fbpx

10 EV paling gempak yang dilancarkan di Malaysia pada 2023 – Bhg 1

10 EV paling gempak 2023

TINGGAL beberapa hari sahaja lagi sebelum tahun 2024 membuka tirainya dan berdasarkan pengamatan kami, tahun ini menyaksikan pasaran kenderaan elektrik (EV) di Malaysia terus berkembang dengan kehadiran pelbagai model baharu.

Dalam artikel ini, kita akan mengimbas kembali 10 EV paling menarik perhatian yang masuk ke pasaran negara ini sepanjang tahun ini. Perlu diingatkan yang senarai ini tidak mengikut turutan dan ia adalah pilihan peribadi penulis.

Lotus Eletre

Ada banyak sebab untuk menyukai Eletre, sama ada anda peminat Lotus atau tidak. Pertama sekali, ia merupakan SUV produksi pertama bagi jenama yang terkenal dengan kereta sport kecil dan ringan itu.

Ia mungkin sebuah SUV elektrik, namun Eletre tidak mempunyai sebarang masalah untuk bersaing dengan jentera-jentera ICE Lotus yang sedia ada dengan kuasa sebanyak 905 hp/985 Nm dalam versi yang paling berkuasa.

Rekaan luarannya mungkin kelihatan terlalu agresif untuk sesetengah orang, namun ruang dalamannya tidak ubah seperti kokpit kapal angkasa lepas.

Smart #1

Setelah diacah selama beberapa bulan, smart #1 akhirnya dilancarkan pada November lalu, dengan tiga pilihan varian dan harga jualan dari RM189,000 hingga RM249,000.

Sudah tentu anda di antara anda yang akan kata “lebih baik beli…” namun dengan model ini, apa yang anda bayar, itulah yang anda dapat. Dalam erti kata lain, ia cukup premium dan spesifikasinya sangat menarik.

Varian Pro dan Premium tidak kurang hebatnya, dengan prestasi pecutan 0-100 km/j dalam 4.4 saat dan jarak pandu sejauh 440 km. Jika ini tidak cukup, ada varian Brabus yang tampil lebih sporty dengan tema merah dan dua motor elektrik.

BYD Dolphin

Dolphin merupakan model kedua BYD yang tiba di Malaysia selepas Atto 3. Dengan harga jualan yang bermula di bawah paras RM100,000, ia juga merupakan antara EV paling mampu milik dalam pasaran.

Sesuai dengan namanya, reka bentuk luaran Dolphin agak comel, diserikan lagi dengan signatur lampu LED yang menarik di belakang. Ruang dalamannya pula kelihatan unik dengan rekaan papan pemuka yang funky dan tema warna yang meriah.

Selain jarak pandu yang memuaskan (410 km hingga 490 km, NEDC), apa yang menarik tentang Dolphin adalah jumlah kelengkapan standard yang disertakan yang termasuk Apple CarPlay wayarles, skrin sentuh berputar 12.8 inci dan ADAS.

Rolls-Royce Spectre

Coupe elektrik ultra-mewah ini tiba di Malaysia pada September lalu sebagai EV paling mahal di negara ini dengan harga bermula dari RM2 juta tidak termasuk opsyen.

Jika enjin V12 yang digunakan pada Ghost, Dawn dan model-model lain pun sudah dikatakan cukup senyap, bayangkan Rolls-Royce tanpa enjin pembakaran dalaman.

Dengan bateri berkapasiti 102 kWh, Spectre boleh dipandu sejauh 520 km dengan satu cas penuh. Pengecasan 10-80 peratus boleh dicapai dalam hanya 34 minit dengan menggunakan pengecas DC 195 kW. Apa yang menarik, ia Spectre merupakan kereta coupe dua pintu pertama Rolls-Royce yang didatangkan dengan rim 23 inci.

BMW iX M60

Merupakan model SAV elektrik yang sulung dalam portfolio BMW M, iX M60 dipacu oleh dua motor elektrik yang menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 619 PS dan 1,015 Nm.

Jika jumlah tork itu tidak cukup tinggi,fungsi Launch Control akan meningkatkannya kepada 1,100 Nm bagi membolehkan jentera ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.8 saat. Kelajuan maksimum pula adalah 250 km/j.

Pek bateri litium-ion berkapasiti 105.2 kWj boleh memberikan jarak pandu sejauh 561 km namun dengan tujahan kuasa yang cukup menggoda itu, rasanya tidak ramai pemilik yang boleh mencecah 500 km sekali cas.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved