fbpx

Tiada lagi ‘Aventador’, Lamborghini keluar edisi terakhir LP780-4 Ultimae

Model Ultimae tanda 'selamat' tinggal bagi generasi Aventador. - Foto ihsan Lamborghini
Model Ultimae tanda 'selamat' tinggal bagi generasi Aventador. - Foto ihsan Lamborghini

NGAUMAN enjin aspirasi natural (NA) V12 yang ‘garang’ menjadikan Lamborghini Aventador digemari ramai.

Namun, setelah lebih 10 tahun berada di pasaran sayangnya legasi supercar itu bakal berakhir bagi memberi ruang kepada model generasi baharu dengan tren kuasa hibrid dan elektrik.

Bagaimanapun, sebelum pengeluaran Aventador dihentikan buat selama-lamanya, Lamborghini telah melancarkan edisi terakhir dikenali sebagai Aventador LP780-4 Ultimae.

Lamborghini memaklumkan hanya mengeluarkan 600 unit dengan pecahan 350 bagi varian Coupe dan 250 bagi jenis Roadster.

Aventador Paling Berkuasa

Pengeluar supercar dari Itali itu berkata, Ultimae adalah model Aventador paling berkuasa pernah dihasilkan.

Ini kerana ia didatangkan dengan enjin 6.5 liter yang mampu ‘menghamburkan’ kuasa maksimum 780 PS (peningkatan 40 PS dan 10 PS jika dibandingkan dengan Aventador S dan Aventador SVJ.

Namun, tork bagi Ultimae adalah masih sama seperti SVJ iaitu 720 Nm pada 6,750 rpm.

Tidak dinafikan model kenderaan dihasilkan Lamborghini mampu 'memukau' mata setiap memerhati. - Foto ihsan Lamborghini
Tidak dinafikan model kenderaan dihasilkan Lamborghini mampu ‘memukau’ mata setiap memerhati. – Foto ihsan Lamborghini

Selain itu, enjin Ultimae masih dipadankan dengan transmisi automatik tujuh kelajuan dan sistem pacuan semua roda (AWD).

Terdapat pengurangan berat keseluruhan sebanyak 25 kilogram yang mana menyaksikan pecutan 0 hingga 100 km/j hanya dalam masa 2.8 saat! Kelajuan maksimum pula mampu mencecah 355 km/j!

Apa lagi menarik yang ada pada Ultimae?

Sistem brek karbon seramik terdapat pada Ultimae membolehkan ia berhenti dari kelajuan 100 km/j dalam jarak hanya 30 meter.

Selain kuasa, perhatian turut diberikan terhadap aspek pengendalian. Sama seperti versi S, Ultimae didatangkan standard dengan sistem kawalan stereng empat roda.

Sistem ini telah dikalibrasikan bagi menyalurkan lebih banyak tork ke roda belakang.

Setakat ini, masih belum diketahui harga bagi seunit Ultimae. - Foto ihsan Lamborghini
Setakat ini, masih belum diketahui harga bagi seunit Ultimae. – Foto ihsan Lamborghini

Sementara itu, sistem Lamborghini Dynamic Steering (LDS) pula memastikan pemandu dapat menikmati tindak balas stereng lebih tepat dan pantas ketika mengambil selekoh.

Sistem ini diuruskan oleh Lamborghini Dinamica Veicolo Attiva (LDVA) yang mendapat data daripada sensor diletakkan pada bahagian badan kenderaan.

Rekaan paling ‘mantul’

Menurut Lamborghini, rekaan luaran Ultimae menggabungkan elemen terdapat pada versi S dan SVJ.

‘Splitter’ dan bukaan besar pada bampar hadapan meningkatkan kecekapan aerodinamik serta membantu menyejukkan radiator.

Spoiler aktif di belakang mempunyai tiga posisi berbeza yang diaktifkan mengikut kelajuan.

Ruang Kabin Ultimae

Ruang dalaman dihiasi dengan campuran material kulit dan Alcantara dalam konfigurasi dua tona.

Ia juga menerima sentuhan perincian warna merah pada tempat duduk, panel pintu dan papan pemuka bagi versi Coupe.

Terdapat juga motif ‘Y’ dan cetakan ‘Ultimae’ pada tempat duduk, serta plak nombor siri pada tiang A sebelah pemandu.

Ultimae didatangkan dengan rim berukuran 20 inci di hadapan dan belakang.

Terdapat 18 pilihan warna standard dan 300 lagi rona unik yang boleh dipilih menerusi katalog Ad Personam.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved