Omoda C9 oleh Jaecoo – operasi CKD kini bermula di Shah Alam
Jaecoo Malaysia mengumumkan bahawa unit pemasangan tempatan (CKD) pertama Omoda C9 sudah pun keluar dari kilang pemasangannya di Shah Alam.
Syarikat itu berkata pemasangan SUV coupe itu, model kedua yang dilancarkan di bawah payung Jaecoo, tepat pada masanya untuk memulakan penyerahan menjelang Januari 2025.
Naib Presiden Jaecoo Malaysia, Emily Lek berkata pihaknya gembira dengan sambutan yang menggalakkan untuk C9 dan mereka bersedia untuk memenuhi permintaan pasaran Malaysia.
“Sebagai jenama yang melabur untuk jangka masa panjang, kami berdedikasi untuk menjaga pelanggan kami sepanjang perjalanan pemilikan mereka bersama kami,” tambahnya.
Dilancarkan pada 6 Disember lalu, C9 ditawarkan dalam dua varian iaitu pacuan roda depan (2WD) yang dijual pada harga bermula dari RM168,800 dan pacuan semua roda (AWD) yang berharga RM188,800.
Kedua-dua varian dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 2.0 liter turbo berkuasa 261 PS/400 Nm, dipadankan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan.
Bukan itu sahaja, C9 juga didatangkan standard dengan ADAS Tahap 2 yang merangkumi fungsi seperti kawalan jelajah adaptif (ACC), bantuan kesesakan trafik (TJA), brek kecemasan automatik (AEB), amaran pelanggaran hadapan (FCW) dan belakang (RCW), serta tidak ketinggalan sistem pemantauan panorama (AVM) 540 darjah.
Selain C9, kilang pemasangan Jaecoo di Shah Alam juga menghasilkan J7 AWD dan 2WD. Kedua-dua model ini kini tersedia untuk pandu uji dan tempahan di pusat pengedaran sah Jaecoo di seluruh Malaysia.
Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.