fbpx

Penawaran dan permintaan tidak seimbang antara punca kenaikan tambang e-hailing

pemandu grab
Imej oleh: Bernama

PENAWARAN dan permintaan yang tidak seimbang serta kesesakan lalu lintas tinggi menjadikan masa perjalanan lebih lama merupakan antara faktor utama menyumbang kepada lonjakan tambang e-hailing.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata selain itu beberapa syarikat e-hailing juga telah menunjukkan penurunan bilangan pemandu berdaftar sebanyak 30 peratus berbanding sebelum Covid-19 melanda.

Imej oleh: Bernama

Katanya kekurangan itu secara tidak langsung menyebabkan masa menunggu kenderaan di beberapa tempat menjadi lebih lama daripada jangkaan.

Dalam masa sama, katanya fasa peralihan ke endemik bermula 1 Mei lepas juga menyebabkan berlakunya peningkatan mendadak terhadap permintaan perkhidmatan e-hailing.

Dalam tempoh sama, pergerakan bebas orang ramai bagi menjalankan aktiviti ekonomi dan kehidupan seharian secara normal turut menyumbang kepada kesesakan lalu lintas berbanding peringkat awal wabak menular.

“Faktor-faktor ini telah mempengaruhi formula pengiraan tambang yang digunakan oleh pengendali e-hailing (EHO) merangkumi pelbagai faktor termasuk jarak perjalanan, aliran trafik, keadaan cuaca, serta penawaran dan permintaan pasaran,” katanya dalam satu kenyataan.

“Ini semua mempengaruhi kenaikan tambang sejak kebelakangan ini.”

Wee berkata perbincangan antara Kementerian Pengangkutan, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan EHO baru-baru ini, EHO telah memberi jaminan kepada MOT untuk memperuntukkan lebih banyak sumber ke arah meningkatkan bilangan pemandu yang ada pada masa ini.

“Pada masa yang sama, kerajaan juga akan terus memastikan lebih banyak EHO bersama-sama perkhidmatan teksi dan bas tersedia untuk menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengguna,” katanya.

Wee berkata lebih 130,000 individu memegang lesen vokasional untuk bekerja sebagai pemandu e-hailing dan angka ini dijangka bertambah apabila institut memandu dan EHO menerima lebih banyak calon untuk menjadi pemandu di seluruh negara termasuk Lembah Klang.

Beliau berkata kerajaan menggesa semua EHO supaya meningkatkan saluran komunikasi mereka dengan pengguna dan kerajaan akan terus memantau industri e-hailing bagi memastikan keadilan dan mengelakkan beban yang tidak wajar kepada pengguna.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved