TQ Wuling menawarkan promosi istimewa untuk model Bingo EV sempena sambutan Hari Malaysia yang bakal tiba.
Promosi terbaharu ini menawarkan penjimatan tambahan sehingga RM6,000 serta pelbagai manfaat pemilikan menarik sepanjang bulan September.
Dengan rebat sebanyak RM4,000 dan rebat insurans RM2,000, Bingo EV varian Pro kini dijual pada harga bermula RM56,800.
Sementara varian Max pula dijual pada harga RM63,800 selepas rebat RM2,000 dan rebat insurans RM2,000.
Pelanggan akan turut mendapat pengecas EV mudah alih secara percuma, sementara pembeli varian Max akan mendapat tambahan pengecas dinding 7kW.
Bingo EV dipacu oleh motor elektrik 68 PS/150 Nm yang mampu menawarkan jarak pandu sehingga 410 km (333 km untuk varian Pro).
Pengecasan pantas DC 50 kW membolehkan bateri dicas 30-80% dalam masa kurang 35 minit.
EV ini juga disokong oleh jaminan motor pemacu selama 8-tahun/160,000 km, jaminan bateri EV 8-tahun/120,000 km serta jaminan kenderaan 5-tahun/150,000 km.
Volvo Car Malaysia secara rasmi melancarkan SUV Volvo EX90 2026 versi pemasangan tempatan (CKD).
Ditawarkan dalam varian tunggal Twin Motor AWD, SUV 7-tempat duduk ini dijual pada harga RM428,888.
100 pelanggan terawal akan menerima rebat tunai RM25,000 serta pengecas dinding percuma.
Spesifikasi
Perubahan besar yang terdapat pada Volvo EX90 ialah seni bina elektrik 800V, menyumbang kepada pengurangan berat keseluruhan serta pengecasan lebih pantas.
Volvo EX90 dipacu oleh motor elektrik berkembar menghasilkan kuasa 680 hp dan 870 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam 4.2 saat.
Dengan pek bateri 106 kWh, EX90 menjanjikan jarak pandu WLTP sehingga 617 km untuk sekali cas penuh.
Selain itu, ia turut menyokong pengecasan pantas DC sehingga 350 kW, di mana bateri boleh dicas 10-80% dalam masa 22 minit sahaja.
Dari segi luaran, Volvo EX90 kini lebih kemas tanpa kehadiran perumah LIDAR pada bahagian bumbung, diikuti dengan padanan rim 21 inci.
Untuk ruang kabin, EX90 didatangkan dengan skrin kluster digital 9-inci, skrin tengah sebesar 14.5 inci, skrin paparan head-up serta sokongan Apple CarPlay, Android Auto dan perkhidmatan Google.
Tempat duduk dibaluti upholsteri kulit Nappa dengan dua tema warna, dipadankan dengan kemasan kayu bertekstur.
Sistem audio pula menggunakan unit Bowers & Wilkins 1,610W dengan 25-pembesar suara.
Selain itu, terdapat juga bumbung panoramik elektrokromik yang boleh dikawal dengan hanya satu sentuhan butang.
EX90 kini menggunakan cip pemprosesan Nvidia Drive AGX Orin dengan kuasa perkomputeran tahap tinggi untuk pengurusan sistem keselamatan aktif, pemantauan deria dan pengurusan bateri yang lebih cekap.
TIdak ketinggalan, sistem superset technology stack Volvo membolehkan kemas kini atas talian yang lebih pantas.
Keselamatan
Secara standard, Volvo EX90 dilengkapi dengan sembilan beg udara, sistem kamera 360 darjah, serta ciri ADAS yang merangkumi fungsi seperti:
Pilot Assist
Park Pilot Assist
Bantuan Pengekalan Lorong
Sistem Informasi Titik Buta
Bantuan Pengelakan Pelanggaran
Amaran Lintasan Trafik Belakang
Bantuan Berhenti Kecemasan
Selain itu, ruang kabin didatangkan dengan dua penderia inframerah dan radar yang menyokong fungsi berikut:
Teknologi Pemahaman Pemandu
Sistem Pengesanan Penumpang
Warna
Terdapat lima pilihan warna untuk Volvo EX90 iaitu Onyx Black, Sand Dune, Crystal White, Vapour Grey dan Mulberry Red.
Honda dilaporkan menyasarkan penjimatan kos sebanyak kira-kira 1.5 trilion yen (sekitar RM38.9 bilion) menjelang 2030, dalam usahanya meningkatkan daya saing bagi menghadapi tekanan daripada pengeluar kenderaan China.
Menurut dokumen dalaman yang dilihat Reuters serta dua sumber yang mengetahui perkara tersebut, Honda telah meminta pembekalnya mengurangkan harga sehingga 30% bagi tiga kategori utama: komponen acuan dan tempa, komponen elektrik serta komponen berkaitan kenderaan ditakrifkan perisian (Software-Defined Vehicle atau SDV).
Pembekal diminta kurangkan kos
Pengurusan Honda dilaporkan telah membentangkan pelan pengurangan kos tersebut kepada pembekal utama dalam satu pertemuan di Utsunomiya. Setiap pembekal kemudiannya diberikan sasaran pengurangan kos masing-masing, yang disifatkan sebagai “amat besar” oleh salah seorang sumber Reuters.
Honda turut menggesa pembekal peringkat pertama (Tier 1) mengkaji semula kaedah mendapatkan bahan dan komponen, termasuk meningkatkan penggunaan komponen standard daripada pembekal peringkat kedua dan ketiga.
Lebih banyak komponen dari China
Menurut Reuters, Honda juga menggalakkan pembekalnya meningkatkan penggunaan komponen buatan China jika sesuai, sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan kos.
Langkah adalah berikutan persaingan yang semakin sengit daripada jenama China seperti BYD, yang semakin menguasai pasaran di Asia Tenggara, Eropah dan Amerika Latin dengan kenderaan berharga kompetitif serta teknologi bateri dan perisian yang semakin maju.
Honda ubah fokus daripada EV kepada hibrid
Usaha mengurangkan kos ini berlaku ketika Honda berdepan kerugian besar daripada strategi kenderaan elektriknya. Syarikat itu menjangkakan kerugian berkaitan EV bakal melebihi $12 bilion (sekitar RM49 bilion), dan kini memberi tumpuan lebih besar kepada kenderaan hibrid.
Honda mencatatkan kerugian tahunan buat kali pertama sebagai syarikat yang didagangkan secara terbuka pada Mei lalu, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Toshihiro Mibe.
Honda tidak memberikan komen mengenai sasaran pengurangan kos khusus atau butiran perbincangannya dengan pembekal. Bagaimanapun, syarikat itu berkata ia sedang bekerjasama dengan pembekal di seluruh dunia untuk meningkatkan daya saing dan mengurangkan kos, termasuk menerusi penggunaan lebih banyak komponen standard.
Genesis telah memperkenalkan GV90, SUV flagship pertamanya dan juga model elektrik terbesar yang pernah dihasilkan jenama tersebut. Model ini dibangunkan berasaskan konsep Neolun yang diperlihatkan pada 2024.
Dibina menggunakan platform eMP, GV90 berukuran 5,285 mm panjang dengan jarak roda 3,245 mm. Ia ditawarkan dalam dua versi, iaitu GV90 standard dan GV90 Neolun yang lebih eksklusif.
Besar, gagah dan tetap dengan identiti Genesis
GV90 membawa pendekatan reka bentuk minimalis Genesis ke dalam sebuah SUV bersaiz penuh. Reka bentuk luarannya diinspirasikan daripada tembikar tradisional Korea, dengan bahagian belakang yang kemas, permukaan badan yang rata dan rim tempa 24 inci yang besar.
Di bahagian hadapan, SUV ini menggunakan rekaan lampu dua garisan, dengan lampu utama Wing Face Micro Lens Array (MLA) yang disepadukan kemas ke dalam badan kenderaan.
Versi Neolun pula mendapat kemasan aluminium anod di sekitar tingkap sisi, manakala GV90 standard menggunakan kaca pintu yang dipasang rata dengan permukaan badan.
Kabin lebih kepada ruang santai mewah
Kabin GV90 direka supaya terasa lebih seperti ruang santai mewah berbanding SUV biasa. Skrin OLED 23.6 inci menggabungkan paparan meter, navigasi dan fungsi media. Apabila kenderaan diletakkan dalam keadaan parkir, skrin ini boleh terangkat dan menjadi paparan 24.6 inci.
Turut disediakan ialah paparan head-up display (HUD) berukuran 25 inci, menggantikan meter instrumen konvensional.
GV90 juga memperkenalkan sistem kawalan kuasa baharu Hyundai Motor Group yang menghapuskan butang penghidup enjin. Apabila pemandu masuk, kenderaan akan diaktifkan secara automatik, manakala pengawal Crystal Sphere dan pemilih gear bergerak secara automatik ke kedudukannya.
Neolun pula boleh didapati dengan konfigurasi Executive Suite empat tempat duduk. Penumpang belakang mendapat tempat duduk ala ruang santai, peti sejuk, meja terbina dalam dan tirai privasi, manakala lantainya dilengkapi sistem pemanasan yang diinspirasikan daripada sistem “ondol” tradisional Korea.
Saiz flagship, prestasi hebat
Kuasa datang daripada sistem pacuan semua roda dwi-motor yang menjana 666 PS dan 800 Nm. Menurut Genesis, ini merupakan sistem rangkaian kuasa EV paling berkuasa yang pernah dibangunkan Hyundai Motor Group setakat ini.
Bateri 123.5 kWj pula memberikan jarak perjalanan dianggarkan sekitar 500 km untuk versi tujuh tempat duduk. Dengan pengecas pantas DC 350 kW, bateri boleh dicas daripada 10% hingga 80% dalam masa 22 minit.
GV90 turut dilengkapi LSD elektronik di hadapan dan belakang, suspensi udara, penyerap hentak kawalan elektronik serta kawalan stereng roda belakang dengan sudut sehingga lima darjah.
Neolun ada ‘party trick’ tersendiri
GV90 Neolun mendapat ciri paling menarik Genesis setakat ini iaitu Neolun Arch Gate. Tanpa tiang B di antara pintu hadapan dan belakang, kedua-dua pintu boleh dibuka secara berasingan untuk menghasilkan ruang masuk dan keluar yang lebih luas.
Walaupun begitu, Genesis mendakwa struktur ini masih mampu mengekalkan tahap perlindungan ketika kemalangan, hasil penggunaan keluli berkekuatan tinggi serta struktur pengukuh tersembunyi.
Dari segi keselamatan, GV90 dilengkapi 12 beg udara, termasuk beg udara bumbung yang didakwa sebagai yang pertama di dunia. Turut tersedia ialah sistem pemantauan penumpang dalam kabin, Remote Smart Parking Assist 3 dan Memory Reversing Assist.
Antara kelengkapan mewah lain termasuk sistem audio 3D Bang & Olufsen dengan 25 pembesar suara dan Dolby Atmos, pencahayaan Ambient Glow serta kemasan kulit, kayu, batu dan wool-cashmere.
Selepas kemunculan BYD Racco, segmen kei car elektrik Jepun terus dimeriahkan dengan kehadiran model baharu, iaitu Suzuki e Sky.
Ia merupakan versi produksi sebenar yang mengekalkan sebahagian besar elemen rekaan yang wujud pada model konsep Vision e-Sky.
Suzuki e Sky akan mula dijual pada musim luruh tahun ini.
Menariknya, ia juga bakal dipasarkan di benua Eropah dan UK pada tahun 2027!
Spesifikasi
Menurut Suzuki, matlamat pembangunan e Sky adalah untuk membantu pemilik beralih daripada ICE kepada EV.
Disebabkan itu, ia mempunyai ukuran dimensi yang tidak lari jauh daripada keperluan segmen kei car semasa.
e Sky berukuran sepanjang 3,395 mm, lebar 1,475 mm, tinggi 1,625 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,460 mm.
Menggunakan platform Heartect e, Suzuki e Sky dipacu oleh e-Axle hadapan yang menggabungkan komponen motor, penyongsang dan gear.
Buat masa ini, output kuasa masih belum didedahkan secara rasmi.
Bateri & pengecasan
Kei car elektrik ini dibekalkan dengan pek bateri lithium iron phosphate 26 kWh yang mampu menawarkan jarak pandu sejauh 310 km.
Angka yang cukup impresif ini turut disumbangkan oleh berat keseluruhan e Sky cuma 1,030 kg.
Sebagai perbandingan, BYD Racco dengan pek bateri 35.84 kWh menawarkan kelebihan 10 km berbanding e Sky.
Menggunakan outlet kuasa standard, pengecasan penuh mengambil masa lapan jam atau 4.5 jam menerusi pengecas dinding 6 kW.
Pengecasan pantas DC 50 kW membolehkan bateri mencapai kapasiti 80% dalam masa 25 minit sahaja.
e Sky turut menyokong fungsi Vehicle-to-Home (V2H) dan juga Vehicle-to-Load (V2L) dengan outlet kuasa AC 100v/1500W.
Kelengkapan
Reka bentuk luaran e Sky sememangnya tidak jauh beza berbanding model konsep Vision e-Sky.
Untuk versi produksi sebenar, e Sky diberikan perumah lampu LED yang lebih besar, cermin sisi, jeriji yang lebih ringkas, rim lebih kecil dan pemegang pintu konvensional.
Bampar pula menampilkan bukaan liang udara penyejukan tunggal.
Selain itu, e Sky menampilkan rekaan bumbung terapung, lampu belakang LED yang lebih besar, serta plastik pelindung bampar mengikut warna badan.
Kabin pula menempatkan kelengkapan seperti skrin infohibur 10.1 inci, skrin kluster digital, tombol gear tradisional, serta panel kawalan khusus untuk iklim kabin.
Ciri lain termasuklah dulang praktikal pada papan pemuka sebelah penumpang, pemanas tempat duduk dan roda stereng, serta fungsi pemanas elektrik yang amat berguna semasa musim sejuk.
Pesaing
Selain BYD Racco, Suzuki e Sky bakal memberikan cabaran kepada model kei car elektrik seperti Honda N-One e:, Mitsubishi eK X EV dan juga Nissan Sakura EV.
Sebagai sebahagian daripada ekosistem Zeekr Power, pemilik Zeekr kini boleh menikmati kadar caj eksklusif RM1.20/kWh di semua stesen DC Handal.
Sebelum ini, kadar caj tersebut hanya ditawarkan di beberapa lokasi terpilih Zeekr Power.
Langkah ini dilihat memberikan akses lebih menyeluruh kepada pengecasan pantas yang lebih mampu milik dan mudah untuk semua pemilik Zeekr.
Pemilik Zeekr hanya perlu memuat turun aplikasi chargEV dan melengkapkan borang pendaftaran yang boleh diakses menerusi pautan berikut: https://forms.cloud.microsoft/r/VFT43KU7FH
Keahlian Platinum JomCharge percuma
Zeekr Malaysia turut mengumumkan kerjasama baharu dengan CPO JomCharge yang menawarkan keahlian Platinum secara percuma.
Penawaran ini sah sehingga 31 Disember 2026.
Keahlian Platinum ini menawarkan diskaun 25% di lebih 1,000 titik pengecasan milik JomCharge di seluruh negara.
Menurut Eddy Lu, Pengurus Besar Zeekr Malaysia berkata, “Dengan komuniti yang semakin berkembang, kami mahu terus mencari cara bermakna untuk meningkatkan pengalaman pemilikan.
“Kami baru sahaja mengumumkan kadar pengecasan eksklusif di semua stesen DC Handal, dan kini kerjasama dengan JomCharge memberikan akses kepada kadar istimewa di lebih 1,000 titik pengecasan untuk pemanduan yang benar-benar bebas risau.”
“Ini semua sebahagian daripada komitmen kami untuk menjadikan pemilikan Zeekr lebih lancar dan mudah.
“Kami akan terus memperkenalkan lebih banyak inisiatif untuk menyokong komuniti pemilik kami,” tambahnya lagi.
Volvo Car Malaysia mengumumkan model SUV Volvo EX90 2026 yang telah ditambah baik bakal dilancarkan dalam masa terdekat.
Pendaftaran minat kini sudah pun dibuka, di mana 100 pelanggan pertama akan menerima ganjaran istimewa.
Spesifikasi Volvo EX90
SUV ini telah dikemas kini pada September tahun lalu, menampilkan seni bina elektrik 800V menggantikan sistem 400V sedia ada.
Sistem 800V ini membolehkan pemilik EX90 menambah jarak 250 km dalam masa 10 minit sahaja dengan pengecasan pantas DC 350 kW.
Sama seperti model terdahulu, Volvo EX90 hadir dalam tetapan dua motor elektrik dan sistem pacuan semua roda dengan kuasa mencecah 680 hp dan 870 Nm.
Pecutan 0-100 km/j mengambil masa 4.2 saat sahaja.
Dengan peningkatan terhadap asas sistem elektrik, berat badan keseluruhan juga turut dikurangkan dan meningkatkan kelestarian menerusi kebergantungan tembaga yang lebih rendah.
Selain itu, Volvo EX90 turut mendapat naik taraf sistem komputer yang dipacu cip berkembar Nvidia Drive AGX Orin.
Dengan kuasa pengiraan sehingga 500 TOPS, aspek keselamatan Volvo EX90 dipertingkatkan menerusi penggunaan data, perisian dan kepintaran buatan (AI).
Menurut laporan rakan media Paultan, Volvo EX90 akan ditawarkan dalam versi pemasangan tempatan (CKD).
BYD Sealion 7 Premium mampu bergerak sejauh 650 km mengikut data NEDC, terima kasih kepada sistem senibina elektrik yang telah dinaik taraf kepada 800V.
Berdasarkan data tersebut, kami diberikan misi untuk memandu sejauh lebih 500 km tanpa sebarang pengecasan dibuat.
Untuk mengelakkan sebarang penipuan, port pengecasan bagi setiap kereta telah ditampalkan pelekat.
Berikut merupakan ringkasan perjalanan kami:
Hari Pertama
Ara Damansara menuju ke Gambang
singgah di Mentakab dan perlu menggunakan jalan lama
Hari Kedua
Gambang ke Ara Damansara
perlu menggunakan lebuh raya dan singgah di Ayu Awana Genting Highlands
Hari Pertama
Kami bertolak dari BYD Ara Damansara dengan SoC bateri 99% dan jarak pemanduan sekitar 649 km.
Setelah menempuh beberapa lebuh raya yang sarat dengan trafik pagi, Sealion 7 Premium warna Ultraviolet kami akhirnya berjaya melepasi plaza tol Gombak.
Dari situ, kami masih lagi mengekalkan corak pemanduan yang malar biarpun berdepan dengan laluan yang lebih curam, kerja pembaikan jalan dan lori treler bergerak lebih perlahan.
Selepas plaza tol Karak, kami keluar dari lebuh raya untuk menggunakan laluan persekutuan untuk menuju ke tempat hentian pertama – Mentakab.
Berbeza dengan lebuh raya, jalan lama dirasakan lebih mencabar dengan kawasan berbukit, selekoh tajam dan keadaan jalan yang tidak rata.
Bagi penulis yang terbiasa dengan stereng berat, pengendalian Sealion 7 dirasakan ringan dan mudah untuk dikendalikan oleh kebanyakan pengguna.
Selain itu, sistem suspensi BYD Sealion 7 ini bekerja dengan baik untuk menyerap segala hentakan dan kekasaran dari jalan.
Cuma penumpang di bahagian belakang mungkin duduk dalam keadaan yang tidak senang disebabkan suspensi yang melantun bila bertembung jalan yang tidak rata.
Kami tiba di lokasi makan tengah hari di Mentakab dengan SoC bateri 79% dan jarak sekitar 517 km.
Setelah puas melantak, kami kemudian bergerak ke arah Gambang.
Biarpun keadaan cuaca yang agak panas, ruang kabin masih lagi kekal selesa.
Ini kerana wujudnya corong pendingin hawa untuk setiap baris, dan lebih penting setiap corong boleh dilaras secara manual tanpa perlu mengusik skrin tengah.
Tempat duduk belakang juga ruang kepala dan kaki yang besar, ditambah dengan struktur lantai yang rata.
Setelah sejam lebih pemanduan, kami akhirnya tiba di destinasi bermalam dengan SoC bateri 62% dan jarak sekitar 404 km.
Berdasarkan pemanduan hari pertama, kami berjaya mendapatkan catatan penggunaan tenaga 13.9 kWh untuk setiap 100 km.
Hari Kedua
Kami memulakan perjalanan hari kedua dalam keadaan cuaca yang agak mendung dan hujan sekali sekala.
Dengan bateri sekitar 60% dan jarak tersisa 390 km, kami memandu Sealion 7 dengan menggunakan lebuh raya.
Demi keselamatan, kami mengekalkan kelajuan pemanduan sekitar 70-90 km/j.
Tidak seperti pemanduan semalam, pemanduan berterusan di lebuh raya sebenarnya memberikan kesan kepada penggunaan tenaga yang lebih tinggi (14.8 kWh/100 km).
Saat kami melepasi plaza tol Bentong, perasaan kebimbangan jarak mula menerjah minda.
Ini kerana kami perlu menempuh laluan yang lebih curam dan ekstrem berbanding seksyen Gambang ke Bentong yang jauh lebih landai.
Hasil pemanduan mendaki, kadar penggunaan tenaga Sealion 7 meningkat kepada 26.1 kWh/100 km.
Setibanya di Ayu Awana, kami mendapati SoC bateri turun kepada 21% dan jarak pemanduan 138 km.
Saat menuruni laluan tersebut, kami terus mengaktifkan tetapan brek regeneratif yang lebih kuat untuk memaksimumkan pemulihan tenaga.
Hasilnya, kami perasan SoC bateri naik 2% dengan baki jarak meningkat kepada 150 km ketika menghampiri plaza tol Gombak.
Tidaklah terlalu tinggi untuk sebuah EV dengan kapasiti bateri yang agak besar, namun cukup untuk membuatkan kami menarik nafas lega.
Alhamdulillah, kami berjaya menghabiskan perjalanan sejauh 509 km dengan SoC bateri tinggal 19% dan baki jarak 120 km.
Secara teorinya, ya anda memang boleh mencapai jarak pemanduan yang dipaparkan pada sistem komputer.
Dengan syarat, ia perlulah dibuat dengan teknik pemanduan yang betul dan kaki kanan perlulah ringan seperti memijak kapas.
Adakah berbaloi beli Sealion 7?
Ini merupakan salah satu calon SUV keluarga yang sesuai dengan saiz yang besar dan selesa, dan harga cuma RM188,800 sahaja.
Sealion 7 juga hadir dengan senibina elektrik 800V, bermakna kadar penggunaan tenaga yang lebih cekap.
Malah, pengecasan DC juga kini lebih pantas (230 kW) membolehkan pengecasan 10-80% dalam masa 24 minit.
Antara perkara yang digemari penulis ialah susun atur ruang kokpit yang masih mengekalkan sebahagian besar butang fungsi fizikal.
Antaranya ialah mod pemanduan, tuil penukaran gear, larasan audio, serta butang pandu mula macam kereta ICE.
Mahukan alternatif?
Jika pengecasan pantas bukan satu keutamaan tetapi jarak yang lebih penting, anda masih boleh mendapatkan Sealion 7 Premium versi terdahulu di kedai kereta terpakai.
Usah risau kerana penampilan antara kedua-dua Sealion 7 Premium ini tidak banyak berubah secara visual.
Prestasi masih sama, 308 hp, 380 Nm, pacuan roda belakang, namun ia hadir dengan senibina 400V dan pek bateri 82.56 kWh.
Jarak pandu adalah sejauh 567 km, dengan pengecasan pantas DC sehingga 150 kW (10-80% dalam 31 minit).
Ciri-ciri masih lagi sama seperti:
frunk 58 liter
ruang kargo 500 liter/1,769 liter
skrin kluster digital 10.25 inci
skrin tengah 15.6 inci
skrin paparan head-up realiti terimbuh 50 inci
upholsteri kulit
sokongan Apple CarPlay/Android Auto
slot pengecasan tanpa wayar 50W
sistem audio Dynaudio dengan 12-pembesar suara
Ciri keselamatan juga sama seperti model sedia ada.
Setelah dipertontonkan awal tahun yang lalu, Mercedes-Benz Malaysia akhirnya rasmi melancarkan sedan CLA 250+ 2026.
Sedan elektrik serba baharu ini dijual pada harga dari RM274,888 atas jalan tanpa insurans.
100 orang pelanggan pertama yang menempah CLA atau GLC elektrik baharu akan menerima jemputan eksklusif ke Mercedes-AMG F1 Party.
Unit pacuan
CLA 250+ hadir dengan tetapan motor elektrik tunggal pacuan belakang, menghasilkan kuasa 272 hp dan daya kilas 335 Nm.
Dengan padanan transmisi automatik 2-kelajuan, CLA 250+ boleh memecut sepantas 6.7 saat dari 0-100 km/j dan mencapai kelajuan tertinggi 210 km/j.
Bateri & pengecasan
Dengan bateri NMC 85 kWh, CLA 250+ mampu bergerak sejauh 792 km untuk sekali cas penuh (data WLTP).
Dengan senibina elektrik 800-voltan dan keupayaan pengecasan DC 320 kW, pemilik CLA boleh menambah jarak sehingga 325 km dalam masa 10 minit sahaja.
Dimensi
Sebagai sebuah sedan kompak, CLA membawakan ukuran sepanjang 4,723 mm, lebar 1,855 mm, tinggi 1,468 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,790 mm.
Berbanding generasi terdahulu, CLA baharu ini lebih panjang 35 mm, lebih lebar 25 mm, dan menawarkan ruang kabin yang lebih luas.
Buat pertama kalinya sebuah Mercedes menawarkan ruang kargo hadapan (frunk) sebesar 101 liter sebagai pelengkap kepada ruang kargo belakang 405 liter.
Luaran
Daripada segi rekaan luaran, penampilan CLA tampak sporti disumbangkan oleh ciri seperti jarak overhang yang pendek, rekaan belakang GT serta jarak antara roda yang panjang.
Bahagian depan mempunyai panel jeriji yang dihiasi dengan 142 LED bintang tiga bucu yang bercahaya.
Elemen bintang Mercedes itu juga boleh didapati pada unit lampu utama depan dan belakang.
Tidak ketinggalan, kemasan luaran AMG Line yang membawakan bampar depan dan belakang yang agresif, diikuti rim AMG 19 inci.
Kabin
Ruang kabin CLA pula dihiasi dengan skrin paparan lebar MBUX Superscreen yang terdiri daripada skrin kluster digital 10.25 inci dan dua skrin sebesar 14 inci.
Terdapat sokongan terhadap Apple CarPlay dan Android Auto disertakan.
Sistem operasi MB.OS turut menawarkan ciri kepintaran buatan (AI) yang menggunakan sokongan ChatGTP dan Microsoft Bing, serta Google Gemini untuk persoalan berkaitan sistem navigasi.
Ciri lain termasuklah:
roda stereng sport balutan kulit Nappa
tempat duduk sports AMG Line balutan kulit Artico/mikrofiber Microcut
sistem pencahayaan ambien
trim Anthracite
kamera swafoto dan video
Keselamatan
Ciri keselamatan terdiri daripada lapan beg udara (termasuklah beg udara tengah), sistem pemantauan tekanan tayar, serta kelengkapan MB.Drive Standard yang merangkumi fungsi seperti:
brek kecemasan autonomi
kawalan jelajah adaptif Distronic
bantuan pengekalan lorong
sistem pemantauan titik buta
MB.Charge Public
MBM turut mengumumkan kemudahan pengecasan MB.Charge Public merentasi sempadan Malaysia dan Singapura.
Ia menawarkan pemilik akses kepada 10,000 titik pengecasan yang disediakan oleh penyedia titik pengecasan (CPO) termasuklah:
BMW Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan SUV terbaharu BMW iX3 2026 untuk pasaran tempatan.
Ia juga merupakan model pertama daripada portfolio Neue Klasse yang memasuki pasaran Malaysia.
Varian tunggal iX3 50 xDrive M Sport Pro ini dijual pada harga bermula dari RM378,800, atau RM399,800 termasuk pakej BMW Service and Repair.
Dimensi
Dibina atas pelantar Neue Klasse, BMW iX3 ini membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,781 mm, lebar 1,895 mm, tinggi 1,635 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,897 mm.
Ruang kargo pula adalah sebesar 520 liter dan boleh mencapai kapasiti sehingga 1,750 liter.
Secara standard, SUV ini dibekalkan dengan rim aloi ringan jejari-Y 1054 M bersaiz 22 inci.
Unit pacuan
iX3 menampilkan senibina elektrik 800V, dengan teknologi eDrive generasi keenam terdiri daripada:
motor elektrik berkembar
kuasa 469 hp dan 645 Nm
transmisi automatik kelajuan tunggal
sistem pacuan semua roda xDrive
Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 4.9 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 210 km/j.
Bateri & pengecasan
Pek bateri berkapasiti 108.7 kWh pula menawarkan jarak pandu WLTP sehingga 805 km.
Dengan pengecasan DC sehingga 400 kW, iX3 boleh menambah jarak 372 km dalam masa hanya 10 minit sahaja.
SUV ini menawarkan kadar penggunaan tenaga sekitar 15.1 kWh untuk setiap 100 km, dibantu dengan angka pekali seretan serendah 0.24 sahaja.
Kelengkapan
Berbeza dengan model terdahulu, iX3 membawakan penampilan yang jauh lebih berani dan menonjol.
Bahagian depan menampilkan struktur jeriji buah pinggang ikonik dengan ciri BMW Iconic Glow menggantikan peranan krom.
Ciri lain termasuklah pemegang pintu terbenam, lampu LED depan dan belakang, pakej M Sport termasuklah sistem brek M Sport dengan kemasan merah berkilat.
Ruang kabin pula menempatkan ciri BMW Panoramic iDrive terdiri daripada skrin lebar 43.3 inci yang terletak di dasar tiang A, skrin paparan head-up 3D, serta skrin tengah sebesar 17.9 inci.
Terdapat juga roda stereng M lengkap dengan kawalan Shy Tech dan fungsi pemanas, sistem pencahayaan ambien, slot pengecasan tanpa wayar serta kemasan dalaman M Black.
Akhir sekali, tempat duduk M Sport untuk pemandu dan penumpang hadapan lengkap dengan larasan elektrik, fungsi memori, fungsi urut, pemanasan dan pengudaraan serta ciri Comfort Access.
Aspek keselamatan terdiri daripada kelengkapan Driving Assistant Plus dan Parking Assistant Professional.
Warna
Terdapat enam pilihan warna disediakan untuk BMW iX3 termasuklah:
Alpine White
Black Sapphire
M Brooklyn Grey
Space Silver
Ocean Wave Blue
Polarised Grey
Kesemua warna ini dipadankan dengan kemasan dalaman hitam BMW M Interior Design.
Sebagai meraikan kejayaan tersebut, Zeekr Malaysia memperkenalkan pelbagai inisiatif yang dapat meningkatkan pengalaman pemilikan secara keseluruhan.
Ia meliputi sokongan selepas jualan, manfaat pelanggan, akses pengecasan dan jaminan pemilikan jangka panjang.
Jaminan Lanjutan
Zeekr Malaysia memperkenalkan Program Jaminan Lanjutan untuk pemilik baharu dalam tempoh masa 7 hari selepas kenderaan diedarkan.
Pemilik sedia ada juga boleh mendapatkan jaminan lanjutan ini sebelum 30 September 2026.
Program lanjutan ini merangkumi jaminan kenderaan serta komponen bervoltan tinggi terdiri daripada:
Silver Plan – sehingga 8 tahun/160,000 km
Gold Plan – sehingga 8 tahun/180,000 km
Pemeriksaan kenderaan percuma
Selain itu, Zeekr Malaysia turut menawarkan pemeriksaan kesihatan kenderaan secara percuma di semua pusat servis bertauliah, sah sehingga 30 September ini.
Antara komponen yang diperiksa termasuklah:
sistem bateri
sistem rangkaian kuasa elektrik
sistem modul kawalan bateri
pemeriksaan bahagian bawah kenderaan
bateri voltan rendah
Rangkaian stesen pengecas Zeekr Power
Zeekr turut memperluas rangkaian pengecasan berprestasi tinggi Zeekr Power di seluruh negara.
Untuk permulaan, Zeekr bekerjasama dengan DC Handal untuk membangunkan lokasi pengecasan di koridor utama Lebuhraya Utara-Selatan.
Fasiliti tersebut menawarkan keupayaan sehingga 400 kW dan berpotensi sehingga 640 kW.
Untuk permulaan, pemilik boleh menikmati kadar eksklusif RM1.20/kWh di stesen pengecasan terpilih.
Berikut merupakan senarai lokasi Zeekr Power x DC Handal:
Amanjaya Mall, Sungai Petani, Kedah
Sunway Carnival Mall, Pulau Pinang
MH Hotel, Ipoh, Perak
Sunway Pyramid Mall, Petaling Jaya
PLUS Plaza Toll Sungkai, Perak (dalam pembinaan, siap Q4)
PLUS Plaza Toll Bukit Gambir, Johor (dalam pembinaan, siap Q4)
Dalam tempoh tiga tahun, Zeekr Malaysia menyasarkan pembinaan sehingga 30 stesen pengecasan Zeekr Power di seluruh negara.
Komitmen Zeekr terhadap ekosistem EV premium
Menurut Eddy Lu, pengurus besar Zeekr Intelligent Technology Malaysia berkata, “pencapaian ini merupakan cerminan kukuh yang kami bina bersama pelanggan.
“Fokus kami kekal pada usaha memperkukuh perjalanan pemilikan dan memberikan nilai yang lebih besar.
“Inisiatif sempena pencapaian penyerahan yang ke-5,000 ini merupakan penghargaan kami kepada semua pemilik yang mempercayai Zeekr.
“Seiring komuniti kami berkembang, kami komited untuk terus melabur dalam inisiatif yang memberi manfaat kepada pelanggan sepanjang perjalanan pemilikan mereka,” jelasnya lagi.
Indonesia menjadi negara ASEAN terbaru yang menerima kehadiran Honda Super-One, selepas Singapura yang terlebih dahulu melancarkan kei car elektrik itu pada awal tahun ini.
Model yang dibangunkan berasaskan N-One itu membuat kemunculan sulungnya di negara berkenaan menerusi acara Gaikindo Indonesia International Auto Show 2026 (GIIAS 2026).
Super-One buka langkah elektrifikasi Honda Indonesia
Menurut Honda Indonesia, kehadiran Super-One dilihat sebagai ‘pembuka jalan’ kepada hala tuju elektrifikasi Honda di pasaran tersebut.
Harga rasmi Super-One akan diumumkan pada 5 Ogos ini, dengan hanya 100 unit diperuntukkan untuk pasaran Indonesia bagi tahun ini.
Boost Mode lonjak kuasa sehingga 95 PS
Super-One menggunakan sebuah motor elektrik yang dipasang pada gandar hadapan. Dalam mod standard, motor tersebut menghasilkan 64 PS dan 162 Nm, angka yang hampir dengan kebanyakan kei car EV moden di Jepun.
Namun dengan adanya mod Boost yang boleh diaktifkan dengan menekan butang berwarna ungu pada stereng, output motor elektrik itu boleh ditingkatkan sementara sehingga 95 PS untuk prestasi yang lebih mengujakan.
Tenaga disimpan dalam bateri litium-ion berkapasiti 29.6 kWj yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 252 km berdasarkan kitaran NEDC.
Dari segi pengecasan, bateri tersebut menyokong pengecasan pantas DC sehingga 50 kW, membolehkan tahap pengecasan meningkat daripada 20% hingga 80% dalam masa 30 minit. Ia turut menyokong pengecasan AC 6 kW dengan masa pengecasan penuh sekitar 4.5 jam.
Rekaan sporty, kabin moden dan Honda Sensing
Dari segi penampilan, Honda Super-One hadir dengan lampu utama LED penuh, rim aloi 15 inci serta kit badan yang memberikan imej lebih agresif. Unit yang dipamerkan tampil dalam warna Boost Violet Pearl.
Ruang kabin pula dilengkapi dengan skrin sentuh infotainmen 9 inci, paparan instrumen TFT 7 inci, pencahayaan ambien, sistem audio Bose bersama subwoofer serta konfigurasi tempat duduk Ultra Seats.
Walaupun bersaiz kompak, aspek keselamatan tidak diabaikan. Super-One hadir dengan enam beg udara serta sistem bantuan pemanduan Honda Sensing yang merangkumi ciri seperti Adaptive Cruise Control dengan Low-Speed Follow, Lane Keeping Assist System dan Collision Mitigation Braking System.
6 Ogos 2026 bakal menjadi tarikh bersejarah buat BMW Group Malaysia kerana syarikat itu dijadualkan memperkenalkan model pertama daripada keluarga Neue Klasse di negara ini.
iX3 jadi pembuka tirai Neue Klasse
Identiti model berkenaan masih belum didedahkan secara rasmi, namun berdasarkan video teaser yang dikongsikan, besar kemungkinan ia ialah BMW iX3 serba baharu.
Diperkenalkan di peringkat global pada September tahun lalu, SUV elektrik itu kini telah dilancarkan di beberapa pasaran Asia termasuk Thailand, Singapura dan Jepun.
Menariknya, iX3 yang bakal diperkenalkan di Malaysia berkemungkinan besar ialah versi jarak roda panjang yang dikenali sebagai iX3 L. Varian itu dilancarkan di China dengan jarak roda yang dipanjangkan bagi menawarkan ruang kabin yang lebih luas, khususnya untuk penumpang belakang.
469 PS, jarak pemanduan sehingga 805 km
Dari segi spesifikasi, iX3 dijangka ditawarkan dalam varian 50 xDrive yang menggunakan dua motor elektrik bersama sistem pacuan semua roda.
Konfigurasi itu menghasilkan kuasa keseluruhan 469 PS dan 645 Nm, dengan motor hadapan menjana 167 PS dan 255 Nm, manakala motor belakang pula menghasilkan 326 PS dan 455 Nm.
Dengan angka yang gah itu, iX3 dikatakan mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 4.9 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum 210 km/j.
Varian 50 xDrive dipadankan dengan bateri NMC berkapasiti 108.7 kWj yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 805 km mengikut kitaran WLTP.
Seni bina 800V, pengecasan 10-80% dalam 21 minit
Lebih menarik, iX3 dibangunkan berasaskan seni bina elektrik 800V yang menyokong pengecasan pantas DC sehingga 400 kW. Pada kadar maksimum, baterinya hanya memerlukan sekitar 21 minit untuk dicas daripada 10% hingga 80%.
BYD Sime Motors secara rasmi mengumumkan kemas kini bagi model SUV elektrik BYD Sealion 7 2026.
Harga jualan adalah seperti berikut:
Sealion 7 Dynamic – RM163,800
Sealion 7 Premium – RM188,800
Sealion 7 Performance – RM203,800
300 pelanggan pertama untuk varian Dinamik boleh mendapatkan pakej pengecas dinding atau rebat sehingga RM4,000, menjadikan harga jualan kini serendah RM159,800.
Varian Premium pula menawarkan pakej pengecas dinding serta nilai tukar beli sehingga RM3,888.
Sementara varian Performance pula menawarkan pakej pengecas dinding dan nilai tukar beli sehingga RM2,888.
Spesifikasi dinaik taraf
Berbanding Sealion 7 yang dilancarkan tahun lepas, Sealion 7 2026 kini menggunakan senibina elektrik 800V.
Berbanding model terdahulu, Sealion 7 kini menyokong pengecasan DC sehingga 230 kW.
Varian asas Dynamic pula masih mengekalkan senibina 400V dengan keupayaan pengecasan DC sehingga 110 kW.
Perincian bagi setiap varian adalah seperti berikut:
Dynamic
motor elektrik pacuan roda belakang
kuasa 228 hp/380 Nm
pek bateri 71.8 kWh
pecutan 0-100 km/j dalam 7.3 saat
jarak pandu NEDC 520 km
Premium
motor elektrik pacuan roda belakang
kuasa 308 hp/380 Nm
pek bateri 91.39 kWh
pecutan 0-100 km/j dalam 6.9 saat
jarak pandu NEDC 650 km
Performance
motor elektrik berkembar pacuan semua roda (AWD)
kuasa 523 hp/690 Nm
pek bateri 91.39 kWh
pecutan 0-100 km/j dalam 4.5 saat
jarak pandu NEDC 600 km
Selain itu, BYD Malaysia turut memperkenalkan warna baharu Ultraviolet untuk varian Premium.
Dimensi
BYD Sealion 7 membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,830 mm, lebar 1,925 mm, tinggi 1,620 mm dan jarak antara roda 2,930 mm.
Secara standard, ia hadir dengan rim bersaiz 19 inci sementara varian Performance pula mendapat tetapan rim 20 inci.
Ruang kargo adalah sebesar 520 liter (500 liter untuk varian Dynamic) diikuti dengan ruang frunk 58 liter.
Kelengkapan kabin
Untuk ruang kabin, ia masih lagi mengekalkan penawaran seperti model terdahulu.
Antara ciri yang tersedia termasuklah:
skrin kluster digital 10.25 inci
skrin tengah 15.6 inci
skrin paparan head-up realiti terimbuh 50 inci
upholsteri kulit
sokongan Apple CarPlay/Android Auto
slot pengecasan tanpa wayar 50W
sistem audio Dynaudio dengan 12-pembesar suara
Keselamatan
Secara standard, BYD Sealion 7 dilengkapi dengan sembilan beg udara, serta kelengkapan keselamatan termaju termasuklah:
Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
Bantuan Pengekalan Lorong Kecemasan (ELKA)
Bantuan Keluar Lorong (LDA)
Pengecaman Papan Tanda Trafik (TSR)
Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
Amaran Lintasan Trafik Depan & Belakang (FCTA & RCTA)
Sistem Brek Lintasan Trafik Depan & Belakang (FCTB & RCTB)
Amaran Pelanggaran Belakang (RCW)
Amaran Bukaan Pintu (DOW)
Sistem Pengesanan Titik Buta (BSD)
Ciri Amaran Tumpuan Pemandu (DAW) dan skrin paparan head-up dikecualikan daripada varian Dynamic.
smart Malaysia mengumumkan penawaran warna baharu Laser Red eksklusif untuk smart #5 Brabus dan tersedia dalam unit terhad.
smart #5 Brabus Laser Red Edition masih lagi mengekalkan spesifikasi asas varian Brabus, dengan dua motor elektrik dan sistem pacuan semua roda menghasilkan 646 PS dan 710 Nm.
Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 3.8 saat.
Pek bateri NMC 100 kWh menawarkan jarak pandu sehingga 540 km untuk sekali cas penuh.
Antara kelengkapan eksklusif yang hadir pada varian Brabus termasuklah:
Launch Mode
angkup brek merah
rim Brabus Monoblock Z 21 inci
suspensi sport
mod pemanduan Brabus
upholsteri Alcantara & Dinamica
ekosistem digital yang dipacu cip AMD V2000
Serentak dengan pengumuman Edisi Laser Red, smart Malaysia turut mengumumkan perubahan harga jualan untuk model tahun 2026:
Untuk info, harga jualan smart #5 ketika dilancarkan tahun lepas bermula dari RM199,800 untuk varian Premium dan mencecah sehingga RM249,800 untuk varian Brabus.
iCaur Malaysia mengumumkan model iCaur V23 versi pemasangan tempatan (CKD) bakal tiba di bilik pameran menjelang akhir bulan ini.
Program CKD iCaur V23 bermula secara rasmi pada bulan Julai, sekali gus menjadi satu lagi perkembangan penting dalam perancangan jangka panjang iCaur untuk pasaran tempatan.
Varian tunggal iWD
iCaur V23 versi CKD hanya ditawarkan dalam varian pacuan semua roda pintar (iWD).
Namun, pihak iCaur Malaysia menjamin spesifikasi dan tahap kualiti yang sama seperti versi import sepenuhnya (CBU).
Harga jualan asal turut dikekalkan pada RM132,780.
Versi iWD dipacu oleh tetapan dua motor elektrik berkuasa 211 PS dan 292 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam 7.5 saat.
Pek bateri NMC 81.76 kWh pula menawarkan jarak pandu NEDC sehingga 430 km.
Ia turut menyokong pengecasan AC 6.6 kW, pengecasan pantas DC sehingga 104 kW, serta fungsi V2L sehingga 3.3 kW.
Spesifikasi penuh iCaur V23 boleh dibaca pada pautan INI.
Denza Malaysia secara rasmi melancarkan model baharu Denza Z9 GT 2026 untuk pasaran Malaysia.
Ditawarkan dalam varian tunggal, model shooting brake elektrik ini dijual pada harga bermula dari RM358,800.
Sempena dengan pelancaran, Denza Malaysia menawarkan pakej berikut:
Jaminan kenderaan 6-tahun atau had perbatuan 150,000 km
Pakej servis berjadual percuma 6-tahun bernilai RM10,000
Jaminan bateri bervoltan tinggi 8-tahun atau 160,000 km
Jaminan unit pacuan 8-tahun atau 160,000 km
Sepasang fon telinga edisi khas Denza oleh Devialet bernilai RM2,000
Platform e³
Denza Z9 GT dibina berdasarkan platform e³ yang menampilkan tetapan tiga motor elektrik menghasilkan kuasa 1,156 PS dan daya kilas 1,210 Nm.
Pecutan 0-100 km/j memakan masa 2.7 saat.
Pek bateri Blade berkapasiti 122.49 kWh menawarkan jarak pandu sehingga 701 km (NEDC).
Senibina 1,000V membolehkan Denza Z9 GT menyokong Flash Charging, dengan pengecasan 10-70% dalam masa lima minit sahaja, dan 10-97% dalam masa 9 minit.
Casis & Dimensi
Z9 GT merupakan sebuah shooting brake dengan ukuran panjang melebihi lima meter.
Dimensi sebetulnya sepanjang 5,180 mm, lebar 1,990 mm, tinggi 1,490 mm dan jarak antara roda sepanjang 3,125 mm.
Ruang kargo adalah sebesar 495 liter ditambah dengan kehadiran frunk sebesar 53 liter.
Z9 GT dilengkapi dengan suspensi udara Disus-A terdiri daripada tetapan double-wishbone aluminium di depan, diikuti sistem multi-link di belakang dan kawalan redaman berterusan (CDC).
Dengan bantuan sistem stereng gandar belakang, Z9 GT boleh mencapai radius putaran sekecil 4.62 meter, selain menawarkan “Crab Mode” dan “Pencil Compass Turn”.
Kelengkapan luaran & dalaman
Secara standard, Denza Z9 GT hadir dengan ciri seperi lampu utama LED, lampu belakang LED dengan grafik jam pasir, logo Denza 3D, bumbung kaca panorama, serta spoiler belakang aktif.
Tidak ketinggalan, keempat-empat pintu didatangkan dengan fungsi tutup lembut.
Ruang kabin pula didatangkan dengan ciri berikut:
skrin kluster digital 13.2 inci
skrin tengah sebesar 17.3 inci
skrin penumpang hadapan 13.2 inci
paparan head-up AR 50 inci
cermin pandang belakang digital 9.1 inci
skrin LCD baris kedua 6 inci
Tempat duduk depan diberikan larasan 8-tahap , diikuti sokongan tulang belakang 4-tahap, fungsi memori, urut, pemanas dan ventilasi, sementara tempat duduk pemandu pula hadir dengan sistem bolster dinamik.
Tempat duduk belakang hadir dengan fungsi urut, pemanas dan ventilasi, diikuti larasan sudut sandaran dan perehat kaki kawalan elektrik.
Ciri lain termasuklah:
kawalan iklim empat-zon
sistem audio Devialet dengan 20-pembesar suara
sistem pencahayaan ambien
ruang storan 4 liter dengan fungsi panas (sehingga 50 darjah Celcius) dan sejuk (serendah -6 darjah Celcius)
pengecas peranti pintar tanpa wayar 50W berkembar
bantuan suara berbilang bahasa (termasuk Bahasa Malaysia)
Keselamatan
Secara standard, Denza Z9 GT hadir dengan sembilan beg udara, serta sistem kawalan kenderaan (VMC) yang menampilkan fungsi seperti:
Low Friction Pavement Stability Control System
High-Speed Tyre Burst Control System
Selain itu, terdapat ciri bantuan pemandu termaju (ADAS) Tahap 2+ yang turut merangkumi kawalan jelajah adaptif, kawalan pemusatan lorong, serta pengelakan pelanggaran prediktif.
Pilihan warna
Terdapat dua pilihan warna iaitu Rime Gold dan Obsidian Black.
Warna Rime Gold diberikan pilihan warna dalaman Dark Chocolate & Perg Beige, atau pilihan warna dalaman hitam yang menampilkan tempat duduk suede dengan jahitan kuning.
Warna Obsidian Black pula boleh dipadankan dengan warna Dark Chocolate & Red Velvet, Dark Chocolate & Perg Beige, atau warna serba hitam.
Sime Darby Auto Performance (SDAP) mempertontonkan model SUV baharu Porsche Cayenne Electric yang bakal dilancarkan pada tahun ini.
Tidak seperti Cayenne versi petrol dan hibrid, Cayenne EV akan ditawarkan sebagai unit import sepenuhnya (CBU).
Dimensi
Porsche Cayenne Electric membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,985 mm, lebar 1,980 mm, tinggi 1,674 mm dan jarak antara roda sepanjang 3,023 mm.
Berbanding Cayenne ICE, Cayenne EV memiliki kelebihan panjang 55 mm, dan jarak antara roda 130 mm lebih panjang, menyumbang kepada ruang kabin yang lebih lapang.
Secara standard, Cayenne Electric menyediakan ruang kargo sebesar 781 liter-1,588 liter, serta ruang frunk sebesar 90 liter.
Dua varian
Untuk permulaan, Cayenne Electric ditawarkan dalam dua varian utama, iaitu varian asas dan varian turbo.
Perinciannya seperti berikut:
Cayenne Electric
kuasa cecah 442 PS/835 Nm
pecutan 0-100 km/j dalam 4.8 saat
kelajuan maksimum 230 km/j
jarak pandu 642 km
Cayenne Turbo Electric
kuasa cecah 1,156 PS/1,500 Nm
pecutan 0-100 km/j dalam 2.5 saat
kelajuan maksimum 260 km/j
jarak pandu 623 km
Pengecasan
Kedua-dua varian dilengkapi dengan pek bateri 113 kWh, dan seni bina elektrik 800V yang membolehkan pengecasan DC sehingga 400 kW.
Ini bermakna, pengecasan 10-80% SoC boleh dicapai dalam masa bawah 16 minit.
Selain itu, Porsche Cayenne Electric turut menyokong pengecasan induktif (tanpa wayar) sehingga 11 kW.
Kelengkapan
Unit yang dipamerkan di Porsche Centre Ara Damansara ini merupakan varian Turbo.
Di bahagian luar, varian Turbo ini dilengkapi dengan ciri seperti:
rim 22 inci SportTechno
spoiler belakang adaptif
bilah aero aktif di belakang
sistem stereng gandar belakang
Porsche Active Ride
pintu jenis tutup lembut
Kabin Cayenne Turbo Electric ini membawakan ciri seperti skrin melengkung 14.25 inci untuk pemandu, skrin tengah bersudut Flow Display, skrin penumpang opsyen 14.9 inci, serta skrin paparan head-up dengan teknologi realiti terimbuh (AR).
Antara ciri lain yang dimuatkan termasuklah:
tempat duduk sports adaptif larasan 18 tahap
fungsi pemanas tempat duduk depan dan belakang
kemasan logo Porsche pada perehat kepala
soket kuasa 230V pada ruang kargo
bumbung kaca panorama
Harga
Buat masa ini, pihak SDAP masih belum mendedahkan harga jualan rasmi bagi model Porsche Cayenne Electric.
Dalam masa yang sama, SDAP akan terus menawarkan Porsche Cayenne versi CKD, iaitu Porsche Cayenne Petrol berharga dari RM609,000 dan Cayenne S E-Hybrid Coupe berharga RM739,000.