BYD Sime Motors perluas rangkaian bilik pameran dan pusat servis di seluruh negara
BYD Sime Motors terus memperluaskan lagi rangkaian jualan dan servis EV di seluruh negara bagi menjadikan pengalaman pemilikan yang lebih mudah diakses.
Sehingga kini, BYD sudah mempunyai lebih 40 buah bilik pameran di seluruh negara.
BYD turut menyasarkan 34 buah pusat servis beroperasi sepenuhnya pada tahun 2026 selepas sembilan lagi fasiliti siap dibangunkan.
BYD tembus beberapa lokasi strategik
Jenama EV itu turut meluaskan kehadirannya di beberapa lokasi strategik termasuklah di Muar, Kluang, Kuala Terengganu, Sungai Petani dan Juru.
Pusat 3S BYD Ipoh turut menyediakan hab pengecasan EV yang pertama di bandar tersebut dengan kemudahan pengecas DC 180 kW dan 240 kW.
Sementara Pusat 3S BYD Sri Hartamas pula terletak di dalam pusat membeli belah yang menggabungkan aspek jualan, servis dan juga alat ganti.
Selain itu, terdapat 12 pusat badan & cat (B&P) yang telah beroperasi di seluruh negara.
Aspek selepas jualan turut disokong oleh 80 juruteknik EV bertauliah daripada BYD Academy serta gudang alat ganti berpusat untuk memastikan stok mencukupi dan tempoh menunggu lebih singkat.
Pembukaan BYD Mansion di Pulau Pinang
BYD Sime Motors turut mengumumkan BYD Mansion di Macalister, Pulau Pinang akan mula beroperasi tahun ini.
Fasiliti baharu itu menggandingkan elemen kebudayaan tempatan ke dalam falsafah rekaan bagi mencipta ruang yang unik dan premium.
Rekaan baharu itu akan dijadikan sebagai satu standard untuk diterapkan pada bilik pameran BYD yang lain.
Prestasi cemerlang BYD tahun 2025
Berikut merupakan pencapaian BYD sepanjang tahun 2025:
- Penyerahan kenderaan sebanyak 14,407 unit atau peningkatan 68 peratus berbanding 2024
- 10,000 pelanggan pertama dicapai dalam 20 bulan, 10,000 seterusnya dalam masa 13 bulan
- Jenama ke-6 paling laris dan jenama bukan nasional no.4 di Malaysia
Melihatkan perkembangan semasa, BYD optimis untuk mencapai sasaran 30,000 pelanggan di Malaysia pada April 2026.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.



