fbpx

Audi RS Q8 ialah sebuah super-SUV dengan harga RM1.7 juta, 600hp, kini di Malaysia

audi rs q8 12

AUDI RS Q8 merupakan sebuah super-SUV dengan 600hp, 800Nm, dan mampu memecut ke 100km/j dalam hanya 3.8 saat. Dan ia kini di Malaysia, dibawa masuk dan diedar oleh pengedar rasminya, PHS Automotive Malaysia (PHSAM).

Walaupun Q8 merupakan sebuah SUV bersaiz besar, ia telah menjadi ahli keluarga RS, iaitu barisan prestasi tinggi dari Audi.

Aspek pertama yang menjadikannya sebuah jentera RS ialah enjinnya, dimana ia dikuasakan oleh unit 4.0-liter V8 biturbo TFSI, menjana 600hp dan 800Nm seperti dinyatakan tadi.

Enjin ini menggunakan turutan pencucuhan 1-3-7-2-6-5-4-8 yang memberikan bunyi mengasyikkan, ditambah dengan sistem ekzos sport.

Kuasa disampaikan ke semua roda melalui kotak gear automatik 8-kelajuan, differential sport, dan sistem pacuan semua-roda Quattro dengan ‘wheel-selective torque control’ untuk lebih kelincahan.

Untuk lebih kestabilan dalam semua situasi pemanduan, Audi RS Q8 mendapat sistem suspensi udara sport adaptif dan EAWS iaitu Electromechanical Active Roll-Stabilisation.

Pemandu boleh menala karakter kereta melalui sistem Audi drive select yang memberikan lapan mod: Comfort, Auto, Dynamic, Efficiency, All-road, Off-road, RS1 dan RS2. Mod-mod ini akan mengawal aspek seperti respon enjin, kotak gear, stereng, suspensi, dan bunyi.

Dari segi rupa luaran, Audi RS Q8 boleh dibezakan melalui gril karbon singleframe oktagonal RS, ruang kemasukan udara sisi, bilah-bilah karbon, kemasan strip RS, dan spoiler bumbung RS. Ini dikemaskan lagi dengan rim 23-inci aluminium berserta brek komposit RS bersaiz 420mm di depan, dan 370mm di belakang.

Bahagian dalam pula menampilkan virtual cockpit dengan paparan MMI besar yang memberikan maklumat seperti tekanan tayar, tork, kuasa, suhu, catatan masa dan g-force. Paparan head-up juga menampilkan grafik-grafik khas RS.

Tempat duduk sports RS hadir dengan balutan kulit Valcona bersama jahitan sarang lebah, serta fungsi ventilasi dan urutan.

Elemen-elemen dalaman RS yang lain termasuklah jahitan benang berwarna kelabu pada pad lutut, stereng, karpet lantai dan tali pinggang keledar. Gayaan tersebut disempurnakan dengan logo-logo RS yang diletakkan pada stereng dan kemasan sisi pintu hadapan beriluminasi. Kulit Nappa pula membalut tuil gear dan perehat tangan pada pintu.

Audi RS Q8 ditawarkan pada harga bermula RM1,699,990 selain hadir dengan penyelenggaraan percuma selama 3-tahun, di samping jaminan perbatuan tanpa had dan bantuan tepi jalan selama 5-tahun.

Berminat? Tempahan boleh dibuat di semua Audi Centres di Setia Alam, Glenmarie dan Juru.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved