fbpx

smart #1 dipertonton di Malaysia – EV kompak saiz HR-V, lancar suku keempat 2023

smart #1 24

ANDA masih ingat dengan smart Fortwo sebuah kereta bandar saiz kecil yang popular awal 2000 dulu? Kini jenama itu kembali sebagai sebuah jenama elektrik (EV) sepenuhnya.

Model pertama yang akan diperkenalkan di peringkat global ialah smart #1 (disebut sebagai hashtag one, jika anda tertanya-tanya). Baru-baru ini, ia telah dipertontonkan buat pertama kali di khalayak umum di acara EVx 2023 di Setia Alam.

Kami telahpun melihat dengan lebih dekat dan memandu uji smart #1 ini di ibu pejabat Proton, tetapi buat masa ini hanya rupa luaran yang boleh didedahkan. Anda harus tunggu beberapa minggu lagi sebelum dapat melihat imej penuh bahagian kabin pula.

Dari segi rekaan, smart #1 mendapat sentuhan pereka Mercedes-Benz memandangkan jenama smart kini dimiliki 50-50 oleh jenama Jerman itu dan Geely. Maka sebab itu anda dapat melihat lekuk-lekuk dan elemen rekaan seperti Mercedes GLA atau EQA.

Saiz adalah seperti MINI Countryman atau Honda HR-V. smart #1 dilengkapi dengan lampu LED matriks, gril depan bercahaya, dan lampu LED belakang jenis bar melintang. Kesemua lampu luaran ini akan menyala dengan kesan grafik khas semasa anda membuka/mengunci kereta atau memainkan muzik.

EV ini juga mendapat rim Rotor 19-inci, bumbung panoramik halo yang terbesar dalam segmennya, dan lencana menyala di sisi tiang-C.

Walaupun imej kabin belum boleh disiarkan, harus diketahui smart #1 akan didatangkan dengan ciri rekaan minimalis di sini. Terdapat skrin besar 12.8-inci di tengah untuk infotainmen dan fungsi hiburan, manakala skrin 9.2-inci untuk paparan instrumen digital.

Teknologi merangkumi Apple Carplay dan Android Auto, pembesar suara 640W, dan sistem audio dari Beats.

Unit yang anda lihat ini merupakan varian pertengahan iaitu Premium, dan terdapat juga varian asas serta Brabus. smart #1 Premium dipacu oleh motor tunggal di belakang dengan output 272hp dan 343Nm tork, mampu memecut ke 100km/j dalam 6.7 saat.

Kuasa dibekalkan oleh bateri 66kWh dan membolehkan kereta ini dipandu sehingga 440km setiap cas. Untuk pengecasan pula, ia menyokong DC sehingga 150kW, jadi 10 hingga 80 peratus boleh dicapai dalam hanya 30 minit. Tetapi menggunakan AC 22kW akan memerlukan kira-kira tiga jam.

Nantikan galeri penuh selepas embargo tamat nanti. Berapa agaknya harga smart #1 selepas dilancarkan secara rasmi nanti? Boleh saing dengan Tesla Model Y?

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved