fbpx

Basikal elektrik Delfast Top 3.0 digunakan tentera Ukraine, 320km setiap caj penuh

elfast e-bike 01

PENCEROBOHAN Rusia ke atas Ukraine sejak Februari lalu memaksa semua rakyat negara itu menggunakan apa sahaja sumber yang ada untuk mempertahankan tanah air mereka daripada terus menjadi mangsa keganasan tentera Vladimir Putin.

Menariknya, bukan rakyat sahaja bahkan syarikat-syarikat di negara itu turut bersama-sama turun ke medan peperangan bagi membantu tentera Ukraine. Salah satu daripadanya merupakan pengeluar basikal elektrik (e-bike) Amerika-Ukraine iaitu Delfast.

Basikal elektrik keluaran Delfast iaitu Top 3.0 sebelum ini pernah digunakan untuk memecahkan rekod Guinness namun kali ini, tugasnya lebih penting iaitu membantu pasukan tentera Ukraine mempertahankan kedaulatan negara.

Menurut laman web syarikat berkenaan, basikal elektrik tersebut mempunyai 182Nm tork yang membolehkannya mencapai kelajuan maksimum 80km/j dengan bantuan pendikit tangan dan juga pedal.

Bukan itu sahaja, ia juga mempunyai jarak operasi mencecah 320km dengan satu cas penuh, jadi pihak tentera boleh menggunakannya untuk memasuki kawasan musuh dan pulang semula ke pangkalan tanpa perlu risau jika kehabisan kuasa bateri.

Top 3.0 juga cukup berkemampuan untuk meredah hutan dan kawasan-kawasan dengan permukaan Bumi yang mencabar dengan adanya sistem suspensi jenis long travel dan tayar all-terrain. Sistem GPS juga disediakan dan ia boleh digunakan tanpa kad sim.

Gambar-gambar ini menunjukkan tentera Ukraine menggunakan Top yang telah dimodifikasi untuk membawa roket NLAW (Next Generation Light Anti-Armour Weapons) yang direka khusus untuk memusnahkan kereta kebal.

Roket seberat 12.5kg itu sememangnya direka untuk dibawa oleh manusia atau infantri namun dengan adanya basikal elektrik Delfast, tugas ini menjadi lebih mudah. Ini kerana tentera boleh membawanya ke lokasi yang strategik dengan lebih cepat dan senyap, sekaligus mengurangkan risiko ditembak musuh.

Delfast tidak berseorangan dalam usahanya untuk menjaga keamanan tanah air. Sebuah lagi pengeluar basikal elektrik dari Ukraine iaitu ELEEK turut bersama menyumbangkan hasil tangan mereka untuk digunakan oleh pasukan penembak tepat.

Sama seperti basikal elektrik keluaran Delfast, produk ELEEK membolehkan penembak tepat pergi ke lokasi dan berada dalam kedudukan masing-masing dengan lebih cepat berbanding berjalan kaki.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved