fbpx

Rolls-Royce Spectre mendarat di Malaysia – harga RM2 juta tidak termasuk cukai

Rolls-Royce Spectre 01

ROLLS-Royce Motor Cars Kuala Lumpur hari ini melancarkan kenderaan elektrik (EV) pertama dari jenama ultra mewah itu iaitu Rolls-Royce Spectre.

Selepas diperkenalkan di peringkat global pada Oktober tahun lalu, Spectre kini tiba ke pasaran Malaysia pada harga jualan bermula dari RM2 juta tidak termasuk cukai dan opsyen.

Dibina menggunakan platform Architect of Luxury yang turut digunakan oleh Cullinan dan Phantom, Spectre dilengkapi dengan dua motor elektrik (satu pada setiap gandar) yang menjana kuasa keseluruhan sebanyak 585 PS dan 900 Nm.

Ini membolehkan ia melakukan pecutan 0-100 km/j dalam hanya 4.5 saat, tidak kurang hebatnya untuk sebuah kereta seberat hampir tiga tan. Kelajuan maksimum pula adalah 250 km/j.

Kedua-dua motor elektrik berkenaan mendapat kuasa daripada pek bateri 102 kWj yang membolehkan Spectre dipandu sejauh 530 km dengan satu cas penuh.

Untuk pengecasan, Spectre menyokong pengecasan DC sehingga 195 kW yang boleh memulihkan tenaga bateri dari 10 hingga 80 peratus dalam hanya 34 minit. Jika menggunakan pengecasan DC 50 kW, pengecasan yang sama akan mengambil masa kira-kira 95 minit.

Sementara itu, pengecasan AC 22 kW pula akan memenuhkan tenaga bateri dari 0 hingga 100 peratus dalam masa 5 jam 30 minit.

Model coupe elektrik dua pintu ini mempunyai ukuran panjang 5,475 mm, lebar 2,144 mm, tinggi 1,573 mm dan jarak antara roda 3,210 mm.

Apa yang menarik, pintu Spectre yang diperbuat daripada aluminium adalah sepanjang 1.5 meter, menjadikannya pintu paling besar pernah dipasang pada sebuah Rolls-Royce. Ini juga model produksi Rolls-Royce pertama dalam 100 tahun yang menggunakan rim berukuran 23 inci.

Bukan itu sahaja, gril Pantheon pada model ini juga yang paling lebar pernah direka setakat ini. Ia mempunyai 22 unit LED bagi menghasilkan signatur tiga dimensi pada waktu malam.

Patung Spirit of Ecstasy yang terletak di atas gril itu juga direka khusus untuk Spectre, di mana keseluruhan proses mengambil masa selama 830 jam. Ia mempunyai profil yang lebih rendah dan aerodinamik, menyumbang kepada pekali seretan Spectre iaitu 0.25 Cd.

Sementara itu, ruang dalaman Spectre menampilkan beberapa ciri menarik termasuk Starlight Doors yang mempunyai 4,796 ‘bintang’ serta rekaan baharu kerusi hadapan yang diinspirasikan daripada seni jahitan British. Sudah tentu, ruang ini boleh disesuaikan mengikut cita rasa pelanggan.

Untuk memberikan tahap keselesaan yang tertinggi kepada pemandu dan penumpang, Rolls-Royce menggunakan sistem suspensi planar yang canggih pada Spectre.

Sebagai contoh, apabila dipandu pada laluan lurus, bar anti oleng akan dipisahkan secara automatik bagi memastikan setiap roda bertindak secara bebas, seterusnya mengurangkan gegaran akibat permukaan tidak rata.

Apabila selekoh dikesan pula, bar tersebut disambung semula, peredam dikeraskan dan sistem stereng empat roda akan diaktifkan untuk mendapatkan pengendalian yang mantap.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved