Chery sasar pasaran kei car Jepun menerusi jenama EV baharu Emta
Chery dilihat semakin agresif memperluaskan pengaruh globalnya, dan kini gergasi automotif dari China itu menyasarkan pula pasaran kei car Jepun yang selama ini dikuasai hampir sepenuhnya oleh jenama tempatan.
Bagi merealisasikan rancangan tersebut, Chery mewujudkan sebuah usaha sama baharu dikenali sebagai EMT (Electric Mobility Technology) yang berpangkalan di Singapura. Syarikat ini akan memperkenalkan jenama EV baharu iaitu Emta, singkatan kepada “Easy, Made To All”.
Lima syarikat bergabung di bawah Emta
Selain Chery, usaha sama ini terdiri daripada Jiangsu Yueda Automobile Group, Autobacs Seven, Gotion dan Anest Iwata. Chery dan Jiangsu Yueda masing-masing memegang pegangan sebanyak 27.27%, manakala Autobacs Seven serta Gotion memiliki 18.18% setiap satu. Baki 9.09% pula milik Anest Iwata.

Emta #01 – kei car EV kompak dengan teknologi Chery
Model pertama Emta dikenali sebagai Emta #01, sebuah hatchback elektrik kompak yang dijadual memasuki pengeluaran pada separuh kedua 2027. Ia tampil dengan rekaan ringkas dan berkotak, lengkap dengan pintu gelangsar belakang bagi memudahkan akses ke kabin.
Dengan panjang sekitar 3.4 meter, Emta #01 mematuhi regulasi kei car Jepun dan bakal bersaing dengan model popular seperti Honda N-Box, Nissan Sakura dan Suzuki Hustler.

Produksi di China, jualan di Jepun
Untuk peringkat awal, Emta #01 akan diproduksikan di China menerusi Jiangsu Yueda sebelum dipasarkan di Jepun oleh Autobacs Seven. Emta turut menyasarkan harga jualan setanding kei car dengan enjin pembakaran dalaman (ICE) bagi menarik lebih ramai pembeli.
Selain Emta #01, syarikat itu merancang memperkenalkan tiga lagi EV menjelang 2029 iaitu hatchback kecil, crossover kompak dan MPV. Bergantung kepada prestasi jualan, Emta turut merancang untuk membuka kilang pemasangan di Jepun selepas tahun 2030.
Peminat segala jenis kenderaan