fbpx

Nahas mat rempit: Korban kini empat orang

nahas mat rempit

SEORANG lagi penunggang motosikal yang terbabit dalam kemalangan di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu di Pulau Pinang, meninggal dunia ketika dalam rawatan kecemasan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Ia menjadikan keseluruhan empat maut akibat nahas terbabit, manakala tiga lagi masih dalam rawatan di hospital, selepas sekumpulan mat rempit terbabit dalam kemalangan.

Gambar oleh: Facebook

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata mangsa keempat yang meninggal dunia ialah Muhammad Harith Zikri Yusnizar, 17 tahun.

“Mohd Haziq bin Harris, 34, masih dirawat di zon merah akibat kecederaan di kepala, manakala Muhammad Rahimi Shukor, 19 di zon kuning akibat kecederaan di muka dan kepala,” kata Soffian.

“Sementara Muhammad Shazwan Hafiz Mohd Abdul Sani, 22, juga dirawat di zon kuning akibat kecederaan di bahagian kaki, tangan dan muka,” tambahnya.

Menurutnya, kesemua mangsa yang terbabit nahas itu berasal dari Negeri Pulau Pinang dan Kedah.

Terdahulu, media melaporkan tiga penunggang motosikal terbabit dalam nahas itu maut di lokasi.

Mengulas lanjut, Soffian berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu pada jam 4:30 pagi membabitkan laluan di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu menghala ke pusat bandar.

Katanya, kemalangan itu membabitkan beberapa motosikal yang disyaki menyertai aktiviti lumba haram.

“Beberapa penunggang motosikal dipercayai hilang kawalan dan merempuh antara satu sama lain.

“Dalam kejadian itu, dua kenderaan jenis Perodua Myvi dan Proton Waja turut dirempuh dari arah belakang oleh kumpulan penunggang motosikal berkenaan,” katanya lagi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2021 © ENGEAR TV | All Rights Reserved