fbpx

Ferrari 296 GTB dengan V6 turbo baharu, 818hp, 0-100 2.9 saat, dari RM1.23 juta

ferrari 296 gtb official 38

NAZA Italia hari ini telah mendedahkan kehadiran Ferrari 296 GTB serba baharu untuk pasaran Malaysia.

Ferrari 296 GTB merupakan model enjin tengah (mid-engined) terkini yang dikira menggantikan F8 Tributo. Tetapi walaupun F8 Tributo menggunakan nadi V8, 296 GTB ini dikuasakan oleh enjin V6 baharu.

Enjin ini berkapasiti 2,992cc tetapi Ferrari memanggilnya 2.9-liter supaya boleh menggunakan nama 296, dan angka enam di hujung merujuk kepada jumlah silinder enjin.

Unit V6 ini dibina dengan barisan silinder bersudut 120-darjah untuk mendapatkan bentuk enjin yang lebih kompak dan rendah. Pengecaj turbo juga diletakkan di tengah-tengah bukaan silinder.

Berapa kuasa enjin ini? Ia menghasilkan 654hp tetapi disebabkan 296 GTB ini merupakan sebuah model plug-in hybrid (PHEV), enjin V6 padanya dipasang dengan motor elektrik yang memberikan output keseluruhan setinggi 818hp pada 8,000rpm dan 740Nm tork pada 6,250rpm.

Kuasa disalurkan ke roda belakang menggunakan kotak gear automatik dwi-klac seperti yang didapati pada model-model terkini lain seperti SF90 Stradale (dan Spyder), Roma dan Portofino M.

Prestasi pula adalah 2.9 saat untuk pecutan 0-100km/j dan lebih mengagumkan, 7.3 saat untuk 0 ke 200km/j. Kelajuan maksima ialah melebihi 330km/j.

Di belakang tempat duduk pemandu ialah unit MGU-K (Motor Generator Unit, Kinetic) yang membekalkan kuasa untuk motor elektrik.

Dalam mod pemanduan elektrik sepenuhnya (EV), Ferrari 296 GTB ini boleh dipandu sehingga 25km dengan kelajuan sehingga 135km/j.

Terdapat empat mod pemanduan yang boleh dikawal dari butang eManettino pada stereng. Mod-mod ini adalah eDrive, Hybrid, Performance dan Qualify.

Ferrari 296 GTB juga dilengkapi beberapa teknologi seperti eSSC (electronic Side Slip Control), eTC (electronic Traction Control), eDiff, dan 6w-CDS iaitu Chassis Dynamic Sensor 6-arah.

Sistem brek juga ditambah baik dengan brake-by-wire dan fungsi baharu ABS evo yang memastikan pedal brek tidak perlu ditekan banyak sama ada dalam pemanduan harian biasa atau semasa di litar.

Dari segi dimensi, Ferrari 296 GTB mempunyai jarak roda 50mm lebih pendek dari F8 Tributo untuk memberikan saiz yang kompak serta pengendalian lincah.

Rekaan dan rupa luaran Ferrari 296 GTB banyak mengambil inspirasi dari model-model retro seperti Dino, 250 LM 1963 dan P80/C.

Ferrari 296 GTB dijual pada harga permulaan RM1,228,000 sebelum cukai, pilihan kustom, cukai dan insurans. Untuk servis, Ferrari 296 GTB diselenggara setiap 20,000km atau setahun sekali.

Terdapat juga pakej Assetto Fiorano untuk lebih prestasi. Pakej ini memberikan beberapa komponen perlumbaan seperti penyerap hentak Multimac boleh-laras, komponen gentian karbon dengan lebih downforce, bahan-bahan lebih ringan, dan tayar Michelin Sport Cup 2 R.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved