fbpx

Jaecoo Malaysia lancar SUV coupe C9 – dua varian, harga dari RM168,800

OMODA C9

Jaecoo Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan model SUV coupe off-road premium C9 untuk pasaran tempatan.

Terdapat dua varian yang ditawarkan, di mana versi pacuan roda depan (2WD) dijual pada harga bermula dari RM168,800 manakala varian pacuan semua roda (AWD) berharga RM188,800.

Jaecoo Malaysia turut mengumumkan pakej promosi untuk golongan pembeli terawal merangkumi jaminan enjin dan komponen suspensi selama 10 tahun atau had perjalanan 1,000,000 km, sah sehingga 8 Disember ini.

Dari segi saiz, C9 membawakan ukuran sepanjang 4,775 mm, lebar 1,920 mm, tinggi 1,671 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,800 mm dan jarak kelegaan tanah setinggi 165 mm.

Selain itu, C9 berkeupayaan untuk meredah air sedalam 450 mm.

Ruang kargo adalah sebesar 660 liter, atau sehingga 1,783 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

Kedua-dua varian dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 2.0 liter turbo berkuasa 261 PS/400 Nm, dipadankan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan.

Ciri luaran termasuklah pemegang pintu yang tersembunyi, rim aloi 20 inci, lampu DRL LED sigma, struktur jeriji diamond matrix, dan spoiler belakang yang diinspirasikan daripada jet pejuang.

Sementara ruang kabin pula mendapat ciri seperti skrin kluster dan skrin infohibur sebesar 12.3 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem kawalan iklim dua zon, tempat duduk pemandu dengan fungsi memori, ciri pengudaraan dan pemanasan tempat duduk, serta sistem audio dengan lapan pembesar suara.

Untuk varian 2WD, terdapat tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan Sports, sementara varian AWD pula mendapat tambahan mod Sand, Mud, Snow dan juga Off-Road.

Varian AWD juga turut mendapat sistem audio 14 pembesar suara termasuk dua yang tertanam di dalam unit perehat kepala.

Secara standard, kedua-dua varian dilengkapi dengan sistem ADAS Tahap 2 merangkumi fungsi seperti kawalan jelajah adaptif (ACC), bantuan kesesakan trafik (TJA), brek kecemasan automatik (AEB), amaran pelanggaran hadapan (FCW) dan belakang (RCW), serta tidak ketinggalan sistem pemantauan panorama (AVM) 540 darjah.

Selain itu, terdapat juga sembilan beg udara, ABS, EBD, kawalan cengkaman, bantuan mula mendaki (HAC), bantuan menurun cerun (HDC), sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), sistem brek berbilang pelanggaran (MCB), dan sistem pemantauan tumpuan pemandu (DMS).

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved