasa, tetapi hanya menghantar kuasa ke gandar depan apabila diperlukan.
BMW M5 dan M5 Competition – The Ultimate Driving Machines
BMW M5 kini dalam generasi keenam dan dengan saiz sedan besar empat pintu, ianya menawarkan praktikaliti untuk pemanduan seharian tetapi masih mempunyai prestasti tinggi, mampu mencatat masa yang pantas di litar-litar seperti Nurburgring Nordschleife.
BMW M5 ini dikuasakan oleh enjin 4.4-liter V8 dengan M TwinPower Turbo yang mampu menjana 600hp dan 750Nm tork. M5 Competition pula mendapat talaan lebih kuasa, iaitu sehingga 625hp, tetapi tork kekal pada 750Nm.
Pecutan ke 100km/j adalah 3.4 saat untuk M5, dan 3.3 saat bagi M5 Competition. Kelajuan maksima pula adalah dihadkan pada 250km/j untuk M5, tetapi 305km/j untuk M5 Competition.
Kedua-dua sedan ini dilengkapi kotak gear automatik 8-kelajuan M Steptronic dengan Drivelogic, suspensi adaptif, sistem pacuan M xDrive, casis dipertingkat, penyerap hentak baharu, dan lencana-lencana M di beberapa bahagian badan.
Bersempena dengan ulangtahun ke-50 ini juga, M5 dan M5 Competition ini datang standard dengan emblem “BMW M 50 Years”.
M bertemu i: BMW i4 M50 yang pertama
BMW i4 M50 ialah kenderaan elektrik (EV) pertama dengan lencana M, dan ia akan hadir dengan emblem “BMW M 50 Years” sebagai standard.
Ciri lain pada i4 M50 termasuklah pakej kit badan M Aerodynamics, diffuser hitam, trim dalaman M dengan kemasan gentian karbon, tempat duduk M Sport, tali pinggang keledar M, dan bumbung kaca elektrik.
Dari segi mekanikal, BMW i4 M50 berkuasa menghasilkan 544hp (400kW) dan 795Nm tork, dengan pacuan semua roda, dan kemampuan pecutan ke 100km/j dalam hanya 3.9 saat. Kelajuan maksima pula dihadkan pada 225km/j.
Sistem powertrain BMW M eDrive ini mampu dipandu sehingga 510km dengan setiap caj penuh, dan boleh dicaj menggunakan AC atau DC. Melalui pengecasan AC, ia memerlukan 8 jam 15 minit untuk caj penuh tetapi dengan DC, tahap 80 peratus dapat dicapai dalam hanya 31 minit.
BMW i4 M50 mendapat jaminan bateri sehingga lapan tahun atau 160,000km.
Harga untuk kesemua jentera BMW M terbaharu di Malaysia adalah seperti berikut:
BMW M3 Competition: RM827,800
BMW M4 Competition: RM848,800
BMW M5: RM998,800
BMW M5 Competition: RM1,188,800
BMW i4 M50: RM430,800
Galeri BMW M3 Competition
Galeri BMW M4 Competition
Galeri BMW M5 Competition
Galeri BMW i4 M50
Sentiasa berdoa agar ICE dan transmisi manual akan kekal relevan dan takkan pupus. Lebih mementingkan keseimbangan dari kuasa semata.