fbpx

Hyundai Ioniq 5 N dengan mod Drift dan transmisi 8-kelajuan ‘palsu’

hyundai ioniq 5 n 09

HYUNDAI Ioniq 5 N telah membuat kemunculan rasmi di Goodwood Festival of Speed semalam. Seperti yang anda lihat pada namanya, ini merupakan versi prestasi memandangkan terdapat huruf N.

Ini juga merupakan model N prestasi tinggi pertama yang menggunakan pacuan elektrik dan semestinya bukan yang terakhir. Kita boleh jangkakan lebih banyak model N elektrik menyusul selepas ini.

Baik, apa yang menarik mengenai Hyundai Ioniq 5 N? Ia menampilkan dua motor elektrik dengan output keseluruhan 448kW (600hp) dan 740Nm. Dengan fungsi N Grin Boost, output ditingkatkan kepada 641hp dan 770Nm selama 10 saat.

Pecutan 0-100km/j boleh dibuat dalam masa 3.5 saat (3.4 saat dalam N Grin Boost), dengan kelajuan maksima 260km/j. Ioniq 5 N ini menggunakan bateri berkapasiti 84kWh dengan teknologi 800 volt untuk pengecasan super pantas. 10 ke 80 peratus boleh dicapai dalam masa 18 minit sahaja.

Bateri juga boleh dioptimakan mengikut kegunaan, dimana terdapat mod-mod yang boleh dipilih seperti Drag, Track, N Race, Sprint, N Launch, dan Endurance.

Berbanding Ioniq 5 standard, Hyundai Ioniq 5 N dilengkapi dengan rim lebih besar, suspensi khas sepenuhnya, pakej aerodinamik, dan sistem brek regenerative yang ditala semula.

Bercakap mengenai brek, ia didatangkan dengan cakera 400mm di depan dengan 4-pot dan cakera 360mm bersama 1-pot di belakang. Dengan bahan komposit ringan, ini menjadikan brek pada Ioniq 5 N ini paling berkuasa yang pernah dikeluarkan oleh Hyundai.

Hyundai Ioniq 5 N lebih besar dari model standard, dan mendapat bampar lebih rendah, air curtain, skirt sisi, diffuser belakang, rim 21-inci, dan tayar Pirelli P Zero khas EV.

Satu ciri menarik ialah N Drift Optimizer, dimana ia akan mengawal beberapa sistem kereta untuk menghasilkan drift dan mengekalkan sudutnya. Jika pemandu mahu drift lebih, terdapat fungsi Torque Kick Drift yang meniru tendangan klac seperti biasa dipraktikkan pada kereta pacuan roda-belakang.

Untuk pengalaman pemanduan lebih mandalam, Hyundai memberikan N e-shift dan N Active Sound, dimana kedua-dua ini mensimulasikan kotak gear dwi-klac 8-kelajuan untuk Ioniq 5 N. Sensasi gear ‘palsu’ diberikan dengan sentakan yang dikawal oleh tork dari motor elektrik.

Ioniq 5 N boleh didapati dengan 10 pilihan warna iaitu Abyss Black Pearl, Cyber Gray Metallic, Ecotronic Gray Matte, Ecotronic Gray, Atlas White, Atlas White Matte, Gravity Gold Matte, Soultronic Orange Pearl, N Performance Blue Matte, dan N Performance Blue.

Menurut Hyundai, hot hatch elektrik ini akan mula dijual menjelang tahun depan.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved