fbpx

Kia EV6 GT-Line AWD memang hebat, bukan sekadar hype – Pandu Uji

Hyundai EV6 GT-Line AWD pandu uji 01

RASANYA anda semua sudah sedia maklum bahawa jenama Kia sudah jauh ke hadapan dalam industri automotif. Jenama itu yang dahulunya sering dipandang rendah kerana menghasilkan kereta yang buruk dan tidak berkualiti, kini mempunyai barisan produk yang mampu bersaing dengan pengeluar-pengeluar dari Eropah.

Malah, Kia telah mula mengorak langkah dalam segmen kenderaan elektrik (EV) sejak 2016 dengan Niro EV. Pada 2021, Kia memperkenalkan model EV kedua mereka iaitu EV6. Rata-rata reaksi yang diberikan adalah sangat positif dan kemuncaknya, ia merangkul dua gelaran berprestij iaitu European Car of the Year dan Car of the Year.

Kira-kira setahun selepas pelancarannya di peringkat global, EV6 akhirnya tiba di Malaysia menerusi Dinamikjaya Motors selaku pengedar rasmi Kia di negara ini. Saya akhirnya berpeluang untuk mencuba model ini dan menyiasat sama ada ia benar-benar mengagumkan atau sekadar hype.

Untuk pasaran Malaysia, EV6 ditawarkan dalam satu varian sahaja iaitu GT-Line AWD, pada harga RM300,668 (on-the-road tidak termasuk insurans). Ya, memang mahal namun saya boleh katakan pada harga ini, anda sebenarnya mendapat sebuah EV bertaraf premium dari segi reka bentuk, kelengkapan dan prestasi.

Apa yang anda perlu tahu, EV6 dibangunkan menggunakan platform E-GMP (Electric-Global Modular Platform) yang dibangunkan khusus untuk EV. Ini bermakna tidak ada model Kia berenjin petrol atau diesel yang dibina di atas platform yang sama.

Platform ini turut digunakan oleh Hyundai Ioniq 5 namun tidak seperti model itu yang tampil dengan tema retro futuristik, EV6 mempunyai reka bentuk yang 100 peratus moden dan futuristik. Saya secara peribadi merasakan ia adalah model Kia yang paling menarik pernah dihasilkan setakat ini.

Buat pengetahuan anda, Ioniq 5 dan EV6 kedua-duanya adalah crossover namun EV6 kelihatan lebih sleek kerana ukurannya 97 mm lebih pendek dan 55 mm lebih rendah berbanding Ioniq 5. Tapak rodanya juga lebih pendek dengan perbezaan sebanyak 10 mm.

Dari sisi, imej EV6 diserlahkan lagi menerusi rim berukuran 20 inci, manakala dari belakang pula rekaan lampu yang merentangi sepanjang bahagian tailgate dan fender membuatkan ia tampak lebar seperti sebuah kereta sport yang sebenar.

Berbeza dengan bahagian luarannya, saya mendapati ruang dalaman EV6 kekurangan ‘faktor wow’ – mungkin kerana penggunaan warna hitam dengan sedikit perincian berwarna putih pada tempat duduk dan stereng terasa agak basic untuk sebuah EV yang berharga RM300,000.

Walau bagaimanapun, setelah diamati dan disentuh, setiap permukaan terasa begitu kemas dan berkualiti tinggi. Lebih penting lagi, tiada bunyi menjengkelkan kedengaran apabila panel-panel ditekan. Tempat duduk pula dibalut dengan upholsteri suede yang terasa begitu lembut pada sentuhan.

Dari segi kelengkapan, sebenarnya banyak yang anda dapat. Ada dua skrin berukuran 12.3 inci, satu sebagai panel instrumen digital dan satu lagi sebagai skrin infohibur, Apple CarPlay dan Android Auto, sistem audio Meridian dengan 14 pembesar suara, pengecas wayarles, empat port USB-C dan dua soket 12 volt.

Satu lagi ciri yang bagi saya cukup berguna adalah Vehicle-to-Load (V2L) yang secara asasnya menjadikan EV6 sebuah power bank gergasi yang boleh digunakan untuk mengecas pelbagai perkakasan elektrik menerusi penyambung tiga poin yang disediakan.

Anda juga tidak perlu risau jika anjung kereta di rumah anda sempit kerana EV6 juga mempunyai ciri Remote Smart Parking Assist yang membolehkan anda menggerakkannya ke hadapan atau belakang dengan menggunakan kunci, tanpa perlu berada di dalam.

Ciri bantuan pemandu yang disertakan juga cukup lengkap. Selain ciri-ciri seperti Forward Collision-Avoidance Assist, High Beam Assist, Blind Spot Monitor dan sebagainya, EV6 turut didatangkan dengan Smart Cruise Control dengan Stop & Go, Lane Following Assist dan Lane Keeping Assist yang membolehkan ia dipandu secara separa autonomi.

Aspek keselesaan tidak dilupakan, dengan adanya ciri-ciri seperti sistem pendingin hawa dua zon lengkap dengan corong udara belakang, pencahayaan ambien, stereng tilt dan teleskopik serta perehat tangan. Lebih menarik lagi, tempat duduk hadapan mempunyai ciri Premium Relaxation yang membolehkan ia dibaringkan dengan sekali tekan sahaja.

Dari segi ruang dan praktikaliti, EV6 boleh memuatkan sehingga empat penumpang dewasa dengan cukup selesa. Ruang kaki belakang cukup luas tetapi ruang kepala mungkin agak terhad untuk mereka yang tinggi. Namun sekurang-sekurangnya penyandar belakang tidak terlalu tegak, bermakna perjalanan jauh selesa dan tidak memenatkan.

Memuatkan bagasi untuk trip hujung minggu tidak akan menjadi masalah kerana EV6 menyediakan ruang but sebesar 520 liter serta ruang storan tambahan sebesar 20 liter di bawah penutup bonet. Kereta ini juga sesuai untuk membawa muatan panjang kerana kerusi belakang boleh dilipat sepenuhnya.

‘AWD’ pada namanya bermakna EV6 GT-Line ini mempunyai dua motor elektrik iaitu satu pada setiap gandar. Dengan kuasa keseluruhan mencecah 325 PS dan 605 Nm, EV6 tidak syak lagi memang sebuah EV yang pantas walaupun mempunyai berat sekitar dua tan. Malah, kepala saya ditolak ke belakang setiap kali memecut dari persimpangan lampu isyarat.

Sudah tentu, setiap kali berbicara tentang EV, jarak gerak lebih penting dari prestasi pecutan. Dengan bateri Long Range berkapasiti 77.4 kWj, model ini sepatutnya boleh dipandu sejauh 506 km dengan satu cas penuh. Namun anda perlu tahu bahawa angka tersebut dicapai menerusi ujian yang dilakukan dalam persekitaran yang paling ideal.

Dalam dunia sebenar, saya boleh katakan memang mustahil untuk mendapatkan jarak seperti yang dikatakan oleh pengeluar. Ini kerana ia bergantung kepada beberapa faktor termasuk gaya pemanduan. Dalam erti kata lain, lebih agresif pedal ditekan, lebih pendek jarak yang anda akan dapat.

Namun sebagai pemandu, anda boleh memaksimumkan jarak gerak dengan memandu secara lebih ekonomik. Dengan EV6, anda juga boleh memanfaatkan teknologi brek janaan semula yang berfungsi untuk menyalur semula tenaga ke bateri setiap kali pedal brek ditekan. Terdapat tiga tahap kekuatan janaan semula yang boleh dipilih menerusi paddle shifter.

Sistem suspensi EV6 terasa sedikit keras. Ini sudah tentu memberikannya kelebihan dari segi kestabilan terutamanya ketika di selekoh. Dan dengan kuasa pecutan yang hebat, ia mampu keluar dari selekoh dengan pantas tanpa sebarang masalah.

Namun, ini secara tidak langsung menjejaskan aspek keselesaannya. Setiap lubang kecil serta bonggol boleh dirasakan dengan jelas di dalam kabin. Malah, kereta ini juga terasa melantun jika dipandu di atas jalan yang beralun.

Secara ringkasnya, saya amat berpuas hati dengan apa yang ditawarkan oleh EV6. Ia mempunyai rupa yang sangat menarik, ruang dalamannya cukup luas dan lengkap dengan segala teknologi yang sepatutnya ada, dan jarak gerak yang ditawarkan juga cukup memuaskan. Jika anda mencari sebuah EV untuk pemanduan harian dengan bajet RM300,000, ini adalah pilihan yang tepat.

Benar, harganya diakui memang tidak murah tetapi seperti yang saya katakan, anda mendapat sebuah EV yang premium. Malah, saya juga berani katakan yang EV6 lebih baik dari segala aspek dari pesaing terdekatnya dari Jerman iaitu Mercedes-Benz EQA.

Spesifikasi Kia EV6 GT-Line AWD

Harga: RM300,668
Motor elektrik: Dua, Permanent Magnet Synchronous Motor (PMSM)
Kuasa: 325 PS
Tork: 605 Nm
Bateri: 77.4 kWj

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved