fbpx

BMW CE 02 – ini bukan skuter atau motosikal elektrik tapi “eParkourer”

P90512766_highRes_the-new-bmw-ce-02-07

BEBERAPA tahun yang lalu, BMW Motorrad memperkenalkan skuter elektrik pertamanya iaitu CE 04, yang secara jujurnya nampak seperti sebuah jet ski futuristik dengan dua roda.

Kini, BMW Motorrad menambah satu lagi model ke portfolio elektriknya tetapi menurut syarikat itu, ia bukanlah sebuah skuter atau motosikal elektrik, sebaliknya ia digelar sebagai “eParkourer”.

Dikenali dengan nama CE 02, model ini dibangunkan untuk persekitaran bandar dan urban, dengan rekaan yang lasak, praktikal dan minimalis.

CE 02 dikuasakan oleh sebuah motor elektrik pada tayar belakang yang mampu menghasilkan 15 hp dan 55 Nm, membolehkan ia mencapai kelajuan maksimum 95 km/j. Jarak gerak maksimum adalah sekitar 90 km dengan satu cas penuh.

Untuk pemegang lesen kelas AM di Jerman, BMW Motorrad menawarkan versi kurang berkuasa yang mempunyai 5 hp, 55 Nm dan kelajuan maksimum 45 km/j.

Bagi versi standard, penunggang mempunyai dua mod iaitu Flow dan Surf. Flow ditala untuk tunggangan dalam persekitaran trafik di kawasan urban, manakala Surf adalah untuk gaya tunggangan yang lebih dinamik di luar kawasan bandar.

Mereka yang memilih spesifikasi tertinggi iaitu Highline boleh mencuba mod tambahan iaitu Flash untuk gaya tunggangan yang lebih sporty.

Dari segi pengecasan, CE 02 didatangkan dengan pengecas standard kediaman berkapasiti 0.9 kW yang boleh mengecas dari 20 hingga 80 peratus dalam tiga jam.

Bagaimanapun, dengan kabel pengecas pantas 1.5 kW yang disertakan secara standard bersama varian Highline, masa mengecas boleh dipendekkan kepada 1 jam 40 minit.

Untuk casis, CE 02 menggunakan kerangka keluli dengan rekaan double loop yang dipadankan dengan fork teleskopik bersama redaman hidraulik di depan dan lengan ayun tunggal bersama pramuatan boleh laras di belakang.

Ia dilengkapi dengan roda aloi berukuran 14 inci, sistem brek cakera pada bahagian depan dan belakang, serta ABS. Ketinggian tempat duduk adalah 750 mm, manakala berat keseluruhan mencecah 132 kg.

Dari segi kelengkapan pula, CE 02 didatangkan dengan lampu LED depan dan belakang, ciri Keyless Ride, soket pengecas USB-C dan paparan TFT.

Di samping ABS dan mod tunggangan, ciri-ciri elektronik yang terdapat pada model ini termasuk ASC (Automatic Stability Control), RSC (Recuperative Stability Control) dan Reverse Assistant.

Di Amerika Syarikat, versi asas CE 02 dijual pada harga bermula dari USD 7,599 (RM35,327). Versi Highline yang mempunyai banyak kelengkapan tambahan lain pula berharga USD9,069 (RM42,161).

Lihatkan Ulasan (10)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved