APU juara cabaran kajian kes PROTON 2026, cari strategi jadikan EV kereta pertama Gen Z

PROTON Business Case Study Challenge

Pasukan Proton Neutron Electron dari Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU) muncul sebagai juara pertandingan PROTON Business Case Study Challenge (PBCSC) 2026.

Dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), pertandingan ini mencabar pelajar universiti merangka strategi untuk menjadikan kenderaan elektrik (EV) pilihan kereta pertama Generasi Z.

Rekod penyertaan

PROTON Business Case Study Challenge

Penganjuran tahun ini mencatat rekod 56 pasukan daripada universiti awam dan swasta seluruh negara, meningkat 33% berbanding tahun lalu.

Daripada jumlah itu, 18 pasukan mara ke peringkat akhir.

Senarai pemenang utama ialah:

  • Juara: Proton Neutron Electron, APU — RM10,000
  • Naib juara: Team Malaya Tigerz, Universiti Malaya — RM8,000
  • Tempat ketiga: Team Emas 3, Monash University Malaysia — RM5,000
  • Penyampai Individu Terbaik: Topaz Lim Jing Tai, APU — RM1,000

Anugerah Influencer PBCSC turut diperkenalkan buat kali pertama, dengan tiga pemenang diiktiraf atas kreativiti dan usaha mempromosikan pertandingan melalui platform digital.

Dedahkan pelajar kepada cabaran industri

Setiap pasukan terdiri daripada tiga pelajar tahun akhir, dengan maksimum dua pasukan bagi setiap universiti.

Peserta perlu menggunakan pengetahuan akademik untuk menghasilkan penyelesaian praktikal kepada cabaran perniagaan sebenar.

Memasuki tahun keempat, PBCSC berkembang daripada kerjasama dengan Persatuan Pelajar Malaysia di Beijing (AMSIB) pada 2023 kepada pertandingan universiti peringkat kebangsaan pada 2024.

PRO-NET pula meneruskan penglibatan untuk tahun kedua berturut-turut bagi menyokong tema EV.

Pertandingan ini turut menjadi platform PROTON mengenal pasti bakat baharu, di samping menyediakan pelajar untuk alam pekerjaan.

Usaha pembangunan bakat PROTON juga merangkumi sumbangan enjin kepada institusi pendidikan, kerjasama penempatan pekerjaan TVET dengan Institut PROTON serta Program Proton Young Talent yang melibatkan kira-kira 350 graduan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved