fbpx

Hyundai Staria dirasmikan di Malaysia, harga dari RM359k

hyundai staria 2021 01

HYUNDAI Staria yang futuristik telah tiba di Malaysia dan hadir dalam satu varian, iaitu Premium dengan harga RM358,888 (atas jalan, tanpa insurans). Harga ini merangkumi jaminan 2-tahun atau 50,000km.

Jika anda mahu jaminan sehingga 5-tahun/300,000km dan pakej servis percuma 3-tahun, tambah RM10,000 dan harga menjadi RM368,888.

Hyundai Staria ialah MPV premium dengan pelbagai konfigurasi sehingga 11 tempat duduk. Tetapi untuk pasaran Malaysia, Sime Darby Auto Hyundai membawakan satu varian sahaja iaitu Premium, dengan tujuh tempat duduk.

Dapat dilihat rupa luaran Staria ini hampir seperti sebuah kapal angkasa, dan rekaannya menggunakan satu garisan panjang dari depan, bumbung dan hingga ke belakang.

Di depan, terdapat satu bar lampu nipis melintang dengan lampu posisi dan DRL LED. Di bawahnya, terdapat gril radiator besar yang juga ‘ditarik’ hingga ke tepi, hampir sama lebar dengan badannya. Gril ini mempunyai elemen tiga-dimensi dan di sini juga terletaknya lampu utama LED kiub.

Bahagian dalam Hyundai Staria pula direka dengan konsep lounge seperti di lapangan terbang atau hotel, dimana ia akan membuatkan penumpang merasa selesa dan relaks. Malah, tempat duduk baris kedua Staria lebih besar dari baris pertama dan ketiga.

Semua tempat duduk dibaluti dengan Nappa Leather, dan keselesaan ditambah dengan kabin yang luas serta mudah dilihat ke luar, hasil dari rekaan beltline atau dasar tingkap sisi yang rendah.

Kedua-dua tempat duduk baris kedua dan ketiga juga boleh digelungsurkan ke depan atau belakang sebanyak 300mm, bergantung kepada keperluan. Ruang kargo maksima adalah hampir 5,000 liter.

Ruang yang luas pada Staria diperolehi kerana tidak seperti Starex yang menggunakan pacuan roda belakang, Staria menggunakan pacuan roda depan. Jadi, tiada sebarang shaf di bawah kabin, malah suspensi belakang menggunakan multi-link.

Staria dipacu oleh enjin 2.2-liter CRDi diesel yang sama dari Santa Fe, tetapi ditala agar mempunyai kuasa lebih rendah, sekitar 177PS dan 431Nm tork. Ini kerana Hyundai Staria mementingkan keselesaan dan kelancaran pemanduan. Kotak gear pula ialah automatik 8-kelajuan.

Hyundai berkata Staria ini disasarkan untuk pasaran MPV mewah yang selama ini dikuasai oleh Vellfire dan Alphard. Jadi, jika anda dalam pasaran ini, mana satu jadi pilihan?

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2021 © ENGEAR TV | All Rights Reserved