fbpx

Proton Saga MC2 facelift 2022 kini lebih moden, harga bermula RM34,400

proton saga mc2 2022 23

SELEPAS beberapa teaser, Proton Saga 2022 akhirnya dilancar hari ini. Model facelift dengan nama kod MC2 ini ditawarkan dalam X varian, dengan harga seperti berikut:

Saga 1.3 Standard MT: RM34,400
Saga 1.3 Standard AT: RM38,300
Saga 1.3 Premium AT: RM41,300
Saga 1.3 Premium S AT: RM44,300

Untuk facelift kali ini, pembaharuan diberikan di luar dan dalaman untuk menjadikan sedan segmen-A ini kekal ‘segar’, serta penambahan beberapa ciri baharu. Kita mulakan di bahagian luaran.

Saga MC2 ini boleh dibezakan melalui logo Proton baharu di gril depan dengan perumah bulat, seperti dilihat pada Iriz dan Persona facelift.

Elemen Ethereal Bow pada gril juga hadir dalam kemasan merah sama seperti X50. Walaubagaimanapun bagi anda yang mahukan lampu LED seperti Bezza, harap maaf kerana Saga 2022 akan kekal dengan unit halogen.

Bergantung kepada varian, Saga 2022 juga menampilkan rim 15-inci rekaan baharu serta kit badan (Premium sahaja).

Seterusnya di bahagian dalam, Saga MC2 dilengkapi warna lebih gelap untuk ruang kabin, serta kemasan merah pada beberapa bahagian seperti perumah corong pendingin hawa.

Tempat duduk pula mendapat balutan kulit baharu dengan jahitan merah, dan jahitan ini juga terdapat pada roda stereng.

Panel pendingin hawa juga telah direka semula. Untuk panel instrumen, Saga MC2 masih mengekalkan skrin ‘terapung’ 7-inci seperti model 2019 tetapi menurut Proton, Operating System padanya ditambah baik dan kini menyokong sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Ciri baharu lain termasuklah keyless entry, butang penghidup enjin, cermin sisi auto-lipat, pembuka but luaran, tetapi semua ini hanya pada Premium S.

Stability Control pula kini diberikan kepada semua varian dengan kotak gear AT. Tiada perubahan pada bahagian enjin, bermakna Saga 2022 akan terus dipacu oleh unit 1.3-liter Campro VVT yang menjana 95hp dan 120Nm tork.

Enjin ini akan dipadankan dengan kotak gear automatik 4-kelajuan dari Hyundai, selain dari manual 5-kelajuan untuk varian Standard MT.

Proton Saga 2022 boleh didapati dalam lima pilihan warna iaitu Snow White, Armour Silver, Jet Grey, Rosewood Maroon, dan warna baharu Ruby Red.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2021 © ENGEAR TV | All Rights Reserved