fbpx

Hyundai Staria 10 tempat duduk dilancarkan – 3 varian, harga dari RM180k

Hyundai Staria 10 tempat duduk 02

TAHUN lalu, Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) membawa masuk Hyundai Staria Premium yang didatangkan dengan tujuh tempat duduk. Kini, syarikat itu melancarkan pula versi 10 tempat duduk yang direka untuk keluarga besar dan kegunaan komersial.

Staria 10 tempat duduk boleh didapati dalam tiga varian iaitu Lite (RM179,888), Plus (RM196,888) dan RM209,888 (Max). Harga yang disebutkan termasuk waranti standard selama dua tahun atau 50,000 km.

Bagaimanapun, dengan tambahan sebanyak RM10,000, pelanggan akan mendapat waranti selama lima tahun atau 300,000 km, serta pakej servis percuma selama tiga tahun atau 50,000 km.

Versi ini mempunyai konfigurasi tempat duduk 2-3-2-3 yang boleh dilipat rata bagi mendapatkan kapasiti muatan sebesar 1,024 liter. Selain digunakan untuk mengangkut penumpang atau kargo, tempat duduk tersebut juga sesuai untuk dijadikan sebagai katil untuk dua orang untuk aktiviti perkhemahan.

Dari segi spesifikasi, varian Max tidak jauh berbeza jika dibandingkan dengan varian Premium. Ia didatangkan dengan lampu LED pada bahagian depan dan belakang, rim aloi berukuran 18 inci (rekaan berbeza) serta upholsteri kulit Nappa berwarna hitam.

Sistem infohibur pula terdiri daripada skrin sentuh lapan inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, serta kluster instrumen digital TFT LCD berukuran 10.25 inci. Bagaimanapun, versi ini tidak mempunyai sistem audio Bose dengan 12 pembesar suara dan juga sistem pencahayaan ambien seperti yang terdapat pada varian Premium.

Ciri-ciri lain yang turut disertakan termasuklah brek parkir elektronik dengan fungsi Auto Hold, fungsi pelarasan elektronik dan sokongan lumbar pada tempat duduk pemandu, sistem pendingin hawa dua zon dan pintu gelongsor pintar, lapan port USB dan pengecas wayarles.

Satu lagi ciri yang terdapat pada varian Max adalah sistem bantuan pemandu (ADAS) Hyundai SmartSense. Ia merangkumi Blind-Spot Collision Assist, Rear Cross Traffic Collision Assist, Lane Keeping Assist, Smart Cruise Control dengan Stop & Go, Forward Collision Avoidance Assist, Safe Exit Assist, High Beam Asisst dan bermacam lagi.

Semua varian Staria dikuasakan oleh enjin diesel 2.2-liter CRDi yang menghasilkan 177 PS pada 3,800 rpm dan 431 Nm dari 1,500 hingga 2,500 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan yang memacu roda depan. Terdapat empat mod pemanduan iaitu Smart, Normal, Eco dan Sport.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved