Subaru A.S turunkan harga, Impreza 2027 jadi lebih murah!
SUBARU mengumumkan harga Impreza 2027 di Amerika Syarikat (AS), dengan harga permulaan AS$24,595 (RM100,324).
Harga itu AS$2,000 (RM8,156) lebih rendah berbanding harga model aras mula Impreza 2026.
Subaru juga memaklumkan Impreza 2027 kini kereta kompak pacuan semua roda (AWD) paling mampu milik yang dijual di AS.
Model ini ditawarkan dalam dua varian iaitu Impreza dan Impreza RS.
Subaru Impreza 2027
Antara kelengkapan standard termasuk rim aloi 17 inci kelabu gelap, teknologi bantuan pemanduan EyeSight, Keyless Access dengan butang mula.
Fungsi Apple CarPlay dan Android Auto melalui sambungan berwayar.
Bahagian dalam menggunakan balutan fabrik Tricot, kawalan pendingin hawa automatik dua zon serta port pengecasan USB-A dan USB-C.
Sistem maklumat hibur menggunakan dua skrin sentuh 7 inci.
Skrin atas mengendalikan fungsi maklumat hibur, manakala skrin bawah digunakan untuk kawalan pendingin hawa dan fungsi kenderaan.
Turut tersedia radio satelit SiriusXM dengan percubaan percuma selama empat bulan, HD Radio dan Bluetooth.
Teknologi bantuan pemanduan EyeSight merangkumi brek praperlanggaran, amaran keluar lorong dan melencong dan bantuan kekal lorong.
EyeSight turut merangkumi Kawalan Jelajah Adaptif Lanjutan dengan fungsi mengekalkan kenderaan di tengah lorong serta Bantuan Berhenti Kecemasan.
Lampu utama LED dengan fungsi mengikut arah stereng dan bantuan lampu tinggi turut menjadi kelengkapan standard.
Subaru Impreza RS 2027
Impreza RS kembali untuk tahun model 2027 dengan harga AS$29,495 (RM120,479), sama seperti model sebelumnya.
Varian ini menerima rim aloi 18 inci kelabu gelap, balutan fabrik RS hitam, lampu kabus dan spoiler bumbung Crystal Black Silica.
Kabin menggunakan sistem maklumat hibur Subaru 11.6 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.
Ia turut mempunyai SiriusXM dengan 360L, HD Radio dan Bluetooth.
Pengecas telefon pintar tanpa wayar yang dinaik taraf turut ditawarkan sebagai kelengkapan baharu.
Perkhidmatan MySubaru Connected Companion termasuk dalam pakej standard dengan percubaan lima tahun.
Ia menyediakan fungsi seperti panggilan kecemasan SOS, pemberitahuan pelanggaran lanjutan dan semakan keadaan kenderaan.
Pakej MySubaru Connected Services Companion+ pula tersedia untuk tempoh tiga atau lima tahun.
Di antara fungsi seperti menghidupkan enjin dari jauh bersama kawalan suhu, mengunci dan membuka kunci dari jauh serta amaran waktu berkurung dan amaran sempadan.
Pakej semua cuaca juga standard pada Impreza RS.
Ia merangkumi kerusi hadapan dengan pemanas, cermin sisi yang dipanaskan serta penyahbeku pengelap cermin hadapan.
Sistem EyeSight pada varian ini turut ditambah dengan Pengesanan Titik Buta bersama Amaran Lintasan Trafik Belakang serta Bantuan Kekal Lorong Kecemasan.
Pakej pilihan berharga AS$2,070 (RM8,447) pula menambah sistem audio Harman Kardon 10 pembesar suara dengan penguat setara 432 watt
Turut dilengkapi, bumbung kaca berkuasa dan kerusi hadapan dengan pelarasan kuasa 10 hala serta sokongan lumbar.
Enjin Boxer 2.5 Liter
Kedua-dua varian Impreza 2027 menggunakan enjin Boxer 2.5 liter berkuasa 180 hp.
Enjin itu dipadankan dengan transmisi Lineartronic CVT dan sistem pacuan semua roda Subaru Symmetrical All-Wheel Drive.
Kedua-dua varian turut dilengkapi pedal gear, mod manual lapan kelajuan dengan nisbah pratetap serta sistem SI-Drive dengan mod Intelligent dan Sport.
Kemasan dan Warna
Bahan kemasan dalaman untuk Impreza 2027 turut ditambah baik menerusi jahitan baharu pada konsol tengah dan bahan panel pintu yang dikemas kini.
Impreza ditawarkan dalam pilihan warna Crystal Black Silica, Crystal White Pearl, Ice Silver Metallic, Magnetite Gray Metallic, Sapphire Blue Pearl dan Ignition Red (baharu).
Cat premium Citron Yellow Pearl pula ditawarkan pada harga tambahan AS$395 (RM1,610).
Harga Subaru Impreza 2027
Impreza 2027 dipasang di Gunma, Jepun dan akan tiba di pengedar Subaru di AS pada penghujung 2026.
- Impreza: CVT, AS$24,595 (RM100,324)
- Impreza RS: CVT, AS$29,495 (RM120,479)
Pakej pilihan Impreza RS berharga AS$2,070 (RM8,447)
