Zontes 368G ADV: Kami dah cuba skuter ini di China
![](https://engear.tv/wp-content/uploads/2021/02/44685222_2315256335169075_1861851795781844992_n-90x90.jpg)
![Zontes 368G ADV 2025 (13)](https://engear.tv/wp-content/uploads/2024/12/Zontes-368G-ADV-2025-13.jpg)
Berita baik buat para peminat skuter kembara, pihak Zontes Malaysia mengesahkan model Zontes 368G ADV bakal memasuki pasaran Malaysia awal tahun 2025.
Spesifikasi
Mengikut spesifikasi, Zontes 368G ADV ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal sejukan cecair SOHC berkuasa 38 hp @ 7,500 rpm dan daya kilas 40 Nm @ 6,000 rpm, dengan dua mod tersedia iaitu Eco dan juga Sport.
Aspek tunggangan dibantu dengan penggunaan suspensi fork hadapan jenis terbalik (USD) 41 mm dengan larasan mampatan/lantunan, penyerap hentak berkembar di belakang dengan larasan pra-bebanan, dan sistem brek J.Juan.
Ia juga turut dilengkapi sistem ABS dua saluran, kawalan cengkaman serta sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS) sebagai ciri standard.
Skuter ADV ini mendapat tangki sebesar 17.5 liter, storan bawah pelana yang boleh memuatkan dua helmet full-face, penghadang angin boleh laras lima tahap, serta tinggi pelana 790 mm (atau 770 mm untuk versi lebih rendah).
Segala info penting serta tetapan fungsi-fungsi tambahan anda boleh akses menerusi skrin paparan TFT bersaiz lapan inci.
Menariknya, pihak Zontes turut menawarkan beberapa aksesori standard untuk model 368G ADV ini.
Seperti contoh, terdapat crash bar dan pelindung tangan pada bar hendal, serta lampu kabus dengan beberapa tetapan suluhan tersedia bagi melengkapkan imej skuter ADV yang sangat bergaya.
Untuk keselesaan penunggang, 368G ini turut dipasangkan dengan fungsi pemanas grip bar hendal yang sangat berguna semasa membuat perjalanan pada musim sejuk/hujan.
Akhir sekali, terdapat kamera perakam tunggangan (dashcam) untuk bahagian depan dan belakang menggunakan penderia Sony Starvis yang mampu merakam video HD 1080p dan storan sebesar 128 GB.
Pandang pertama
Kami berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat dan menguji kemampuan skuter ADV ini sewaktu menghadiri lawatan ke kilang Zontes yang terletak di Jiangmen, China, minggu ini.
Dari pandang pertama, para peminat skuter kembara mungkin akan jatuh cinta terus melihatkan kepada imejnya yang sangat bergaya, lengkap dengan crash bar, lampu kabus, dan rim jenis lidi (17 inci depan, 14 inci belakang).
Kami juga amat tertarik kerana rekaan lantai yang agak luas, menyediakan beberapa posisi tunggangan yang lebih selesa, serta kehadiran tempat pemijak kaki tambahan pada bahagian tengah untuk memudahkan pemilik membuat aksi tunggangan berdiri di laluan off-road.
Berdasarkan tunggangan untuk tempoh beberapa jam, apa yang kami boleh katakan skuter Zontes 368G ADV ini mampu menawarkan hamburan kuasa yang cukup baik dan mudah untuk dikawal, di mana penulis tidak memerlukan masa yang lama untuk membiasakan diri dengan respons pendikit skuter ini.
Dimensinya yang tidak terlalu lebar membuatkan skuter ini boleh dikawal dengan lebih meyakinkan terutama ketika sedang mencelah di tengah-tengah kesesakan trafik ibu kota.
Prestasi brek juga tidak mengecewakan, dan yang paling penting, dengan sistem suspensi yang sedikit keras ini anda boleh menikmati pengalaman tunggangan yang sedikit agresif apabila bertembung dengan mana-mana selekoh di jalan lama.
Bagi mereka yang masih lagi skeptikal dengan motosikal buatan China, Zontes 368G ini boleh membuatkan anda terdiam seketika.
Dengan kualiti pemasangan yang mengkagumkan, anda sukar untuk mencari mana-mana bahagian yang longgar atau mempunyai kemasan yang cincai, bahkan semasa menunggang boleh dikatakan tiada gegaran ketara yang boleh buatkan kita ‘hilang stim’ untuk terus menunggang.
Skrin paparan TFT yang cukup besar itu amat mudah untuk dibaca walaupun ketika melakukan kembara di bawah sinaran mentari yang terik pada waktu tengah hari.
Satu lagi perkara yang membuatkan kami teruja ialah kualiti paparan rakaman dashcam yang cukup tajam dan jelas untuk menangkap segala bukti-bukti yang diperlukan sekiranya anda (mintak simpang 44) berdepan dengan situasi yang tidak diingini.
Harga
Kami diberitahu harga jualan Zontes 368G ADV ini akan berada sekitar RM28 ribu apabila ia mula dijual pada tahun hadapan.
Satu harga yang cukup berbaloi dengan spesifikasi dan ciri yang dimuatkan pada jentera kembara ini, dan mampu membuatkan para pemilik Honda ADV350 rasa tergugat.
![](https://engear.tv/wp-content/uploads/2021/02/44685222_2315256335169075_1861851795781844992_n-180x180.jpg)
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.