BYD Rawang dibuka – bukan sekadar bilik pameran EV, turut sokong artis tempatan
BYD Sime Motors terus memperluaskan rangkaian pengedarannya di Lembah Klang menerusi pembukaan bilik pameran baharu BYD Rawang.
Dikendalikan oleh BE Autohaus di bawah BE Group, cawangan ini merupakan bilik pameran BYD ketiga kumpulan tersebut selepas Setia Alam dan Kota Kemuning.
Pembukaan ini bertujuan memudahkan pelanggan di Rawang dan kawasan sekitarnya mendapatkan akses kepada rangkaian kenderaan elektrik (EV) BYD.
Seni bina Eropah
BYD Rawang menawarkan ruang pameran seluas 4,298 kaki persegi di atas tapak berkeluasan 10,803 kaki persegi.
Reka bentuk bangunannya diinspirasikan daripada seni bina Eropah dengan kemasan cerah serta elemen dekorasi berkonsepkan istana.
Bilik pameran ini mampu menempatkan sehingga lima buah kenderaan pada satu-satu masa.
Antara kemudahan yang disediakan termasuk ruang istirahat pelanggan dan bilik khas untuk penyerahan kenderaan baharu.
BE Group mula bekerjasama dengan BYD pada November 2022 menerusi pembukaan BYD Setia Alam yang dikendalikan oleh BE Drive Auto.
Rangkaian tersebut kemudian diperluaskan dengan pembukaan BYD Kota Kemuning di bawah BE Motorworld pada September 2024.
Sokong bakat seni tempatan
Selain menawarkan rangkaian EV BYD, bilik pameran Rawang turut menyediakan ruang khas untuk mempamerkan hasil karya artis tempatan.
Menerusi inisiatif ini, artis terpilih berpeluang mempamerkan dan menjual karya mereka untuk tempoh tiga bulan.
Pameran akan diperbaharui setiap suku tahun bagi memberikan peluang kepada lebih ramai penggiat seni tempatan.
Menariknya, artis yang mengambil bahagian akan menerima 100 peratus hasil jualan karya tanpa sebarang potongan komisen.
Bagi meraikan pembukaan ini, BYD Rawang akan menganjurkan rumah terbuka dari 19 hingga 30 Oktober 2026.
Antara aktiviti yang disediakan termasuklah sesi pandu uji, tawaran eksklusif bagi model-model BYD terpilih dan cabutan bertuah bagi pelanggan yang membuat tempahan sepanjang acara tersebut.
Pengunjung juga boleh menyaksikan pameran seni sulung karyawan tempatan yang sedang meningkat naik.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.








