BMW iX M60 kini di Malaysia – 0-100 km/j dalam 3.8s, harga RM630,800
SETELAH iX xDrive50 dilancarkan ke pasaran tempatan pada Januari lalu, kini BMW Malaysia memperkenalkan pula varian yang lebih berkuasa iaitu iX M60.
Merupakan model SAV elektrik yang sulung dalam portfolio BMW M, iX M60 dipacu oleh dua motor elektrik, satu diletakkan pada setiap gandar.
Setup ini menghasilkan kuasa keseluruhan berjumlah 619 PS dan 1,015 Nm tork. Jika fungsi Launch Control diaktifkan, jumlah tork akan meningkat kepada 1,100 Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.8 saat dan mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.
Sebagai perbandingan, iX xDrive50 mempunyai 523 PS dan 765 Nm. Versi ini memerlukan 4.6 saat untuk melakukan pecutan 0-100 km/j. Kelajuan maksimumnya lebih rendah iaitu 200 km/j.
iX M60 didatangkan dengan bateri litium-ion berkapasiti 105.2 kWj yang boleh memberikan jarak pandu sejauh 561 km, mengikut kitaran WLTP. Ia menyokong pengecasan pantas DC sehingga 195 kW yang membolehkan bateri dicas dari 0 hingga 80 peratus dalam hanya 35 minit.
Menurut BMW Malaysia, model ini merupakan jentera BMW pertama di negara ini yang dapat menerima suapan kuasa 22 kW daripada pengecas wallbox AC yang mampu mengurangkan waktu pengecasan 0-100 peratus kepada bawah 5.5 jam.
Untuk pengecasan AC 11 kW, pengecasan penuh dari 0 hingga 100 peratus mengambil masa kira-kira 11 jam.
Dari segi kelengkapan, iX M60 didatangkan dengan rim aerodinamik M BMW Individual berukuran 22 inci dalam warna dwi-tona 1023 dengan gilapan 3D gangsa titanium. Logo model ini pula didatangkan secara eksklusif dalam warna hitam berglos tinggi atau gangsa titanium.
Di dalam, terdapat sistem infohibur BMW Live Cockpit Professional yang merangkumi skrin melengkung 12.3 inci dan skrin tengah 14.9 inci, sistem audio Bower & Wilkins Diamond berkapasiti 1,615 watt dengan 30 pembesar suara dan sistem bunyi BMW M IconicSounds Electric yang digubah oleh Hans Zimmer.
Ruang kabin dihiasi dengan upholsteri Interior Design Suite Amido dan Interior Design Suite Castanea, serta material Sensatec pada konsol tengah dan ruang meletak tangan.
Turut disertakan adalah sistem penyaman udara automatik empat zon, pengecas tanpa wayar, serta ciri-ciri seperti Intelligent Emergency Call, Teleservices, ConnectedDrive Services, Connected Package Professional, BMW Natural Interaction dan Active Protection.
Untuk sistem bantuan pemandu, terdapat Driving Assistant Professional, Parking Assistant Professional dan ciri Launch Control baharu dengan fungsi pembrekan.
Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.