Zeekr Malaysia perluas rangkaian jualan & selepas jualan dengan EON
Zeekr Intelligent Technology Malaysia menandatangani perjanjian pengedaran dengan Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON).
Kerjasama terbaharu ini menandakan satu lagi langkah strategik Zeekr Malaysia dalam usaha memperluas rangkaian runcit dan selepas jualan di Malaysia.
Pengalaman meluas EON
Sebagai salah satu peruncit automotif terkemuka, EON mempunyai pengalaman luas dalam operasi runcit automotif terutama dalam segmen EV.
Sebelum kerjasama terbentuk, wakil EON telah melawat fasiliti Zeekr di China untuk melihat sendiri teknologi, kemampuan pembuatan serta pendekatan terhadap mobiliti elektrik.
Lawatan tersebut mengukuhkan keyakinan EON terhadap Zeekr dan membuka jalan kepada perjanjian yang ditandatangani tersebut.
Perluas akses pelanggan
Di bawah fasa pertama kerjasama, EON akan membuka Zeekr Pop-up Store di AEON Mall Shah Alam yang akan mula beroperasi Oktober 2026.
Kedai dengan keluasan 1,340 kaki persegi ini membolehkan pelanggan mendekati dan meneroka barisan EV premium (X, 009 & 7X) serta mendapatkan maklumat lajut tentang tawaran pemilikan.
Pop-up store ini akan berfungsi sebagai pusat sentuhan pelanggan sementara Zeekr House Glenmarie dibangunkan yang dijangka siap suku pertama 2027.
Fasiliti baharu ini bakal menawarkan pengalaman pelanggan yang lebih menyeluruh dengan menggabungkan perkhidmatan jualan, penyerahan kenderaan dan perkhidmatan selepas jualan di bawah satu bumbung
Melangkah ke hadapan, Zeekr Malaysia akan terus bekerjasama dengan rakan automotif berpengalaman bagi membina ekosistem pemilikan yang lebih kukuh dan mudah diakses untuk pelanggan di seluruh Malaysia.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.

