Arkib Tag: EV

Sime Darby Motors jual lebih 10,000 kereta BYD dalam masa dua tahun

Sime Darby Motors (SDM) mengumumkan ia telah berjaya menjual lebih 10,000 kenderaan BYD di seluruh negara sejak dilantik sebagai pengedar rasmi jenama itu pada September 2022.

Bagi meraikan pencapaian ini, Sime Darby Motors baru-baru ini menganjurkan konvoi ‘BYD Dream Drive Melaka 2024’ yang disertai lebih 60 kenderaan BYD.

Menurut syarikat itu, Melaka dipilih sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China. Ini sekaligus menjadikan negeri bersejarah itu destinasi yang sesuai memandangkan sejarah hubungannya dengan China yang terjalin sejak abad ke-15.

Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Asia Tenggara, Sime Darby Motors berkata pencapaian ini mencerminkan penggunaan EV yang semakin meningkat di rantau ini serta kedudukan kukuh Sime Darby sebagai peneraju segmen EV.

“Komitmen kami dalam menyediakan pengalaman dan perkhidmatan terbaik menerusi kerjasama strategik dengan BYD telah menyumbang kepada kejayaan ini,” katanya.

Eagle Zhao, Pengarah Urusan BYD Malaysia pula berkata, “Pencapaian ini mencerminkan kepercayaan dan sokongan pelanggan kami yang menerima masa depan mobiliti dengan BYD. Ia telah menjadi perjalanan yang luar biasa dengan Sime Darby Motors dan kami berharap dapat meningkatkan pengalaman memandu lestari di Malaysia.”

BYD Malaysia berkata ia mensasarkan untuk menjual 10,000 kenderaan yang seterusnya dalam jangka masa yang lebih singkat.

Sime Darby Motors pula merancang untuk memperluaskan jaringan BYD di Malaysia kepada 30 bilik pameran menjelang akhir tahun ini. Buat masa ini, terdapat 26 bilik pameran BYD di seluruh negara, yang merangkumi 19 rakan kongsi peniaga, dengan 16 pusat 3S dan 10 pusat 1S.

5 EV terbaik berharga antara RM150,000 hingga RM200,000

Kalau anda ingat pada Ogos lalu, kami telah menyenaraikan lima kenderaan elektrik terbaik yang anda boleh beli pada harga antara RM100,000 hingga RM150,000.

Jika anda perasan, kelima-lima EV yang disenaraikan adalah daripada jenama China. Tetapi itu bukanlah benda yang tidak bagus kerana kebanyakan EV dari negara itu menawarkan prestasi, teknologi dan senarai kelengkapan yang baik pada harga mampu milik.

Untuk senarai lima EV terbaik yang berharga antara RM150,000 hingga RM200,000, masih terdapat ‘calon-calon’ daripada jenama China tetapi kali ini ada berita baik untuk mereka yang ingin mencuba EV daripada jenama Eropah kerana terdapat tiga model yang mungkin dapat memenuhi citarasa mereka:

Volvo EX30 Plus (RM188,888)

Baru sahaja dilancarkan di pasaran Malaysia, Volvo EX30 mungkin bukan 100% Eropah kerana ia menggunakan platform buatan Geely yang turut digunakan oleh smart #1 dan Zeekr X, serta dipasang di China, tetapi tidak dapat dinafikan lagi yang ia adalah kereta Volvo yang sebenar.

Lampu LED tukul Thor menunjukkan yang ia adalah sebuah Volvo, begitu juga dengan ruang dalaman yang minimalis yang menampilkan pelbagai jenis bahan lestari. Jika anda mementingkan prestasi, jangan risau kerana varian Plus boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.3 saat sahaja. Ingin lebih pantas? Anda boleh mendapatkan varian Ultra Twin Performance tetapi ia berharga lebih RM200,000.

BYD Seal (RM163,800-RM199,800)

Bagi penulis, mana-mana senarai EV tidak akan lengkap tanpa BYD. Untuk julat harga RM150,000 hingga RM200,000, anda boleh mendapatkan sedan flagship Seal yang ditawarkan dalam tiga varian iaitu Dynamic, Premium dan Performance.

Ketiga-tiga ini berbeza dari segi prestasi (Performance paling laju dengan pecutan 0-100 km/j dalam 3.8 saat) dan jarak (Premium boleh pergi paling jauh iaitu 570 km) namun apa yang menariknya, tidak kira varian apa yang dipilih, anda mendapat senarai kelengkapan dan ciri yang hampir sama.

XPeng G6 (RM165,000-RM185,000)

XPeng merupakan jenama EV baharu dari China yang dibawa masuk oleh Bermaz, jadi anda tidak perlu risau tentang aftersales kerana Bermaz sememangnya berpengalaman dalam hal itu.

G6 adalah model pertama XPeng yang ditawarkan di Malaysia, menawarkan reka bentuk SUV coupe yang premium serta pelbagai teknologi canggih seperti Smart Electric Platform Architecture 2.0 dengan senibina 800V, sistem bunyi keliling XOpera dan fungsi keselamatan XPILOT 2.5 pada harga bawah RM200,000.

smart #3 Pro (RM175,000)

Seperti Volvo EX30, smart #3 boleh dikatakan sebagai anak campuran Eurasia kerana ia menggabungkan teknologi daripada syarikat Asia (Geely) dan reka bentuk Eropah (dalam kes #3, Jerman kerana ia direka oleh Mercedes-Benz).

Pro adalah varian pemula dalam barisan #3, dan pada harga RM175,000, ia menawarkan nilai untuk wang yang baik untuk mereka yang meminati jenama smart. Ia mempunyai 272 PS dan 343 Nm, boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.8 saat dan boleh dipandu sejauh 325 km dengan satu cas penuh, 10 km lebih jauh berbanding #1 Pro.

MINI Electric Cooper SE (RM193,888)

Penulis yakin ramai dalam kalangan pembaca Engear TV adalah peminat MINI. Untuk generasi kedua, MINI Cooper elektrik dilihat lebih berbaloi untuk dimiliki kerana ia bukan sahaja tampil dengan penggayaan lebih moden, malah lebih berkuasa dan jarak geraknya juga bertambah sekali ganda berbanding sebelum ini.

Dilancarkan di Malaysia pada Julai lalu, Cooper SE baharu dikuasakan oleh motor elektrik tunggal pada gandar depan yang menghasilkan 218 PS dan 330 Nm (34 PS dan 60 Nm lebih tinggi), membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.7 saat. Bateri dengan kapasiti lebih besar iaitu 54.2 kWj pula memberikannya jarak gerak sejauh 402 km dengan satu cas penuh.

 

MPV elektrik BYD M6 sah masuk pasaran Malaysia

Nampaknya barisan kenderaan elektrik BYD di Malaysia bakal diperluaskan lagi menerusi model baharu yang dikenali sebagai M6.

Dalam satu sesi soal jawab bersama media di Changsha, China baru-baru ini, Pengurus Besar Bahagian Jualan Auto BYD Asia Pasifik, Liu Xueliang mengesahkan bahawa MPV elektrik itu akan memasuki pasaran Malaysia tahun ini.

Walau bagaimanapun, tarikh sebenar pelancarannya masih belum diketahui, begitu juga dengan spesifikasi dan varian yang akan ditawarkan.

Namun penulis menjangkakan yang spesifikasi untuk pasaran Malaysia tidak jauh berbeza dengan apa yang pasaran Indonesia dan Thailand dapat.

Di Indonesia, M6 ditawarkan dengan konfigurasi enam atau tujuh tempat duduk, manakala di Thailand, ia hanya boleh didapati dalam versi enam tempat duduk.

Dari segi trenkuasa pula, kedua-dua pasaran itu menawarkan dua varian dengan kuasa yang berbeza. Varian asas yang dipacu oleh motor elektrik gandar depan mempunyai 163 PS/310 Nm, manakala varian lebih berkuasa (dikenali sebagai Superior di Indonesia dan Extended di Thailand) mempunyai 204 PS/310 Nm.

Seperti EV BYD yang lain, kuasa elektrik dibekalkan oleh pek bateri LFP dengan kapasiti 55.4 kWj untuk varian asas, dan 71.8 kWj untuk Superior/Extended. Ini memberikan jarak gerak NEDC sejauh 420 km untuk varian asas dan 530 km untuk varian Superior/Extended.

Varian asas M6 menyokong pengecasan pantas DC 85 kW, manakala varian Superior/Extended pula boleh menampung sehingga 115 kW, sekali gus membolehkan tenaga bateri dipulihkan dari 10% hingga 80% dalam masa 40 minit. Sementara itu, pengecasan AC pula terhad kepada 7 kW sahaja untuk kedua-dua varian.

Untuk pengetahuan anda, M6 boleh dikatakan sebagai pengganti e6 yang sepatutnya dilancarkan ke Malaysia selepas Atto 3. Jika dibandingkan dengan e6, rekaan bahagian hadapan M6 lebih selaras dengan model-model semasa BYD, dengan kemasan berwarna perak bertindak sebagai penghubung kepada lampu projektor LED.

Pada bahagian sisi, trim krom digunakan secara meluas pada bingkai tingkap dan skirt sisi, manakala di belakang, terdapat lampu yang melintang sepenuhnya yang ditemani jalur krom. Tidak seperti Atto 3, M6 menggunakan lencana ‘BYD’ yang lebih ringkas.

Ruang dalamannya lebih konvensional jika dibandingkan dengan Atto 3 atau Dolphin, namun M6 menawarkan senarai kelengkapan yang cukup meluas dengan ciri-ciri seperti skrin berputar 12.8 inci, pengecas tanpa wayar berkembar, kemasukan tanpa kunci, bumbung kaca panoramik, pendingin hawa automatik dan pelbagai lagi.

Dari segi keselamatan, terdapat enam beg udara serta ciri ADAS yang merangkumi Autonomous Emergency Braking, Adaptive Cruise Control, Lane Centring Assist, Emergency Lane Keeping Assist dan Blind Spot Monitoring.

Bagaimana pula dengan harga? Di Indonesia, M6 dijual pada harga 379 juta rupiah hingga 429 juta rupiah (RM102,968-RM116,481), manakala di Thailand pula, harganya bermula dari 829,900 baht hingga 929,900 baht (RM106,014-RM118,788).

BYD Dolphin, Atto 3 di Malaysia tidak terlibat dengan panggilan semula – Sime Darby Motors

Pengedar rasmi kenderaan BYD di Malaysia iaitu Sime Darby Motors dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa model BYD yang dijual di negara ini tidak terlibat dalam kempen panggilan semula yang diumumkan oleh BYD di China.

Menurut Sime Darby Motors, panggilan semula itu terhad kepada kenderaan yang dijual di negara itu sahaja.

Dalam pengumuman berkenaan, BYD Auto Industry Co., Ltd. and BYD Automobile Co., Ltd. berkata ia sedang memanggil semula unit-unit tertentu Dolphin dan Yuan Plus (juga dikenali sebagai Atto 3) yang dipasang secara domestik.

“Kelompok dan model yang dipanggil balik dalam wilayah tanah besar China tidak berkaitan dengan pasaran di luar wilayah tanah besar China,” kata syarikat itu.

Pada 30 September lalu, CarNewsChina melaporkan bahawa BYD telah memanggil semula 96,714 unit Dolphin dan Yuan Plus akibat kemungkinan risiko kebakaran.

Daripada jumlah tersebut, 87,762 unit dipasang antara 4 Februari 2023 dan 26 Disember 2023, manakala selebihnya iaitu 8,952 unit dipasang dipasang antara 2 November 2022 hingga 19 Jun 2023.

Menurut portal China itu, terdapat kecacatan dalam proses pembuatan pengawal pemasangan kolum stereng kuasa elektrik (CEPS).

Apabila penutup komponen tersebut ditutup, ia mungkin mengganggu kapasitor pada papan litar pengawal yang akan menyebabkan keretakan kecil di dalam kapasitor.

Keretakan ini boleh menjadi lebih besar, sekali gus menyebabkan litar pintas dan berpotensi menyebabkan kebakaran.

Bagi menghapuskan risiko keselamatan, wakil pengedar BYD akan memasang pad penebat pada komponen pengawal berkenaan secara percuma.

Kami pandu uji kembar Proton e.MAS 7, Geely Galaxy E5 – Pandu Uji Ringkas

Minggu lalu, Proton Centre of Excellence (COE) menjadi destinasi penamat bagi siri jelajah dunia Geely Galaxy E5 yang bermula dari China.

Walaupun digelar sebagai ‘siri jelajah dunia’, konvoi yang terdiri daripada beberapa unit Galaxy E5 pemanduan sebelah kiri itu sebenarnya hanya merentasi tiga negara Asia Tenggara iaitu Laos, Thailand dan Malaysia.

Biar pun begitu, perjalanan sejauh 3,700 km itu dilihat sudah cukup untuk membuktikan kemampuan dan ketahanan Galaxy E5 dalam dunia sebenar.

Menurut wakil dari Geely, konvoi tersebut berjaya melengkapkan perjalanan yang panjang itu tanpa sebarang masalah dan setiap unit berjaya tiba di COE dalam keadaan elok walaupun berhadapan dengan banjir di Laos yang diakibatkan oleh Taufan Yagi.

Mengambil kesempatan yang ada, Proton telah menjemput pihak media untuk memandu uji kembar kepada Proton e.MAS 7 itu di litar ujiannya di COE. Bukan itu sahaja, beberapa media terpilih juga berpeluang untuk memandu EV itu di jalan raya untuk pengalaman pemanduan yang lebih realistik.

Apa yang penulis boleh katakan, sesi pandu uji ini memberikan bayangan yang agak jelas mengenai reka bentuk, teknologi dan prestasi e.MAS 7 yang akan dilancarkan ke pasaran tempatan tidak lama lagi.

Reka bentuk luaran sama sahaja?

Proton sebelum ini menekankan bahawa e.MAS 7 bukanlah model rebadge Galaxy E5. Dari sudut teknikal, dakwaan ini benar kerana e.MAS 7 sememangnya dibangunkan serentak dengan Galaxy E5. Menurut Proton, lebih 100 jurutera mereka terlibat dalam projek ini.

Walau bagaimanapun, dari segi reka bentuk luaran, kami tidak rasa Proton boleh membuat terlalu banyak perubahan pada e.MAS 7 kecuali menukar logo dan lencana asal. Elemen Infinite Weave seperti yang digunakan pada model-model lain juga tidak boleh diterapkan kerana e.MAS 7 tidak mempunyai gril.

Cuma, apa yang penulis nampak, e.MAS 7 menggunakan rim satu inci lebih kecil iaitu 18 inci berbanding Galaxy E5 yang didatangkan dengan rim 19 inci.

Ruang dalaman minimalis tetapi mewah

Seperti bahagian luaran, rekaan ruang kabin e.MAS 7 juga dijangka tidak jauh berbeza dengan Galaxy E5. Tetapi ini adalah benda bagus kerana rekaan ruang dalaman EV dari China ini agak mengagumkan, sama ada dari segi susun atur atau bahan yang digunakan.

Upholsteri kulit yang digunakan kelihatan begitu mewah dan terasa cukup lembut pada sentuhan. Paling penting, ia diaplikasikan secara meluas bukan sahaja pada tempat duduk, tetapi bahan itu juga membaluti sebahagian besar papan pemuka dan panel pintu.

Selain daripada warna putih, Geely turut menawarkan pilihan warna merah perang dan biru gelap. Adakah Proton akan menawarkan pilihan warna yang sama? Sama-sama kita nantikan.

Luas dan praktikal, sesuai untuk rakyat Malaysia

Dengan tapak roda berukuran 2,750 mm, Galaxy E5 menawarkan ruang kabin yang luas dan selesa. Penulis amat kagum dengan ruang kaki penumpang belakang yang setanding dengan kereta segmen D walaupun ini merupakan SUV segmen C.

Tempat duduk belakang menawarkan sokongan peha yang mencukupi tetapi apa yang lebih menarik adalah kerusi penumpang hadapan yang didatangkan dengan fungsi Ottoman – satu ciri yang biasanya terdapat pada MPV mewah sahaja.

Bagi mereka yang sering membawa barangan yang banyak, jangan gusar kerana Galaxy E5 mempunyai 33 ruang storan termasuk laci di bawah kerusi belakang. Untuk sebuah SUV, ruang butnya tidaklah begitu besar (461 liter) namun terdapat ruang simpanan tambahan sebesar 51 liter di bawah lantai but.

Sarat dengan teknologi

Galaxy E5 dan e.MAS 7 menggunakan sistem operasi yang sama iaitu Flyme Auto yang dikuasakan oleh cip Longying One Chip 7 nm yang didakwa sebagai cip kokpit pintar pertama dari China. Selain integrasi telefon pintar, sistem operasi ini juga menawarkan ciri arahan suara untuk melakukan pelbagai perkara. Anggap sahaja ia seperti pembantu peribadi anda.

EV ini juga menggunakan sistem audio Flyme Sound berkapasiti 1,000 watt dengan 16 pembesar suara, termasuk pada perehat kepala. Bukan itu sahaja, terdapat juga pembesar suara pada bahagian luar yang berguna jika anda mahu memainkan muzik ketika berparti.

Anda juga boleh menggunakan pembesar suara luaran tersebut untuk membunyikan amaran kepada pejalan kaki atau pengguna jalan raya yang lain. Yang menariknya, pilihan bunyi yang disediakan boleh dikatakan sangat tidak konvensional. Ia termasuk bunyi “Hi”, ngauman harimau, kucing mengiau, deruman enjin supercar dan pelbagai lagi.

Galaxy E5 jelas ditala untuk keselesaan, bagaimana pula dengan e.MAS 7?

Biarpun agak singkat, sesi pemanduan di litar ujian Proton dan di jalan raya berjaya mendedahkan karakter Galaxy E5. Penulis dapat merasakan yang EV ini memang ditala untuk pemanduan yang lebih santai, berbeza dengan EV China lain yang penulis pernah cuba seperti smart #1.

Galaxy E5 didatangkan dengan motor elektrik tunggal pada gandar depan yang menjana 218 PS dan 320 Nm, membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.8 saat dan mencapai kelajuan maksimum 184 km/j.

Pada zaman kini, di mana EV sudah mampu menandingi supercar dengan mudah, angka ini tidaklah begitu mengagumkan namun penulis merasakan yang Galaxy E5 sebenarnya sudah cukup pantas untuk kebanyakan pemandu di luar sana. Cuma, tindak balas pendikitnya tenang dan tidak terburu-buru, walaupun ditekan dengan agresif.

Selain itu, sistem suspensi Galaxy E5 juga boleh dikatakan sangat lembut. Dalam perjalanan menuju ke Puncak Alam, kereta ini membuktikan yang ia mampu menyerap hentakan dari permukaan berlubang dengan cukup baik sehinggakan ia hampir tidak terasa di dalam kabin. Walau bagaimanapun, penulis dapat merasakan ada sedikit lantunan ketika bergerak pada kelajuan tinggi atau melalui jalan yang beralun.

Konklusi

Seperti yang dikatakan, sesi pandu uji ini sangat berharga kerana ia dapat memberikan sedikit sebanyak gambaran mengenai Proton e.MAS 7.

Dari segi reka bentuk luaran dan dalaman, serta sistem infotainment dan teknologi, penulis tidak mengharapkan perubahan yang terlalu ketara kerana pakej yang dibawakan oleh Galaxy E5 sudah cukup menarik.

Bagaimanapun, dari segi pemanduan terutamanya tindak balas pendikit dan talaan suspensi, Proton pastinya akan menggunakan kepakaran mereka bagi memastikan e.MAS 7 sesuai dengan keadaan permukaan jalan raya di Malaysia, selain dapat memenuhi permintaan pembeli EV tempatan.

Volvo jamin takkan hasilkan reka bentuk EV macam tetikus Apple

Kereta elektrik yang mementingkan tahap kecekapan aerodinamik yang tinggi dan kadar pekali seretan yang rendah sememangnya mampu menawarkan manfaat dari segi jarak gerak yang lebih jauh.

Cuma kelemahannya, ia tidak akan mempunyai reka bentuk yang cantik seperti kereta tradisional yang wujud di pasaran.

Contoh terdekat yang anda boleh lihat ialah reka bentuk mana-mana sedan elektrik Mercedes-Benz, seperti EQS, EQE serta model konsep Vision EQXX.

Bercakap kepada laman automotif Australia Drive, Florian Mockenhaupt selaku Pengurus Kanan Reka Bentuk Luaran Volvo berkata, “Ia bukanlah tentang nilai estetika, tapi dengan menghasilkan kereta yang kelihatan macam tetikus Apple akan hadir dengan bermacam-macam kompromi.

Beliau menambah, kereta Volvo masa hadapan akan mendapat manfaat daripada aspek aerodinamik yang ditambah baik, dan dalam masa yang sama mengekalkan aspek keselesaan yang didambakan oleh pelanggan.

Mockenhaupt juga turut menegaskan Volvo tidak akan menggunakan pendekatan strategi “sosej yang sama, panjang yang berbeza” seperti yang diamalkan oleh sesetengah pesaing dari Jerman.

Memetik laporan Automotive News, CEO Volvo mengesahkan jenama itu akan melancarkan sehingga 10 buah model generasi baharu dan yang akan dikemaskini untuk tempoh 24 bulan akan datang.

Dua daripadanya merupakan model serba baharu, iaitu crossover EX60 dan sedan ES90 yang bakal ditawarkan dalam versi EV dan juga plug-in hybrid (PHEV).

Teaser Volvo ES90

Volvo EX30 dilancarkan secara rasmi – 3 varian, harga dari RM189k

Volvo Car Malaysia telah melancarkan kenderaan elektrik terbarunya iaitu Volvo EX30. Ini merupakan kenderaan Volvo terkecil dan terpantas pernah dihasilkan setakat ini.

Untuk pasaran tempatan, EX30 ditawarkan dalam tiga varian iaitu Plus, Ultra dan Ultra Twin Performance.

Plus dan Ultra menggunakan trenkuasa motor tunggal Single Motor Extended Range yang menghasilkan 272 PS/343 Nm, membolehkan pecutan 0-100 kmj dalam 5.3 saat.

Varian Ultra Twin Performance pula mempunyai motor berkembar dengan kuasa sebanyak 428 PS/543 Nm, dengan masa pecutan 0-100 kmj dalam 3.6 saat.

Semua varian dilengkapi bateri NMC berkapasiti 69 kWh yang memberikan jarak sehingga 476 km untuk varian motor tunggal dan 450 km untuk EX30 Ultra Twin Performance.

Bateri itu mampu dicas pantas menggunakan pengecas DC 175 kW dari 10 hingga 80 peratus dalam hanya 28 minit.

Ciri-ciri standard termasuk lampu depan LED, roda aloi Diamond Cut 19-inci, sistem audio premium Harman Kardon dalam bentuk sound bar, tailgate kuasa, cermin pandang belakang dan cermin sisi anti-silau, dan lampu ambien dalaman bertema.

Varian Ultra menambah ciri Park Pilot Assist, kamera 360°, tempat duduk hadapan berkuasa, dan bumbung panoramik.

Untuk sistem keselamatan, terdapat sistem bantuan pemandu canggih yang terdiri daripada Pilot Assist yang ditambah baik, Park Pilot Assist, amaran pembukaan pintu dan pencegah pelanggaran.

Pelanggan mempunyai pilihan warna luaran Cloud Blue, Vapour Grey, Crystal White, dan Onyx Black, dengan warna unik Moss Yellow yang tersedia secara eksklusif untuk varian Ultra untuk tempoh terhad di Malaysia.

Harga bermula dari RM188,888 untuk EX30 Plus, RM208,888 untuk EX30 Ultra, dan RM228,888 untuk EX30 Ultra Twin Performance.

Seperti setiap model elektrik penuh Volvo, EX30 datang dengan lima tahun Pelan Servis Volvo (VSP), perkhidmatan digital, bantuan tepi jalan 24 jam, serta jaminan kenderaan tanpa had jarak perjalanan.

Untuk ketenangan minda pengguna, bateri voltan tinggi dijamin selama lapan tahun.

Volvo EX30 kecil-kecil cili padi – Pandu Uji Ringkas

Dibangunkan menggunakan platform SEA milik Geely yang turut digunakan oleh smart #1 dan Zeekr X, EX30 merupakan kenderaan Volvo yang paling kecil setakat ini.

Namun ia tidak boleh sekali-kali dipandang remeh kerana walaupun mempunyai saiz yang kompak, EX30 menawarkan semua yang pembeli dalam segmen ini inginkan – rupa, teknologi, praktikaliti dan sudah tentu, prestasi.

Terima kasih kepada aktiviti-aktiviti menarik yang disediakan semasa sesi pandu uji media yang dianjurkan oleh Volvo Car Malaysia baru-baru ini, kami berjaya mendapat gambaran jelas mengenai kemampuan sebenar EX30 dan kenapa ia sangat menarik.

Tetapi sebelum itu, mari kita lihat dulu bahagian luaran dan dalaman EV dari jenama Sweden ini. Dengan ukuran panjang 4,223 mm, lebar 1,837 mm, dan tinggi 1,555 mm, ia sebenarnya lebih kecil berbanding kedua-dua kembarnya iaitu #1 dan X.

Namun bagi penulis EX30 mempunyai perkadaran (proportion) yang cukup seimbang dan sporty, dengan overhang depan dan belakang yang sama panjang, tapak roda yang panjang (2,650 mm) dan rim yang besar.

Walaupun unit-unit pandu uji ini masih dibalut pelekat penyamaran, sekali pandang anda sudah tahu ia sebuah kereta Volvo terima kasih kepada lampu nyalaan siang LED berbentuk tukul Thor yang menonjol. Sudah tentu, logo jenama itu juga terpampang jelas pada bahagian hadapan kereta ini.

Seperti yang boleh dijangka dari jenama ini, ruang dalaman EX30 tampil kemas dan rapi. Selari dengan konsep kelestarian, Volvo memilih untuk menggunakan bahan-bahan yang boleh diperbaharui dan kitar semula di hampir setiap ceruk kabin kereta ini.

Selain butang cermin tingkap pada konsol tengah, anda tidak akan menemui sebarang butang fizikal di dalam EX30. Malah, panel instrumen digital pun tidak ada di dalam kereta ini. Semua fungsi serta maklumat seperti kelajuan kenderaan dan kedudukan gear perlu diakses menerusi skrin sentuh berukuran 12.3 inci.

Pendekatan ini berkesan dalam menghasilkan ruang kabin yang minimalis namun mereka yang old school akan memerlukan sedikit masa untuk membiasakan diri. Manakan tidaknya, untuk mengubah cermin sisi dan membuka glove box juga perlu dilakukan menerusi skrin sentuh berkenaan.

Tidak boleh dinafikan yang ruang dalaman EX30 memang kecil tetapi penulis tidak rasa kebanyakan pengguna akan mempunyai masalah untuk menyimpan barangan mereka.

Ini kerana Volvo telah berfikir di luar kotak untuk menghasilkan sebanyak mungkin ruang penyimpanan barang. Pertama sekali, Volvo menggunakan sound bar Harman Kardon yang diletakkan pada papan pemuka bagi memastikan terdapat ruang yang cukup besar pada panel pintu.

Selain itu, pemegang cawan pada konsol tengah boleh digelongsorkan ke dalam manakala di bawahnya terdapat satu lagi ruang penyimpanan yang agak besar di mana anda boleh meletakkan barang-barang seperti dompet atau tas tangan.

Apa yang menarik, lantai ruang ini boleh dibuka untuk menghasilkan kompartmen yang lebih dalam. Terletak betul-betul di belakang kompartmen ini adalah bekas kecil yang boleh dikeluarkan.

Sekarang, berbalik kepada sesi pandu uji media yang dikatakan tadi. Dari ibu pejabat Volvo Malaysia di Petaling Jaya, kami bertolak ke lapangan terbang lama di Sungai Besi untuk dua aktiviti pemanduan yang menyeronokkan iaitu drag race dan slalom.

Aktiviti slalom bukanlah bukan benda baru untuk penulis tetapi kali ini ia sedikit berlainan kerana kami perlu melakukannya secara mengundur. Imej dari kamera yang cukup terang dan jelas banyak membantu penulis mengelak daripada terlanggar kon.

Seterusnya, aktiviti drag racing dengan Volvo V60 T8 berjaya merungkai kemampuan sebenar EX30 pada laluan lurus. Varian Ultra Twin Performance yang kami pandu mempunyai mod ‘rahsia’ yang perlu diaktifkan bagi membolehkan ia menghasilkan kuasa maksimum 428 PS dan 543 Nm.

Dengan semudah itu sahaja, EX30 boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.6 saat bagi mengalahkan wagon PHEV yang sebenarnya jauh lebih berkuasa itu.

Usai berlumba di Sungai Besi, kami bergerak ke Bamboo Hills untuk demonstrasi ciri Park Pilot Assist. Ciri ini cukup mudah untuk digunakan dan boleh mengesan ruang parkir kosong dengan serta merta. Anda hanya perlu memilih ruang yang dikehendaki dan kereta ini akan melakukan segalanya untuk anda.

Kemudian, kami ke Ikea Damansara untuk aktiviti yang lain dari yang lain iaitu membeli-belah. Setiap pasukan yang terdiri daripada enam media diberikan bajet bernilai RM2,000 untuk membeli sebanyak mungkin barang untuk dimuatkan ke dalam EX30.

Terima kasih kepada ruang but yang mempunyai kapasiti maksimum 904 liter (jika tempat duduk belakang dibaringkan), kompartmen di bawah lantai but sebesar 61 liter, dan frunk sebesar 7 liter, pasukan penulis berjaya menyumbat beberapa buah kerusi, tilam futon, bantal dan banyak lagi barangan lain tanpa sebarang masalah.

Aktiviti ini menunjukkan bahawa walaupun EX30 bersaiz kompak, ruang dalamannya yang cukup versatil dan sesuai digunakan untuk ke destinasi percutian hujung minggu di Lembah Klang dan kawasan sekitar.

Dari Kuala Lumpur, kami kemudiannya menuju ke Janda Baik sebagai hentian terakhir sesi pandu uji ini. Perjalanan dari ibu kota ke pusat peranginan terkenal itu cukup seronok terutamanya ketika menyusuri Lebuhraya Karak memandangkan EX30 mempunyai pengendalian yang stabil dan mantap.

Walaupun dipandu dengan agresif sepanjang hari, ditambah pula dengan perlumbaan drag tersebut, penulis berjaya tiba ke Janda Baik dengan kuasa bateri berbaki sekitar 45%. Bayangkan jika ia dipandu dengan lebih cermat?

Untuk pengetahuan, varian Ultra Twin Performance didatangkan dengan bateri Nickel Manganese Cobalt (NMC) berkapasiti 69 kWj yang menjanjikan jarak pandu sekitar 450 km berdasarkan kitaran WLTP.

Bateri berkenaan boleh dicas dari 10% hingga 80% dalam hanya 28 minit menggunakan pengecas pantas DC 175 kW. Pengecasan AC 11 kW pula memerlukan kira-kira 7.5 jam untuk pengecasan penuh.

Konklusi

Untuk sebuah EV, Volvo EX30 menawarkan banyak kelebihan. Rekaan bahagian luaran dan dalamannya cukup moden dan sangat menarik perhatian tetapi dalam cara yang tidak keterlaluan.

Bercakap tentang ruang dalaman, kekurangan butang fizikal mungkin akan membuatkan sesetengah pelanggan berfikir dua kali sebelum membelinya namun berdasarkan pengalaman penulis, semua fungsi dan ciri yang ada boleh diakses dengan mudah. Anda hanya perlu mengambil sedikit masa untuk belajar menggunakannya.

Bagi penulis, kekuatan utama model ini terletak pada prestasi dan praktikaliti, menjadikannya pilihan yang sesuai untuk golongan muda yang mempunyai gaya hidup aktif.

Geely tinjau lokasi dirikan kilang pemasangan di Eropah

Syarikat automotif China Geely sedang meninjau lokasi yang sesuai untuk mendirikan fasiliti produksi yang besar di benua Eropah.

Namun menurut sumber Reuters, naib presiden Geely Auto Group Li Chuanhai mengesahkan perancangan tersebut “tidak 100 peratus” ketika berucap di Frankfurt, Jerman minggu lalu.

Geely sebelum ini mengadakan perbincangan dengan kerajaan Poland, namun pihak berkuasa negara itu tidak melihat Geely sebagai rakan pelaburan yang ideal.

Bertempat di Frankfurt, Geely telah membuka sebuah fasiliti baharu di mana ia akan menjadi lokasi pengujian dan pembangunan 13 buah model tenaga baharu untuk memenuhi piawaian Eropah yang lebih ketat.

Selain Geely, beberapa pengeluar automotif China termasuk Chery dan GWM turut merancang untuk mendirikan kilang pemasangan di Eropah untuk mengelakkan tarif yang lebih tinggi dikenakan terhadap EV yang diimport dari Tanah Besar.

Jelajah Proton e.MAS 7 bermula 5 Oktober, bakal kunjungi semua negeri termasuk Sabah & Sarawak

Proton meraikan pencapaian penting dengan pelancaran rasmi Jelajah Proton e.MAS 7 di Centre of Excellence (COE).

Acara bersejarah ini menyaksikan penyerahan baton daripada Jelajah Dunia Geely E5 kepada Proton e.MAS 7 yang akan memulakan babak baharu yang penuh dengan inovasi dan eksplorasi di seluruh Malaysia.

Jelajah Proton e.MAS 7 ini bertujuan untuk berinteraksi dengan rakyat Malaysia serta memberikan mereka peluang pandang pertama untuk mengalami sendiri kenderaan ini.

Ia akan menempuh lebih daripada 2,000 km merentasi pelbagai jenis laluan dan landskap, dari jalan pantai sehingga ke kawasan pergunungan sambil mempamerkan prestasinya.

Jelajah Proton e.MAS 7 akan bermula pada 5 Oktober 2024, mengembara ke setiap negeri di dalam Malaysia. Bermula dengan Negeri Sembilan, Melaka, dan Johor pada peringkat pertama, kemudian bergerak ke Pahang, Terengganu, dan Kelantan, diikuti oleh Perak, Pulau Pinang, Kedah, dan Perlis.

Jelajah ini akan diteruskan melalui KL dan Selangor sebelum menuju ke Malaysia Timur, bermula di Sabah dan berakhir di Sarawak.

Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET berkata matlamat pihaknya adalah untuk memberikan rakyat Malaysia pengalaman yang menarik tentang bagaimana kenderaan ini mengharungi keadaan jalan dan iklim unik di negara kita.

“Jelajah ini bukan sahaja akan meraikan komuniti kita yang berwarna-warni ini tetapi juga memupuk hubungan yang erat dengan para pelanggan kami,” kata Zhang Qiang.

Sebelum jelajah ini bermula, orang ramai berpeluang untuk melihat Proton e.MAS 7 dan pasukan PRO-NET beraksi di Putrajaya pada 25 September dan Shah Alam pada 26 September.

Perjalanan 3,700 km ke selatan Geely E5 menghadapi keadaan mencabar akibat Taufan Yagi. Sebagai model kembar Proton e.MAS 7, Geely E5 berjaya mengharungi air banjir dan pelbagai keadaan jalan tanpa sebarang insiden, menguatkan lagi kebolehpercayaan teknologinya.

“EV baharu ini berjaya mengharungi cuaca buruk dan keadaan jalan yang mencabar, termasuk air banjir. Ketahanan, kebolehpercayaan, dan kualiti Galaxy E5 mempamerkan keunggulan kejuruteraannya di sebalik Proton e.MAS 7 di mana menunjukkan bagaimana ia akan menjadi pengubah permainan untuk pasaran kita,” tambah Zhang Qiang.

Proton bawa vendor lawat kilang EV di China, 87% setuju kerjasama dengan pembekal

Proton telah bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan dua agensi kerajaan untuk membawa pembekal syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan Proton untuk menghadiri “Program Akses Pasaran, Pemindahan Teknologi & Peningkatan Vendor” di China.

Inisiatif ini bertujuan untuk memupuk inovasi, meningkatkan aktiviti, dan menyokong peralihan Malaysia ke arah mobiliti yang mampan.

Dianjurkan oleh KUSKOP dan diketuai oleh Institut Automotif Robotik dan IoT Malaysia (MARii) serta Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF), program tersebut telah diadakan pada awal Julai untuk mempercepatkan pembangunan kenderaan generasi akan datang dan kenderaan elektrik berkuasa bateri melalui perkongsian strategik dan pertukaran teknologi.

Wakil dari MBSB Bank, Tenaga Nasional Bhd, PLUS Expressways Bhd, UEM Edgenta Bhd, Telekom Malaysia serta 22 vendor Malaysia telah dibawa untuk melawat kilang komponen EV, seperti kilang dan stesen pengecas, pengeluar bateri dan pengecas di tujuh lokasi di China, termasuk Shanghai, Nanjing dan Hangzhou.

Antara lokasi yang dilawati termasuk anak syarikat Geely iaitu Zeekr dan pengeluar bateri serta pengecas EV VREMT di Teluk Hangzhou.

Sebagai peneraju global dalam bidang EV, ekosistem menyeluruh China untuk pembangunan EV, menjadikan program ini sangat penting dengan memberikan pandangan mendalam mengenai pembuatan, kemudahan dan perkhidmatan dalam industri EV.

Untuk memudahkan interaksi antara pembekal Proton dan pembekal EV Geely, sesi padanan perniagaan diadakan di Pusat Penyelidikan Geely (GRI) di Teluk Hangzhou semasa program tersebut. 95% peserta berpuas hati dengan sesi yang membantu mengenal pasti potensi perkongsian dan kerjasama untuk rantaian bekalan komponen EV.

87% pembekal tempatan menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan pembekal China. Lima kategori perkongsian utama dipilih adalah pengedaran, kerjasama dalam pemindahan teknologi, rakan usaha sama, kerjasama dalam pembangunan kemahiran, dan pelaburan untuk perniagaan bersama.

Menurut KUSKOP, kerajaan komited untuk memajukan EV dan teknologi hijau. Peningkatan kerjasama dan perkongsian bertujuan untuk membina infrastruktur penting dan menyokong ekosistem EV yang mampan melalui pemindahan teknologi.

Dengan membangunkan rantaian bekalan tempatan, Malaysia berharap dapat mengurangkan kebergantungan kepada import, mencipta pekerjaan, dan merangsang pertumbuhan ekonomi.

Leapmotor C10 dipertonton di Malaysia, dijangka dilancarkan pada Oktober ini

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Stellantis Malaysia, syarikat yang mengendalikan jenama Peugeot, DS dan Citroen, akan membawa masuk jenama EV dari China iaitu Leapmotor ke pasaran tempatan.

Model Leapmotor pertama yang akan dibawa masuk adalah C10, yang telah dipertontonkan kepada pihak media hari ini.

C10 merupakan SUV elektrik bateri lima tempat duduk yang mempunyai ukuran panjang 4,739 mm, lebar 1,900 mm, tinggi 1,680 mm dan tapak roda 2,825 mm.

Seperti yang boleh dilihat, ia menampilkan rekaan minimalis yang digabungkan dengan elemen-elemen moden dan premium seperti jalur lampu LED melintang pada bahagian depan dan belakang, rim 20 inci serta pemegang pintu jenis flush.

Konsep minimalis diteruskan pada bahagian dalam, di mana anda akan menemui roda stereng dua jejari, panel instrumen digital 10.25 inci dan skrin sentuh sistem infotainment 14.6 inci yang dikuasakan oleh cip Qualcomm Snapdragon.

Bagaimanapun, kami difahamkan yang C10 tidak akan didatangkan dengan Apple CarPlay dan Android Auto.

Selain itu, unit yang dipertontonkan ini juga menampilkan upholsteri kulit silikon Oeko-Tex, pengecas tanpa wayar, pendingin hawa dua zon, sistem pencahayaan ambien, fungsi pemanas/penyejuk tempat duduk dan bumbung suria panoramik.

Untuk keselamatan, C10 dilengkapi dengan ADAS Tahap 2 dengan 16 ciri serta kamera 360 darjah.

Spesifikasi trenkuasa untuk pasaran tempatan masih belum didedahkan tetapi untuk pasaran global, C10 mempunyai motor elektrik tunggal pada gandar belakang yang menjana 218 PS.

Ia dilengkapi dengan bateri jenis Lithium Iron Phosphate (LFP) berkapasiti 69.9 kWj yang mampu memberikan jarak pandu sejauh 420 km berdasarkan kitaran WLTP.

Perincian mengenai pengecasan tidak diketahui namun laman web global Leapmotor menyatakan bahawa bateri itu boleh dicas dari 30% hingga 80% dalam masa 30 minit.

Pelancaran rasmi Leapmotor C10 dijangka berlaku pada bulan Oktober ini. Harga masih menjadi tanda tanya tetapi ia sepatutnya tidak jauh berbeza dengan pesaing-pesaing terdekatnya seperti BYD Atto 3 dan Chery Omoda E5.

Lotus Theory 1, konsep supercar tiga tempat duduk berkuasa 1,000 PS

Lotus nampaknya masih lagi belum jemu untuk terus memperkenalkan model pantas berkuasa elektrik.

Terbaharu, pengeluar Britain itu memperlihatkan sebuah model konsep yang digelar sebagai Lotus Theory 1.

Supercar berkuasa elektrik itu membawakan tetapan dua motor elektrik dengan sistem pacuan semua roda yang mampu menjana kuasa 1,000 PS.

Pecutan 0-100 km/j mengambil masa kurang daripada 2.5 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum 320 km/j.

Pek bateri 70 kWh pula membenarkan jarak gerak sejauh 402 km untuk sekali cas penuh.

Binaan casis karbon turut membantu mengekalkan berat badan kurang daripada 1,600 kg.

Selain itu, rekaan luaran Theory 1 juga dikatakan mengambil inspirasi daripada S1 Esprit, dengan profil baji yang tajam serta bentuk cab-forward yang mengimbau kembali layout enjin tengah model Esprit.

Model konsep ini juga turut menampilkan beberapa inovasi yang menarik.

Seperti contoh, sistem robotik adaptif Lotuswear yang dibangunkan bersama Motorskins itu mampu memberikan maklum balas haptik kepada pemandu menerusi bonjolan yang terhasil pada tempat duduk dan roda stereng.

Lotus Theory 1 juga turut didatangkan dengan sistem stereng steer-by-wire, di mana pemandu boleh menentukan nisbah dan respons stereng mengikut kemahuan masing-masing.

Di tengah-tengah tab karbon Theory 1 menempatkan susun atur tiga tempat duduk di mana tempat duduk tengah dikhususkan untuk pemandu manakala penumpang pula duduk di sebelah kanan dan kiri pemandu.

Terdapat skrin paparan head-up disertakan, diikuti dengan unit pembesar suara yang ditanam pada struktur perehat kepala untuk setiap tempat duduk.

Proton e.MAS 7 jalani ujian intensif, pastikan EV lasak dan sesuai dengan pasaran tempatan

Pro-Net mendedahkan bahawa kenderaan elektrik nasional pertama iaitu e.MAS 7 kini sedang menjalani ujian jalan raya tempatan.

Menurut Pro-Net, fasa ujian intensif itu melibatkan enam unit e.MAS 7 yang dipandu oleh jurutera pakar Proton merentasi setiap pelusuk di Semenanjung Malaysia.

Ia merangkumi Ujian Ketahanan Adaptif (DAT), Ujian Jalanan Elektrikal (ERT), Ujian Sistem Bantuan Pemandu (ADAS), dan Ujian Kebolehpercayaan Kualiti (QRT), serta penambahbaikan yang berterusan pada sistem navigasi, Digital Head Unit (DHU), dan Penyedia Sistem Telematik (TSP).

Setakat ini, jurutera Proton telah menjalankan simulasi DAT yang dapat membaca faktor persekitaran dan corak lalu lintas unik di Malaysia.

Sistem navigasi dalam kereta telah diperinci dengan teliti untuk menggambarkan peta jalan raya Malaysia dengan tepat dan mengoptimumkan penangkapan frekuensi radio untuk stesen tempatan, memfokuskan laluan luar bandar, kawasan pergunungan, serta stesen kereta api untuk menguji sambungan rangkaian internet.

Sistem elektrik ini disasarkan untuk melengkapkan ujian jalan sejauh 10,000 km semasa Ujian ERT dijalankan untuk memastikan integrasi kesemua fungsi elektronik berjalan dengan lebih lancar.

Sistem ADAS telah diuji dengan teliti dalam pelbagai situasi seperti tempat letak kereta di pusat membeli-belah, di simpang jalan dan di jalan bertingkat.

Jurutera Proton juga telah menyesuaikan komponen perisian utama, memastikan sistem DHU dapat menterjemah bahasa asal pasaran China ke dalam Bahasa Inggeris Malaysia dengan tepat dan disesuaikan dengan tetapan tempatan, bukan hanya sekadar bergantung pada terjemahan umum.

Usaha kolaborasi antara Proton dan Geely ini membuktikan bahawa Proton e.MAS 7 bukan sekadar kenderaan yang ditukar jenama, tetapi merupakan kenderaan yang benar-benar berjiwa Malaysia.

Ujian ketahanan kenderaan, termasuk penyelesaian masalah dan pemeriksaan sistem yang ketat, memastikan daya ketahanan kenderaan mengikuti spesifikasi tempatan.

Jurutera Pro-Net telah melaksanakan 49 proses tambahan ciri unik daripada Geely untuk memastikan e.MAS 7 memenuhi piawaian tertinggi di peringkat tempatan dan global.

Ujian ini merangkumi segala aspek dari prestasi beban kenderaan sehingga ke kawalan kestabilan elektronik dan kebolehan meredah air yang telah dipertingkatkan — di mana hasil ujian e.MAS 7 melepasi Geely Galaxy E5 dengan kedalaman paras air 400 mm.

Ujian ini dijalankan pada bulan Julai dengan kedalaman air yang telah ditetapkan termasuk dengan ujian bonggol jalan untuk menggambarkan keadaan sebenar jalan raya di Malaysia. Satu isu ditemui dan diperbaiki selepas ujian tersebut dijalankan.

Seterusnya, e.MAS 7 akan menjalani akreditasi ASEAN NCAP. Ia juga akan menjalankan QRT untuk mencapai 100,000 km dalam ujian pecutan, prestasi brek dan penggunaan kuasa. Di samping itu, ujian perisian juga menjadi fokus utama jurutera Proton.

Toyota turunkan sasaran produksi EV global 2026 sebanyak 30 peratus

Seperti pengeluar yang lain, Toyota juga turut terkesan dengan penurunan permintaan terhadap kenderaan elektrik.

Menurut laporan terbaharu daripada akhbar Jepun The Mainichi, Toyota telah menurunkan sasaran produksi global bagi kenderaan elektrik menjelang tahun 2026 sebanyak 30 peratus.

Pengeluar tersebut kini menyasarkan produksi sekitar 1 juta unit, berbanding 1.5 juta unit EV dalam perancangan asal.

Toyota yang sebelum ini disifatkan sebagai pengeluar yang ‘degil’ telah mengubah strategi elektrifikasi mereka awal tahun lepas, di mana presidennya Koji Sato mengumumkan sasaran jualan EV sebanyak 1.5 juta unit menjelang tahun 2026.

Pasaran EV global pada mulanya menikmati pertumbuhan rancak, terima kasih kepada model popular yang dihasilkan oleh Tesla dan BYD.

Namun, jualan dalam segmen sifar emisi tersebut bergerak perlahan memandangkan ia gagal untuk menarik minat golongan selain pengguna terawal disebabkan kos yang tinggi serta masalah kekurangan infrastruktur pengecasan.

Sepanjang tahun 2023, Toyota berjaya menjual sebanyak 104,000 unit EV dengan peningkatan sebanyak empat kali ganda berbanding tahun sebelumnya.

Angka tersebut dilihat sangat kecil jika dibandingkan dengan jumlah jualan kenderaan secara keseluruhan melebihi 10 juta unit.

Berbanding EV, kenderaan hibrid Toyota dilihat mendapat sambutan yang cukup hangat disebabkan ia menawarkan penyelesaian yang lebih praktikal dalam memacu misi neutral karbon.

Disebalik perancangan untuk mengurangkan produksi EV, Toyota akan bertindak balas terhadap permintaan pasaran semasa dengan meningkatkan angka produksi bagi kenderaan plug-in hybrid.

JPJ perkenal siri pendaftaran “EV”, rekaan plat khas untuk kenderaan elektrik

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hari ini memperkenalkan rekaan plat khas JPJePlate yang dikhususkan untuk kenderaan sifar emisi (ZEV).

Menurut JPJ, tiga piawaian telah ditetapkan untuk rekaan plat khas yang diinspirasikan daripada negara Eropah, seperti:

1. Ciri retro-reflektif untuk meningkatkan keterlihatan pada waktu malam, dan mengurangkan kadar kemalangan

2. Pelekat hologram anti-klon untuk meminimumkan risiko kecurian dan penipuan

3. Teknologi RFID terintegrasi yang menyokong pembayaran tol dan parkir kenderaan.

Pelaksanaan JPJePlate ini akan berkuatkuasa bermula hari ini (9 September 2024) untuk kenderaan elektrik baharu, di mana tempahan boleh dibuat menerusi laman sesawang jpjeplate.jpj.gov.my.

Rekaan plat baharu ini tidak akan diwajibkan untuk kenderaan ZEV yang sudah berdaftar, namun pemilik masih boleh membuat tempahan seawal November ini.

Set lengkap JPJePlate berharga RM98/set merangkumi plat hadapan, plat belakang, pelekat cermin RFID dan kos penghantaran standard.

Selain itu, JPJ turut melancarkan bidaan nombor pendaftaran istimewa (NPI) dengan tanda indeks “EV” melalui Sistem JPJeBid bermula hari ini dan berakhir 13 September 2024 jam 10.00 malam.

Nombor pendaftaran “EV” ini akan dikhususkan untuk kenderaan ZEV sahaja dan tidak boleh didaftarkan pada kenderaan bukan ZEV.

Seperti yang telah dilaksanakan sebelum ini, sebahagian pendapatan daripada NPI ini akan disalurkan kepada inisiatif rakyat seperti program penukaran topi keledar percuma dan latihan lesen B2 untuk golongan B40.

Jadi yang pertama pandu Volvo EX30 pada 26-29 Sept ini

Volvo Car Malaysia menawarkan peluang kepada pelanggan untuk memandu uji Volvo EX30 dalam acara Volvo EX30 Experience yang akan berlangsung dari 26 hingga 29 September di KL Base, Sungai Besi.

Diadakan sejurus selepas pelancaran rasmi EX30 yang dijadualkan pada 25 September, acara tersebut menawarkan peluang kepada pelanggan untuk menjadi antara yang pertama untuk memandu SUV elektrik sepenuhnya yang terbaharu dari Volvo.

EX30 padat dengan teknologi dan menampilkan sistem bantuan parkir baharu, sistem Google Built-In, sistem Pilot Assist yang dinaik taraf dan kesedaran sekeliling 360° yang dibantu oleh kamera, sensor dan radarnya.

Bukan itu sahaja, EX30 juga merupakan kereta terpantas daripada Volvo dan mempunyai jejak karbon terendah daripada mana-mana kereta keluaran syarikat dari Sweden itu.

Pelanggan yang hadir ke Volvo EX30 Experience akan dapat: 

  • Memahami pelbagai idea kecil, inspirasi, pengiraan dan ujian yang dilakukan untuk memberikan impak besar dalam reka bentuk EX30. 
  • Melihat, menyentuh, mendengar, dan memandu sendiri EX30. 
  • Mempelajari teknologi canggih dan ciri keselamatan EX30 dalam satu sesi pemanduan kereta yang interaktif. 
  • Merasai sendiri pecutan pantas dan pengendalian dinamik EX30 di landasan lapangan terbang ikonik Sungai Besi. 
  • Menikmati pemanduan EX30 yang dilengkapi dengan reka bentuk yang mesra bandar
  • Nikmati layanan mesra Scandinavia yang diiringi oleh perunding berpengetahuan dari pengedar sah Volvo.

Volvo EX30 Experience akan berlangsung dari 10:00 pagi hingga 6:00 petang setiap hari dan slot adalah terhad berdasarkan siapa cepat dia dapat. Pendafataran boleh dibuat di https://forms.volvocarmalaysia.com/ex30

Pelanggan boleh membuat tempahan dalam talian untuk Volvo EX30 bermula 25 September.

 

Kotak gear berbilang kelajuan untuk kereta elektrik, perlu atau tidak?

Transmisi, atau kotak gear merupakan salah satu komponen penting dalam sesebuah kenderaan bagi memastikan setiap kuasa kuda yang dihasilkan oleh enjin dapat disalurkan ke jalan raya dengan sebaiknya.

Ini kerana enjin pembakaran dalaman (ICE) hanya mampu menjana kuasa yang cekap pada julat putaran enjin tertentu, dan setiap nisbah kelajuan telah dikira dan ditetapkan mengikut output enjin oleh pengeluar untuk memaksimumkan pengedaran kuasa yang cekap pada setiap gear.

Lain pula ceritanya dengan EV.

Tidak seperti ICE, motor elektrik mampu menjana daya kilas maksimum dengan konsisten pada mana-mana julat putaran per minit (RPM).

Boleh dikatakan kebanyakan EV dalam pasaran mempunyai transmisi nisbah tunggal, di mana nisbah gear tersebut telah ditentukan dan dikira dengan teliti bagi memaksimumkan tahap kecekapan motor elektrik.

Disebabkan sistem operasi yang sudah sedia cekap, kebanyakan pengeluar berpendapat penggunaan transmisi berbilang kelajuan hanya akan menambah ketidakcekapan seperti penambahan berat dan kos produksi yang semakin meningkat.

Namun begitu, ada model EV yang lebih premium seperti Porsche Taycan menggunakan kotak gear dua nisbah kelajuan.

Kotak gear tersebut memiliki gear pertama yang direka untuk memaksimumkan pecutan, sementara nisbah gear kedua pula direka untuk memastikan kadar kecekapan dan rizab kuasa yang tinggi walaupun pada pemanduan berkelajuan tinggi.

Kereta lumba Formula E pula ada yang menggunakan transmisi tiga nisbah kelajuan!

Jadi, apa pula perkara yang dibuat oleh sesetengah pengeluar seperti Hyundai dan Toyota?

Hyundai memperkenalkan ciri N e-shift di mana ia membolehkan pemandu membuat simulasi penukaran gear seakan menggunakan transmisi DCT lapan-kelajuan pada model Ioniq 5 N.

Toyota pula melakukan eksperimen dengan memadankan kotak gear manual pada model AE86 BEV, lengkap dengan klac kaki!

Semua ini dibuat demi memastikan seni pemanduan dan penukaran gear kendiri ini tidak akan pupus walaupun dunia sudah beralih kepada EV sepenuhnya satu hari nanti.

 

Volvo akui sasaran jadi jenama EV 2030 sukar dicapai

Tahukah anda, Volvo merupakan antara pengeluar automotif terawal di dunia yang mengumumkan strategi untuk menawarkan portfolio EV sepenuh masa menjelang 2030.

Malah, pada akhir Mei 2024, CEO-nya Jim Rowan menjelaskan sasaran tersebut masih lagi boleh dicapai, dan beliau turut yakin Volvo mampu akhiri jualan kenderaan berenjin pembakaran dalaman dalam tempoh masa lima tahun lagi.

Namun, dalam satu acara yang dianjurkan bersama pelabur pada lewat Julai lalu, CEO tersebut akhirnya mengakui “ia memerlukan masa bagi menghubungkan beberapa bahagian dalam dunia untuk mencapai elektrifikasi penuh.”

Dengan erti kata lain, sasaran awal untuk menjadi jenama EV tulen menjelang 2030 mungkin sukar untuk dicapai.

Melihatkan kepada perkembangan terkini, Volvo membuat keputusan untuk melaraskan kembali sasaran jualan, di mana pengeluar itu menyasarkan 90-100 peratus jualan terdiri daripada EV dan PHEV menjelang akhir dekad ini.

Sementara kenderaan hibrid yang tidak memerlukan port pengecasan pula akan kekal dijual untuk tempoh yang lebih lama berbanding jangkaan awal.

Pengeluar Sweden itu percaya beberapa faktor yang menyumbang kepada peralihan penggunaan EV yang kian perlahan, seperti pembangunan infrastruktur yang agak lembab, diikuti pengurangan insentif jualan EV serta pengenalan tarif baru untuk EV di sesetengah pasaran.

Selain Volvo, beberapa pengeluar utama dunia turut menyemak semula strategi elektrifikasi yang agresif, seperti Porsche, Mercedes-Benz, Bentley serta Ford.

‘Makmal bergerak’ Hyundai N Vision 74 sah masuk produksi, pelancaran menjelang 2030

Biarpun segmen kenderaan elektrik (EV) berdepan dengan masa depan yang tidak menentu, ia tidak menghalang Hyundai daripada terus mengorak langkah berikutnya.

Dalam acara CEO Investor Day 2024 yang dianjurkan baru-baru ini, Hyundai mengesahkan tidak kurang dari 21 model EV baharu akan dilancarkan menjelang tahun 2030 merangkumi model mampu milik sehinggalah model berprestasi tinggi.

Menariknya, Hyundai turut merancang untuk menjadikan model konsep N Vision 74 menjadi satu realiti.

Hyundai N Vision 74 merupakan konsep yang dibangunkan oleh Hyundai berdasarkan model coupe Pony 1974 yang direka oleh pereka lagenda Giorgetto Giugiario.

Tidak seperti Pony, N Vision 74 membawakan elemen retro moden dengan struktur badan berbentuk baji, spoiler belakang yang besar, serta unit lampu digital pada bahagian depan dan belakang.

Buat masa ini, Hyundai tidak mendedahkan unit rangkaian kuasa yang bakal digunakan pada N Vision 74 versi produksi sebenar.

Namun untuk makluman, N Vision 74 Concept merupakan sebuah kenderaan hibrid yang menggandingkan sistem sel bahan api hidrogen dan rangkaian kuasa elektrik bateri.

Unit pacuan elektrik 800 voltan tersebut merangkumi dua motor elektrik berkuasa 670 hp/900 Nm yang memacu roda belakang.

Pek bateri berkapasiti 62.4 kWh digunakan untuk membekalkan tenaga kuasa yang diperlukan oleh motor elektrik itu tadi.

Di bahagian hadapan, Hyundai memasang sistem sel bahan api hidrogen 114 hp dengan dua tangki hidrogen dengan kapasiti keseluruhan 4.2 kg yang boleh diisi penuh dalam masa lima minit sahaja.

Secara keseluruhan, N Vision 74 mampu bergerak sejauh hampir 600 km dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa empat saat.

Selain nama sebenar, Hyundai juga tidak mendedahkan garis masa spesifik pelancaran model produksi N Vision 74.

Apa yang diketahui pada masa ini, N Vision 74 merupakan salah satu daripada 21 model EV baharu yang bakal dilancarkan oleh Hyundai menjelang 2030.

Hyundai turut menyasarkan angka jualan keseluruhan mencecah 5.55 juta unit menjelang tahun yang sama, di mana 2 juta daripadanya terdiri daripada model EV.