fbpx

Hyundai Ioniq 6 terjah pasaran Malaysia – jarak gerak sehingga 614 km, harga bermula dari RM290k

Hyundai Ioniq 6 Malaysia 01

HYUNDAI-Sime Darby Motors (HSDM) telah melancarkan satu lagi model kenderaan elektrik (EV) ke pasaran tempatan iaitu Hyundai Ioniq 6. Ia merupakan EV ketiga jenama Hyundai yang memasuki pasaran Malaysia selepas Ioniq 5 dan Kona EV.

Ioniq 6 ditawarkan dalam dua varian iaitu Max RWD yang mempunyai motor elektrik tunggal dan Max AWD yang mempunyai dua motor elektrik. Harga jualan bermula dari RM289,888 untuk varian RWD dan RM319,888 untuk RWD.

Secara standard, Ioniq 6 didatangkan dengan waranti dua tahun/50,000 km namun dengan bayaran tambahan sebanyak RM10,000, pelanggan akan mendapat waranti tambahan selama lima tahun/100,000 km. Untuk bateri pula, HSDM menawarkan waranti selama lapan tahun atau 160,000 km.

Kedua-dua varian Ioniq 6 dilengkapi dengan bateri litium-ion polimer berkapasit 77.4 kWj, namun dengan jarak gerak berbeza iaitu 519 km untuk varian RWD dan 614 km untuk AWD.

Untuk pengecasan, model ini menyokong pengecasan AC 11 kW dan juga pengecasan pantas DC sehingga 350 kW, yang membolehkan tenaga bateri dipulihkan dari 10 hingga 80 peratus dalam hanya 18 minit.

Dari segi prestasi, Ioniq 6 Max RWD mempunyai 225 hp dan 350 Nm yang membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 7.4 saat.

Dengan kuasa keseluruhan mencecah 320 hp dan 605 Nm, Ioniq 6 Max AWD pula hanya memerlukan 5.1 saat untuk melakukan pecutan 0-100 km/j. Kelajuan maksimum bagi kedua-dua varian adalah sama iaitu 185 km/j.

Seperti Ioniq 5, Ioniq 6 dibina menggunakan platform E-GMP (Electric Global Modular Platform) namun ia mempunyai profil streamliner yang lebih unik. Bentuk ini secara tidak langsung memberikan kadar pekali seret (Cd) 0.21 yang dikatakan antara yang paling rendah di dunia.

Dari segi dimensi, model ini mempunyai ukuran panjang 4,855 mm, lebar 1,880 mm dan tinggi 1,495 mm, menjadikan ia lebih panjang dan lebih rendah berbanding Ioniq 5. Biarpun berkongsi platform, ukuran tapak roda Ioniq 6 (2,950 mm) adalah 50 mm lebih pendek.

Di dalam, Ioniq 6 tampil standard dengan dua skrin berukuran 12.3 inci, Apple CarPlay dan Android Auto, pengecas wayarles dan sistem pencahayaan ambien dengan 64 pilihan warna. Turut disertakan adalah sistem audio Bose dengan lapan pembesar suara.

Seperti Ioniq 5 juga, ia didatangkan dengan fungsi Vehicle-to-Load (V2L) yang membolehkan pengguna mengecas pelbagai perkakasan elektrik, serta sistem bantuan pemandu seperti Smart Cruise Control dengan Stop & Go, Forward Collision-Avoidance Assist, Lane Keeping Assist, Blind-Spot Collision Avoidance-Assist, Highwar Driving Assist 2 dan bermacam lagi.

Untuk pengetahuan pembaca, Ioniq 6 memenangi tiga anugerah World Car Awards 2023 di New York International Auto Show (NYIAS) pada April lalu. Gelaran yang dimenangi oleh sedan EV ini adalah World Car of the Year, World Electric Vehicle dan World Car Design of the Year.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved