fbpx

BYD Dolphin tiba di pasaran Malaysia – harga dari RM99,900, jarak sehingga 490 km

BYD Dolphin lancar 01

SELEPAS melancarkan BYD Atto 3 pada Disember tahun lalu, Sime Darby Motors selaku pengedar rasmi BYD memperkembangkan rangkaian kenderaan elektrik (EV) mereka dengan pelancaran model baharu iaitu Dolphin.

Untuk pasaran Malaysia, Dolphin ditawarkan dalam dua varian iaitu Dynamic Standard Range dan Premium Extended Range, dengan harga runcit yang disyorkan (RRP) dari RM99,900 hingga RM124,900.

Untuk harga on-the-road tidak termasuk insurans, varian Dynamic Standard Range akan menjadi RM100,530 manakala Premium Extended Range pula RM125,530. Ini menjadikan ia model EV kedua paling mampu milik di negara ini selepas Neta V.

Dolphin didatangkan dengan waranti enam tahun/150,000 km. Untuk bateri dan unit pacuan pula, Sime Darby Motors menawarkan waranti lapan tahun/160,000 km dan lapan tahun/150,000 km.

Dalam versi Dynamic Standard Range, Dolphin mendapat pek bateri (Blade Battery) berkapasti 44.92 kWj yang menawarkan jarak gerak sehingga 410 km berdasarkan kitaran WLTP.

Ia mempunyai motor elektrik tunggal pada gandar depan yang menghasilkan 94 hp dan 180 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam 12.3 saat.

Sementara itu, varian Premium Extended Range dengan bateri 60.48 kWj pula dikatakan boleh dipandu sejauh 490 km dengan satu cas penuh.

Ia juga dilengkapi dengan motor elektrik tunggal namun dengan kuasa yang lebih tinggi iaitu 201 hp dan 300 Nm, versi ini hanya memerlukan 7.0 saat untuk memecut sehingga 100 km/j.

Dari segi pengecasan, Dolphin didatangkan standard dengan pengecasan AC 7kW. Bagaimanapun, untuk pengecasan pantas DC, kapasiti antara kedua-dua varian ini berbeza iaitu 60 kW untuk Dynamic Standard Range dan 80 kW untuk Premium Extended Range.

Walaupun berkongsi platform yang sama, Dolphin mempunyai ukuran dimensi yang lebih kecil berbanding iaitu 4,290 mm panjang, 1,770 mm lebar, 1,570 mm tinggi dan tapak roda 2,700 mm.

Antara kelengkapan yang disertakan secara standard termasuk lampu LED depan dan belakang, lampu nyalaan siang (DRL) LED, dan cermin sisi elektrik dengan fungsi pemanas. Saiz rim adalah 16 inci bagi Dynamic Standard Range dan 17 inci bagi Premium Extended Range.

Di dalam, terdapat upholsteri kulit sintetik, kluster instrumen digital lima inci, skrin sentuh sistem infohibur 12.8 inci yang boleh diputar seperti Atto 3, sambungan Apple CarPlay, navigasi satelit, fungsi arahan suara dan enam pembesar suara. Turut disertakan adalah Vehicle-to-Load (V2L).

 

Mendapat beberapa kelengkapan tambahan Premium Extended Range termasuk bumbung kaca panoramik, pengecas wayarles, serta fungsi pelarasan kuasa dan ventilasi pada tempat duduk depan.

Sistem bantuan pemandu (ADAS) disertakan secara standard pada kedua-dua varian. Antara cirinya termasuk Adaptive Cruise Control, Automatic Emergency Braking, Lane Depature Warning, Lane Keeping Support, Lane Change Collision Warning, Rear Cross Traffic Alert dan Blind Spot Detection.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved