fbpx

Volvo XC40 Recharge EV dilancar, jarak pemanduan 418km, 0-100 dalam 4.9 saat

volvo xc40 recharge ev thumb

XC40 Recharge EV telah didedahkan secara rasmi oleh Volvo Car Malaysia (VCM) hari ini. XC40 Recharge EV ini juga merupakan model elektrik sepenuhnya yang pertama untuk Volvo.

Harga untuk SUV masih belum ada, hanya akan diumumkan pada 4 April nanti, tetapi tempahan sudah boleh dibuat. Penghantaran pula akan mula dibuat pada penghujung April.

Volvo XC40 Recharge EV ini dipasang di Malaysia (CKD) dan menariknya, ia merupakan kenderaan EV CKD pertama di negara ini. Syabas Volvo!

Tambahan lagi, XC40 Recharge EV ini juga akan dieksport ke pasaran-pasaran lain di ASEAN, menjadikan Malaysia hab untuk kenderaan EV Volvo.

XC40 Recharge EV dilengkapi pek bateri lithium-ion 78kWh yang boleh memberikan jarak pemanduan sehingga 418km. Pecutan ke 100km/j pula boleh dilakukan dalam 4.9 saat sahaja, sementara kelajuan maksima dihadkan kepada 180km/j.

Untuk pengecasan, tahap bateri boleh mencapai 80 peratus dalam hanya 40min menggunakan pengecaj pantas DC. Jika menggunakan pengecaj AC biasa dengan kapasiti 11kW, pengecasan ke tahap 80 peratus akan mengambil masa kira-kira 7 jam setengah.

Volvo XC40 Recharge EV boleh dibezakan dari varian-varian lain melalui satu ciri unik di luar iaitu gril depannya yang bertutup. Bahagian lain nampak serupa dengan varian bukan EV, dimana slot pengecajnya di lokasi sama dengan XC40 Recharge T5 PHEV.

Volvo XC40 Recharge EV dilengkapi dengan navigasi yang dikatakan terbaik dalam kelasnya. Google Maps akan diintegrasi sepenuhnya dan disokong oleh Google Assistant yang akan memberikan maklumat seperti trafik dalam masa sebenar.

XC40 Recharge EV juga didatangkan dengan fungsi kemaskini automatik over-the-air atau secara online. Walaubagaimanapun fungsi ini belum boleh didapati untuk pasaran Malaysia, dan menurut VCM, “akan datang”.

Dengan semangat mapan dan mesra alam, Volvo XC40 Recharge EV dibina menggunakan bahan-bahan yang boleh diberbaharui. Sebagai contoh, karpet di dalam kabin adalah dari plastik kitar semula.

Dari sudut praktikaliti, Volvo XC40 versi elektrik ini membawakan rekaan ruang simpanan pintar di dalam kabin. Anda akan jumpa ruang-ruang simpanan ini untuk botol air, beg gymnasium, telefon pintar, komputer riba, makanan bungkus, malah ruang untuk wayar-wayar pengecaj.

Bahagian lain adalah sama dengan XC40 versi enjin biasa, dimana Recharge EV didatangkan dengan panel instrumen digital 12.3-inci, paparan infotainmen Android Automotive OS dan disokong oleh fungsi-fungsi keterhubungan seperti Volvo On Call.

Ciri lain pula adalah sistem pendingin hawa dwi-zon dengan Clean Zone, kemasan kulit Nubuck dan Nappa, bumbung panoramic, dan sistem audio Harman Kardon 600-watt dengan Quantum Logic.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved