fbpx

Hyundai Staria-Load: Van komersial dengan rupa futuristik, tetapi bukan EV!

Hyundai Staria-Load 01

DIPERKENALKAN pada Mac lalu, Hyundai Staria adalah MPV dengan rekaan futuristik yang mampu memuatkan sehingga 11 penumpang.

Kini, jenama dari Korea Selatan itu memperkenalkan pula versi komersial yang dikenali sebagai Staria-Load. Difahamkan, ia dibangunkan khas untuk pasaran Australia sebagai pengganti model terdahulu iaitu iLoad.

Dari segi penampilan, Staria-Load mempunyai rupa yang sama dengan model asas kecuali tingkap sisi pada kedua-dua sebelah kiri dan kanan telah digantikan dengan panel dalam warna yang sama badan, manakala rim yang digunakan pula adalah jenis keluli.

Ia boleh didapati sama ada dengan dua atau lima tempat duduk, dengan pilihan tailgate jenis terpisah (barn door) atau liftback seperti yang terdapat pada Staria.

Seperti kebanyakan van komersial yang lain, pilihan warna adalah terhad dan bagi model ini, hanya dua warna yang ditawarkan iaitu Shimmering Silver dan Creamy White.

Menurut Hyundai, versi dua tempat duduk menawarkan ruang kargo berkapasiti 4,935 liter dan mampu membawa tiga buah palet kayu bersaiz Euro (1,200mm x 800mm).

Versi lima tempat duduk juga tidak kurang hebatnya, dengan ruang kargo berkapasiti 2,890 liter yang boleh memuatkan dua buah palet kayu Euro yang disusun secara bertindih.

Staria-Load didatangkan dengan satu pilihan enjin sahaja iaitu enjin turbodiesel 2.2-liter empat silinder yang menghasilkan 174hp pada 3,800rpm dan 430Nm dari 1,500 hingga 2,500rpm.

Kuasa disalurkan ke roda hadapan oleh transmisi automatik lapan kelajuan – berbeza dengan iLoad yang mempunyai pacuan roda belakang. Pun begitu, ia masih berupaya untuk menunda beban sehingga 2,500kg.

Biarpun ia merupakan sebuah van komersial, Staria-Load tidak lekang dengan ciri-ciri mewah dan kemudahan yang boleh menjadikan pemanduan lebih selesa.

Antara ciri yang disertakan secara standard termasuk stereng dan tombol gear yang dibalut dengan kulit, kluster instrumen dengan paparan digital berukuran 4.2 inci, serta skrin multimedia lapan inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto. Turut disertakan adalah pad pengecas tanpa-wayar.

Sistem keselamatan pula merangkumi tujuh beg udara serta sistem bantuan pemandu (ADAS) seperti Blind Spot Collision Avoidance Assist-Rear, Driver Attention Warning, Forward Collision Avoidance Assist, Lane Following Assist, Lane Keeping Assist, Rear Cross-Traffic Collision Avoidance Assist, Safe Exit Warning, Smart Cruise Control dengan fungsi Stop & Go dan Surround View Monitor.

Menurut laman web Hyundai Australia, harga bagi Staria-Load bermula dari AUD50,141 (kira-kira RM152,538).

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved