fbpx

Proton X70 MC 2022 kini dengan pilihan 1.5 TGDI – harga bermula RM94k

proton x70 mc 2022 thumb

PROTON X70 telah berada dalam pasaran Malaysia kira-kira tiga tahun setengah sejak mula diperkenalkan pada Disember 2018. Dan ini satu masa yang baik untuk Proton membawakan sedikit kemaskini untuk SUV penting mereka.

Jadi perkenalkan, X70 MC 2022, atau versi Minor Change. Tetapi tidaklah begitu ‘minor’ kerana ada perubahan agak besar untuknya.

Pertama sekali, Proton X70 MC 2022 ini mendapat pilihan enjin baharu, iaitu unit 1.5-liter turbo 3-silinder seperti terdapat pada X50. Kotak gear masih dikekalkan dengan DCT (dwi-klac) 7-kelajuan.

X70 MC hadir dengan lima varian, dan harga seperti berikut:

X70 1.5 Standard 2WD: RM93,900
X70 1.5 Executive 2WD: RM105,500
X70 1.5 Executive AWD: RM111,300
X70 1.5 Premium 2WD: RM117,900
X70 1.8 Premium 2WD RM121,800

Enjin 1.5 TGDI suntikan terus bahan api ini menjana 174hp pada 5,500rpm dan 255Nm tork pada 1,500 hingga 4,000rpm. Seperti dapat dilihat di atas, enjin 1.8 TGDI masih ditawarkan, dimana ia menghasilkan 181hp dan 300Nm tork.

Walaupun 1.5 TGDI mempunyai output lebih kecil, Proton berkata enjin ini adalah 43kg lebih ringan dan mampu menawarkan penjimatan bahan api sehingga 7 peratus.

Untuk MC 2022 ini juga, varian AWD Kembali ditawarkan. Menurut Proton, terdapat permintaan dari pelanggan mereka yang mahukan AWD terutamanya mereka yang tinggal di Sabah dan Sarawak.

Selain itu, Proton X70 MC 2022 menerima perubahan kosmetik luar dan dalam. Dari luaran, ia boleh dikenalpasti melalui penggunaan kemasan hitam yang lebih menyeluruh, terdapat pada gril, perumah lampu kabus, dan diffuser belakang.

Terdapat juga rim 19-inci rekaan baharu, pintu belakang berkuasa dengan pengesan kaki.

Di bahagian dalam pula, Proton X70 MC 2022 mendapat headliner (siling) dengan kemasan hitam, tempat duduk balutan kulit Nappa baharu, serta sistem penapis udara N95 yang diintegrasi dengan pendingin hawa.

Dari segi teknologi pula, Proton X70 2022 ini didatangkan dengan sistem infotainmen dengan fungsi arahan suara, navigasi, Proton Link, dan enam soket USB.

X70 MC 2022 boleh didapati dengan enam pilihan warna, iaitu Snow White, Armour Silver, Jet Grey, Ruby Red, Cinnamon Brown dan Space Grey.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved