fbpx

Tesla Model 3 Highland dilancarkan di Malaysia, harga bermula dari RM189k

Tesla Model 3 Highland 02

SEDAN elektrik yang menjadi bualan ramai di Malaysia sejak beberapa bulan yang lalu iaitu Tesla Model 3 akhirnya dilancarkan ke pasaran tempatan secara rasmi.

Versi facelift yang juga dikenali sebagai Highland ini boleh didapati dalam dua varian iaitu Standard Range Rear Wheel Drive (RWD) yang dijual pada harga RM189,000 dan Long Range All-Wheel Drive (AWD) yang berharga RM218,000.

Kedua-dua varian didatangkan dengan waranti asas kenderaan selama 4 tahun/80,000 km. Waranti bateri dan unit pacuan pula adalah 8 tahun/160,000 km untuk varian Standard dan 8 tahun/192,000 km untuk Long Range.

Model 3 Standard Range dilengkapi dengan motor elektrik tunggal pada gandar belakang dan boleh dipandu sejauh 513 km dengan satu cas penuh berdasarkan kitaran WLTP.

Dari segi prestasi, ia mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.1 saat dan mencapai kelajuan maksimum 201 km/j.

Sementara itu, varian Long Range mempunyai pek bateri lebih besar yang menawarkan jarak pandu yang lebih jauh iaitu 629 km.

Dengan motor elektrik berkembar yang secara langsung memberikan ia pacuan AWD, varian ini hanya memerlukan 4.4 saat untuk melakukan pecutan 0-100 km/j. Bagaimanapun, kelajuan maksimum sama dengan Standard Range iaitu 201 km/j.

Untuk pengecasan, Model 3 Standard Range menyokong pengecasan pantas DC sehingga 170 kW manakala varian Long Range boleh menampung sehingga 250 kW.

Menurut Tesla, stesen pengecas Supercharger boleh memberikan jarak pandu sejauh 282 km dalam masa 15 minit sahaja.

Dari segi penampilan, Model 3 mendapat rekaan yang lebih aerodinamik dengan kadar pekali seretan serendah 0.219 Cd. Rekaan lampu hadapan lebih langsing, manakala lampu belakang menampilkan bentuk C yang lebih menonjol.

Varian Standard Range didatangkan dengan rim Photon 18 inci, manakala varian Long Range pula mendapat rim Nova 19 inci yang boleh didapati dengan harga tambahan sebanyak RM7,500.

Warna Pearl White ditawarkan secara standard tanpa sebarang bayaran tambahan, manakala warna Solid Black dan Deep Blue Metallic memerlukan tambahan sebanyak RM5,000.

Untuk warna Stealth Grey, pelanggan perlu membayar RM7,500 manakala warna Ultra Red pula berharga RM11,000.

Di dalam, upholsteri kulit berwarna hitam didatangkan secara standard, manakala upholsteri hitam dan putih boleh dipesan pada harga RM5,000.

Selain skrin sentuh berukuran 15.4 inci pada bahagian hadapan, Model 3 kini didatangkan dengan skrin sentuh lapan inci untuk penumpang belakang.

Ciri-ciri lain yang disertakan termasuk dua pengecas wayarles, pencahayaan ambien, fungsi pemanas pada tempat duduk hadapan, belakang dan stereng, sistem audio dengan 17 pembesar suara, dua subwoofer dan dua amplifier, serta kaca akustik 360 darjah.

Sistem Basic Autopilot disertakan secara standard, manakala Enhanced Autopilot dengan Auto Lane Change dan Autopark ditawarkan pada harga RM16,000.

Mereka yang inginkan sistem Enhanced Autopilot dengan keupayaan Full Self Driving boleh mendapatkannya pada harga RM32,000.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved