fbpx

Toyota Veloz rasmi dilancar – CKD, satu varian, TSS, RM95k

toyota veloz 2022 01

TOYOTA Veloz dilancar secara rasmi hari ini selepas dibuka tempahannya sejak Jun lepas. Ia ditawarkan dalam satu varian tunggal di Malaysia, dengan harga RM95,000.

Harga ini juga termasuk jaminan 5-tahun tanpa had perbatuan dan bantuan Road Assist 24SEVEN untuk bantuan kecemasan tepi jalan.

Baik, jadi apa yang anda dapat untuk tambahan RM20k dari Perodua Alza AV yang berharga RM75,500?

Seperti yang anda semua mungkin sudah ketahui, Toyota Veloz merupakan ‘kembar’ Perodua Alza (dan Daihatsu Xenia di Indonesia), kesemua model ini dibangunkan pada pelantar DNGA (Daihatsu New Global Architecture).

Veloz juga berkongsi enjin yang sama, iaitu unit 2NR-VE 1.5-liter 4-silinder DOHC dengan kuasa 105hp dan 138Nm tork. Enjin ini menghantar outputnya ke roda depan melalui kotak gear CVT. Terdapat juga mod pemanduan Normal, Eco dan Power.

MPV segmen-B ini dipasang secara CKD di Malaysia, dan hadir dengan lima pilihan warna: White, Metallic Bluish Black, Red Metallic, Silver Metallic (with Black Roof), dan Blue Metallic (with Black Roof).

Dari segi rupa luaran, Toyota Veloz mendapat lampu LED sepenuhnya untuk depan dan belakang, serta lampu kabus. Lampu depan ini juga lengkap dengan fungsi auto-levelling, Follow Me dan Adaptive Driving Beam.

Veloz juga dilengkapi rim 17-inci dan jarak kelegaan tanah 205mm. Ini adalah lebih tinggi berbanding Alza yang hadir dengan pilihan rim 15- serta 16-inci, dan mempunyai kelegaan tanah 160mm.

Selain itu, Toyota Veloz dilengkapi rel bumbung yang mampu menampung sehingga 75kg.

Di bahagian dalam, ia menampilkan konfigurasi tujuh tempat duduk dengan baris kedua dan ketiga yang boleh dilipat untuk pelbagai keperluan. Tempat duduknya mendapat balutan kulit, selain lampu ambient biru di panel pintu dan konsol tengah.

Di depan pemandu, Veloz dilengkapi dengan paparan digital 7-inci dimana anda boleh menukar mod paparan atau susunan meter kepada empat pilihan.

Unit infotainmen di konsol tengah pula ialah skrin sesentuh 9-inci yang menyokong Android Auto dan Apple Carplay tanpa-wayar.

Ciri lain termasuklah pengecaj tanpa-wayar Qi, tiga soket USB, satu soket 12 volt, dan 15 pemegang cawan di seluruh kabin.

Sistem pendingin hawa adalah jenis automatik, manakala terdapat satu lagi panel di tengah siling untuk penumpang barisan kedua dan ketiga.

Untuk keselamatan, Toyota Veloz mendapat pakej Toyota Safety Sense yang terdiri dari empat sistem utama iaitu Pre-Collision System (PCS), Lane Departure Warning (LDW), Lane Departure Prevention (LDP), dan Lane Keeping Control (LKC).

Ciri keselamatan lain termasuklah enam beg udara, Adaptive Cruise Control, Autonomous Emergency Braking, dan perakam digital (dashcam).

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2021 © ENGEAR TV | All Rights Reserved