GoCar, Yinson GreenTech lancar program perkongsian EV di Johor Bahru
GoCar Malaysia dan drivEV daripada Yinson GreenTech telah memperkenalkan program perkongsian kereta elektrik (EV) di Johor Bahru.
Program ini menawarkan AION Y Plus baharu dan Ora Good Cat, kedua-duanya kini boleh ditempah di lokasi-lokasi utama di Johor Bahru.
Menurut GoCar Malaysia, inisiatif itu bertujuan menawarkan pilihan mobiliti sifar karbon kepada penduduk di Johor Bahru dan pelancong dari Singapura.
Syarikat itu juga bekerjasama dengan Handal Indah Sdn. Bhd. (HISB), anak syarikat HI Mobility Berhad untuk menawarkan sambungan yang mudah buat pengguna bas-bas elektrik rentas sempadan di Tambak Johor.
Menerusi kerjasama ini, pelancong dari Singapura boleh meneruskan perjalanan mereka dengan mudah di Johor Bahru menggunakan EV yang boleh didapati di pusat membeli-belah Toppen dan lokasi-lokasi strategik lain berhampiran tempat-tempat berhenti utama bas.
Ketua Pegawai Eksekutif GoCar Malaysia, Wong Hoe Mun berkata kejayaan perkongsian EV-nya di Lembah Klang membuktikan bahawa mobiliti sifar emisi merupakan satu penyelesaian yang praktikal dan boleh dikembangkan dalam sektor pengangkutan bandar moden.
“Dengan mengembangkan inisiatif ini ke Johor Bahru hasil kerjasama dengan drivEV, kami telah mengambil satu lagi langkah penting dalam usaha mengurangkan pengeluaran karbon dan menggalakkan perjalanan yang lebih mapan,” katanya.
Pengarah Urusan drivEV, Kelvin Soon menambah, “Kerjasama dengan GoCar Malaysia membuktikan komitmen kami untuk menjadikan mobiliti mapan lebih mudah diakses dan praktikal.
“Dengan menawarkan kereta-kereta elektrik di lokasi-lokasi utama di Johor Bahru, kami telah mencipta penyelesaian perjalanan yang lancar serta mesra alam kepada penduduk tempatan dan pelancong.”
Kadar perkongsian untuk Ora Good Cat di Johor Bahru bermula serendah RM24.90 sejam hingga RM199 sehari, manakala AION Y Plus boleh didapati pada harga serendah RM27.90 sejam atau RM279 sehari.
Bagi meraikan pelancaran ini, pengguna boleh menempah AION Y Plus selama lima jam pada kadar eksklusif hanya RM100 (tidak termasuk CDW, Flex dan SST) menggunakan kod “JBJOLT”.
Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.