VW Golf GTI mendarat di Malaysia, 245hp/370Nm, RM212k sahaja
AKHIRNYA lagenda hot hatch, Volkswagen Golf GTI kini telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia, kini dengan generasi ke-8 atau Mk8.
Ia ditawarkan pada harga cukup menarik iaitu RM212,711 (atas jalan dengan pengecualian SST, tanpa insurans). Jika anda masih ingat, Golf GTI Mk7.5 semasa dilancarkan pada 2019 adalah lebih mahal, hampir RM240k.
Golf GTI Mk8 ini mendapat harga lebih kompetitif kerana ia kini dipasang secara tempatan (CKD) di kilang Volkswagen di Pekan, Pahang. Ia juga model GTI pertama dipasang di kilang CKD itu.
Tidak perlu pengenalan lagi, Volkswagen Golf GTI merupakan bapa kepada segala hot hatch, diperkenalkan sejak 1975 dan kini lebih 2.3 juta unit terjual.
Golf GTI Mk8 dikuasakan oleh enjin 2.0 TSI yang berupaya menjana 245PS dan 370Nm tork, sementara kuasa disalurkan ke roda depan melalui kotak gear DSG 7-kelajuan.
Ia menggunakan suspensi MacPherson di depan serta multilink di belakang, dan mempunyai suspensi sport serta pengunci differential XDS untuk penghantaran kuasa optima di selekoh.
Hot hatch ini menampilkan sistem Vehicle Dynamics Manager untuk pemandu melaras segala tetapan mengikut seleranya.
Dari segi rupa luaran, Golf GTI Mk8 boleh dibezakan dari lampu LED matriks IQ Light, bar lampu melintang hingga ke logo depan (bukan DRL), strip merah di fender, gril honeycomb, dan tayar Bridgestone Potenza S005.
Selain itu, GTI juga mendapat ekzos berkembar, spoiler belakang, serta lencana GTI di gril depan dan pintu but belakang.
Golf GTI Mk8 ini juga menampilkan Driver’s Workspace iaitu kokpit digital sepenuhnya. Ia terdiri dari paparan instrumen 10.25-inci, kawalan sesentuh haptik, dan sistem infotainmen dengan skrin 10-inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa-wayar.
Unit infotainmen ini juga menyokong sistem arahan suara yang boleh diaktifkan dengan menegur “Hello Volkswagen” atau menekan butang suara pada stereng.
Ciri lain adalah tempat duduk sports balutan kulit Vienna dengan pelarasan berkuasa, fungsi memori dan sokongan lumbar.
Volkswagen Golf GTI Mk8 hadir dengan lima pilihan warna – Kings Red, Atlantic Blue, Moonstone Grey, Deep Black, dan Oryx White.
Golf GTI dilindungi dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan, bantuan tepi jalan, dan penyelenggaraan percuma tiga tahun.
Sentiasa berdoa agar ICE dan transmisi manual akan kekal relevan dan takkan pupus. Lebih mementingkan keseimbangan dari kuasa semata.