fbpx

Perlumbaan Drag BOTK 2022 tiada kelulusan MAM, litar hanya selamat untuk motosikal

kemalangan drag terengganu 02

AGAK banyak berita sedih melibatkan kereta dan jalan raya di negara kita dalam seminggu kebelakangan ini. Salah satunya adalah kemalangan di litar drag yang meragut nyawa pemandunya, Apeh Jamal atau nama sebenarnya Muhamad Hafez Jamal.

Apeh meninggal dunia setelah Mitsubishi Lancer Evolution IX berkuasa lebih dari 1,000hp yang dipandunya dalam perlumbaan drag Battle of The Kings (BOTK) 2022 di Litar Drag Antarabangsa Gong Badak, Terengganu hilang kawalan dan melanggar sebatang pokok berhampiran litar berkenaan.

Susulan itu, badan yang menyelia aktiviti sukan permotoran di Malaysia, iaitu Motorsports Association of Malaysia (MAM) semalam telah mengeluarkan satu kenyataan media berkenaa insiden tersebut.

MAM terlebih dahulu menyuarakan rasa dukacita di atas pemergian arwah. Kenyataan itu disusuli dengan hakikat bahawa sukan permotoran merupakan suatu sukan yang merbahaya.

“Oleh yang demikian, mana-mana pihak yang ingin menyertai sukan permotoran baik selaku penganjur, pemilik litar atau pelumba berkewajipan untuk mematuhi segala kaedah-kaedah, peraturan-peraturan, protokol-protokol yang ketat yang telah ditetapkan demi memastikan tahap keselamatan yang tertinggi, meningkatkan persaingan dan akhirya memberi peluang kepada pelumba dan penonton untuk menikmati acara perlumbaan tersebut.

“Acara-acara yang dikawal-selia (sanctioned events) oleh pihak MAM dijalankan dengan mematuhi garis panduan am dan teknikal yang telah ditetapkan oleh pihak FIA dan FIM berkaitan dengan penganjur-penganjur, kemudahan-kemudahan, peserta-peserta dan kenderaan-kenderaan.

“Acara-acara sukan permotoran yang dikawal-selia akan memberi parameter yang jelas kepada penganjur-penganjur dan peserta-peserta mengenai persekitaran perlumbaan yang selamat,” tulis kenyataan MAM itu.

Persatuan itu menambah: “Malangnya, Acara Drag BOTK 2022 tidak diluluskan dan dikawal-selia oleh pihak MAM.

“Untuk tahun 2022, kemudahan Litar Gong Badak hanya dibenarkan oleh pihak MAM untuk acara litar dua roda iaitu, Petronas Malaysian CubPrix, dengan keperluan keselamatan tambahan.

Terengganu Drag Strip. Imej oleh: Facebook

“Pihak MAM tidak pernah memberi sebarang kelulusan untuk lumba drag di litar Gong Badak.”

Menurut kenyataan itu lagi, pihak MAM telahpun mengadakan perbincangan dengan Kementerian Belia & Sukan (KBS) sebelum ini berkenaan dengan spesifikasi kemudahan perlumbaan drag yang diluluskan oleh pihak FIA dan FIM.

“Spesifikasi-spesifikasi berkenaan adalah termasuk kemudahan penyelenggaran yang murah dan rendah serta keselamatan yang tinggi bagi membolehkan sukan perlumbaan drag membangun dan berkembang selaras dengan pengumuman oleh Perdana Menteri YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob baru-baru ini.

“MAM juga telah dijemput oleh Kerajaan Negeri Terengganu untuk meneliti kejadian tersebut dan yang lebih penting, untuk membincangkan dengan lebih lanjut mengenai keperluan bagi memastikan keselamatan litar diperbaiki bagi mengelak kejadian sedemikian berulang.

“MAM akan terus mempromosikan acara-acara yang dikawal-selia untuk menjadikan sukan permotoran lebih selamat dari segi semua disiplin di dalam Sukan Permotoran,” kata MAM.

Lihatkan Ulasan (1)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved