Zontes ZT 703 F Adventure, jangkaan pelancaran pertengahan 2025
Sebuah lagi model motosikal yang bakal dilancarkan oleh pihak Zontes Malaysia pada tahun hadapan ialah jentera adventure tourer ZT 703 F Adventure.
Mengikut spesifikasi, ZT 703 F Adventure ini dikuasakan oleh enjin tiga silinder sebaris 700 cc yang mampu menghamburkan kuasa setinggi 97 hp @ 10,000 rpm dan daya kilas 76 Nm @ 7,500 rpm.
Kuasa itu disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi manual enam-kelajuan dan bantuan quickshifter.
Jentera ini menggunakan bahan aluminium untuk binaan casis termasuklah lengan ayun belakang, dibantu dengan sistem suspensi yang terdiri daripada fork hadapan jenis terbalik (USD) dan penyerap hentak tunggal belakang, kedua-duanya daripada Marzocchi.
Aspek pemberhentian menggunakan sistem brek J.Juan yang terdiri daripada rotor brek berkembar di hadapan, rotor brek tunggal di belakang serta bantuan sistem ABS dua saluran.
Ia menggunakan rim lidi bersaiz 21 inci di depan dan 18 inci di belakang.
Ciri lain termasuklah tangki sebesar 22 liter, penghadang angin boleh laras elektronik, tinggi pelana sekitar 845 mm, pemanas grip bar hendal, skrin TFT sebesar 6.75 inci, slot pengecas USB dan sistem tanpa kunci.
Selain daripada ciri elektronik seperti kawalan cengkaman, 703 F Adventure ini turut dilengkapi dengan sistem amaran titik buta di mana ia menggunakan bantuan penderia radar di bahagian belakang.
Lebih banyak perincian termasuklah harga jualan bakal diumumkan menjelang pelancaran rasminya pada tahun hadapan.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.