Brabus Urban E Fragment Edition – motosikal EV eksklusif untuk peminat streetwear, 10 unit sahaja seluruh dunia

Brabus Urban E Fragment Edition

Brabus memperkenalkan Urban E Fragment Edition, sebuah motosikal elektrik eksklusif hasil kerjasama dengan DAB Motors dan Fragment Design, label fesyen milik pereka Jepun Hiroshi Fujiwara.

Terhad kepada hanya 10 unit di seluruh dunia, model ini menggabungkan prestasi elektrik dengan rekaan minimalis hitam putih yang diinspirasikan budaya streetwear.

Kemasan karbon dan tema monokrom

Brabus Urban E Fragment EditionUrban E Fragment Edition menampilkan badan hitam dengan elemen gentian karbon, penutup roda karbon putih, angkup brek putih serta tempat duduk kulit putih Brabus Masterpiece dengan corak jahitan “Shell”.

Di bahagian hadapan, logo Brabus bercahaya dipadankan dengan lampu projektor, manakala lampu nyalaan siang menegak disepadukan pada sisi panel badan.

Brabus Urban E Fragment EditionMotosikal elektrik ini turut mengenakan hendal gaya supermoto, tuil aluminium CNC, panel gentian karbon pada beberapa bahagian badan serta logo Fragment Design pada lampu LED belakang. Ruang simpanan di hadapan tempat duduk disediakan untuk kabel pengecasan.

Trenkuasa dan jarak

Brabus Urban E Fragment EditionMotosikal ini menggunakan sistem pacuan elektrik Brabus Urban E yang dibangunkan oleh DAB Motors, dengan motor elektrik berkuasa 27 kW (37 hp) dan 475 Nm. Kuasa disalurkan ke roda belakang melalui tali sawat karbon yang memerlukan penyelenggaraan minimum.

Bateri litium-ion 72 volt memberikan jarak gerak sehingga 150 km, dengan kelajuan maksimum mencecah 120 km/j. Tiga mod tunggangan disediakan, iaitu Eco, Street dan Sport. Dalam mod Eco, kelajuan dihadkan kepada sekitar 60 km/j bagi menjimatkan tenaga.

Brabus Urban E Fragment EditionPengecasan menggunakan soket elektrik rumah mengambil masa sekitar tiga jam untuk mencapai 80 hingga 100 peratus, manakala pengecasan penuh dari kosong mengambil masa kira-kira 3.5 hingga empat jam.

Sistem brek dan suspensi

Brabus Urban E Fragment EditionSistem membrek menggunakan komponen Brembo, termasuk angkup hadapan empat omboh dan cakera berukuran 320 mm, bersama ABS dua saluran.

Suspensi terdiri daripada fork terbalik 46 mm di hadapan dan penyerap hentak belakang khusus, masing-masing dengan jarak gerak 99 mm.

Harga

Brabus Urban E Fragment EditionMenurut laporan, Brabus Urban E Fragment Edition dijual pada harga 45,000 euro (kira-kira RM206,000) di Eropah.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved