fbpx

Hyundai Ioniq 6 didedahkan secara rasmi – 239 kW/605Nm, 0-100 km/j dalam 5.1 saat

Hyundai Ioniq 6 09

Hyundai memperluaskan lagi barisan kenderaan elektrik mereka dengan model terbaharu yang dikenali sebagai Ioniq 6. Seperti Ioniq 5, ia juga dibina menggunakan platform E-GMP (Electric Global Modular Platform), bermakna teknologi yang ditawarkan olehnya tidak jauh berbeza.

Bagaimanapun, perbezaan reka bentuk antara kedua-dua model itu seperti langit dengan bumi. Jika Ioniq 5 mempunyai bentuk SUV-hatchback, Ioniq 6 tampil sebagai sebuah sedan dengan profil “streamliner” yang unik.

Bentuk itu secara tidak langsung memberikan Ioniq 6 kadar pekali seret (Cd) 0.21 yang mana menurut Hyundai, adalah yang terendah pernah dicapai oleh mana-mana model keluarannya.

Dari segi dimensi, model ini mempunyai ukuran panjang 4,855 mm, lebar 1,880 mm dan tinggi 1,495 mm, menjadikan ia lebih panjang dan lebih rendah berbanding Ioniq 5. Biarpun berkongsi platform, ukuran tapak roda Ioniq 6 (2,950 mm) adalah 50 mm lebih pendek.

Ruang kabin sedan elektrik ini memfokuskan kepada pemandu dan sarat dengan teknologi terkini. Antaranya termasuklah skrin sentuh berukuran 12 inci pada bahagian tengah papan pemuka, panel instrumen digital bersaiz sama serta Apple CarPlay dan Android Auto.

Keselesaan pemandu dan penumpang pula disediakan menerusi tempat duduk Relaxation Comfort Seats, sistem pencahayaan ambien dengan 64 pilihan warna dan enam tema, sistem audio Bose, serta tidak dilupakan empat port USB-C dan satu port USB-A.

Turut disertakan adalah teknologi e-ASD yang ditugaskan untuk menyalurkan bunyi seperti “kapal angkasa” ke dalam kabin bagi menjadikan pemanduan lebih menyeronokkan. Tambah Hyundai lagi, tekstur bunyi ini berubah mengikut status pemanduan.

Bercakap tentang pemanduan, Ioniq 6 boleh didapati dengan pek bateri berkapasiti 53 kWh dan 77.4 kWh, dengan satu atau dua motor elektrik (pacuan roda belakang atau pacuan semua roda).

Spesifikasi tertinggi iaitu bateri 77.4 kWh dengan pacuan semua roda (AWD) menghasilkan kuasa keseluruhan berjumlah 239 kW (325 PS) dan 605 Nm, membolehkan model ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 5.1 saat. Jarak pemanduan pula mencecah 610 km mengikut kitaran WLTP.

Untuk pengecasan, Ioniq 6 boleh memulihkan kuasa baterinya dari 10% hingga 80% dalam 18 minit menggunakan pengecas pantas 350 kW. Seperti Ioniq 5 juga, ia didatangkan dengan fungsi Vehicle-to-Load (V2L) yang membolehkan pengguna mengecas pelbagai peralatan elektrik.

Menurut Hyundai, Ioniq 6 akan memasuki fasa produksi pada suku ketiga tahun ini. Masih belum diketahui jika Hyundai-Sime Darby Motors akan membawanya masuk ke Malaysia namun harapannya cerah memandangkan sambutan yang diterima oleh Ioniq 5 sangat menggalakkan.

 

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved