fbpx

Lotus Eletre dilancarkan di Malaysia – 3 varian, harga dari RM578k

Lotus Eletre 01

LOTUS Cars Malaysia hari ini melancarkan SUV hyper bernadikan elektrik iaitu Lotus Eletre ke pasaran tempatan.

Ia ditawarkan dalam tiga varian iaitu Eletre, Eletre S dan Eletre R. Harga jualan bermula dari RM578,000 untuk varian asas, RM648,000 untuk varian S dan RM798,000 untuk varian tertinggi R.

Untuk waranti, Lotus Cars Malaysia menawarkan waranti pengilang untuk 5 tahun/150,000 km dan waranti bateri untuk 8 tahun/200,000 km.

Menurut syarikat itu, mereka telah menerima 140 tempahan daripada 200 unit yang tersedia untuk pasaran Malaysia bagi tahun ini.

 

Bagi aspek trenkuasa, Eletre dan Eletre S kedua-duanya mempunyai sebuah motor elektrik yang menjana 603 hp dan 710 Nm. Ini membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.5 saat dan mencapai kelajuan maksimum 258 km/j.

Eletre R pula didatangkan dengan motor elektrik berkembar yang menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 905 hp dan 985 Nm. Pecutan 0 hingga 100 km/j boleh dilakukan dalam hanya 2.95 saat, manakala kelajuan maksimum adalah 265 km/j.

Ketiga-tiga varian menggunakan bateri berkapasiti 112 kWh, namun dengan jarak pemanduan berbeza iaitu 600 km untuk varian asas dan S, serta 490 km untuk varian R.

Selain itu, ketiga-tiga varian juga menyokong pengecasan pantas sehingga 350 kW yang boleh memulihkan tenaga bateri dari 10 hingga 80 peratus dalam hanya 20 minit. Pengecasan AW 22 kW turut disertakan secara standard.

Dari segi penggayaan, Eletre menampilkan reka bentuk cab-forward, dengan tapak roda yang panjang serta overhang depan dan belakang yang pendek.

Kebolehan aerodinamiknya boleh dilihat menerusi liang-liang udara pada bahagian depan, sisi dan belakang, gril aktif, pemegang pintu jenis pop-up dan spoiler aktif pada bahagian tailgate. Sudut dan ketinggian spoiler ini bergantung kepada mod pemanduan yang dipilih serta kelajuan.

Untuk roda, Eletre dan Eletre S didatangkan dengan tayar Pirelli P Zero dan rim 22 inci, manakala Eletre R pula mendapat tayar Pirelli P Zero Corsa dan rim 23 inci.

Di dalam, ketiga-tiga varian didatangkan dengan konfigurasi lima tempat duduk dengan kapasiti but 688 liter. Pelanggan boleh memilih untuk versi empat tempat duduk yang merupakan sebahagian daripada Executive Seat Pack.

Di hadapan pemandu dan penumpang terdapat paparan kecil dengan ketinggian 30 mm yang berfungsi untuk memaparkan maklumat kenderaan, jarak, pilihan muzik atau lokasi menarik berdekatan.

Akses untuk sistem infohibur adalah melalui skrin sentuh 15.1 inci dengan sistem operasi Lotus Hyper, 5G dan kemas kini Over-the-Air. Paparan head-up dengan Augmented Reality (AR) disertakan pada semua varian.

Antara kelengkapan yang turut tersedia adalah sistem audio KEF Premium 15 pembesar suara untuk Eletre dan Eletre S, sistem audio KEF Reference 23 pembesar suara untuk Eletre R, serta sistem navigasi bersepadu yang dibangunkan dengan kerjasama HERE Technologies.

Sistem bantuan pemandu ADAS terdiri daripada Adaptive Cruise control, Rear Collision Warning, Rear Cross Traffic Alert, Front Cross Traffic Alert, Lane Keep Assist dengan Lane Departure Warning, Blind Spot Detection dan pelbagai lagi.

Apa yang menarik, pelanggan boleh beberapa pakej tambahan seperti Lotus Dynamic Handling Pack, Ceramic Brake Pack, Executive Seat Pack, Comfort Seat Pack, Carbon Fibre Pack, Extended Carbon Fibre Pack dan Interior Carbon Fibre Pack.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved