fbpx

KTM Brabus 1300 R Edition 23 ‘anak’ kacukan Austria-Jerman

KTM Brabus 1300 R Edition 23 05

BRABUS, satu nama besar dalam dunia talaan dan modifikasi kereta, dilihat semakin aktif dalam segmen dua roda menerusi kerjasamanya dengan pengeluar motosikal dari Austria iaitu KTM.

Tahun lalu, gandingan dua syarikat itu berjaya melahirkan motosikal edisi terhad 1300 R Edition. Tahun ini, mereka kembali bergabung untuk menghasilkan versi yang dinaik taraf yang dikenali secara rasmi sebagai 1300 R Edition 23.

KTM hanya akan menghasilkan 290 unit, dengan pecahan 145 unit untuk warna Superblack dan selebihnya untuk warna Stealth Grey.

Seperti versi asal, 1300 R Edition 23 dibina berasaskan KTM 1290 Super Duke EVO namun dengan beberapa komponen yang diperbuat daripada gentian karbon dan CNC.

Dari segi penampilan, ia tidak jauh berbeza dengan yang terdahulu tetapi versi baharu ini telah diberikan beberapa modifikasi termasuk trim gentian karbon pada lampu hadapan dan skup udara, serta cermin sisi yang diletakkan pada kedudukan lebih tinggi serta lebih lebar.

Selain itu, tempat duduk penunggang kini menampilkan corak jahitan Brabus “Crest” manakala tempat duduk pembonceng pula mendapat rekaan baharu. Melengkapi modifikasi ini adalah rim tempaan Brabus Monoblock Z berwarna Platinum Black.

Ciri-ciri yang dibawa dari edisi terdahulu termasuklah sistem ekzos slip-on, kerangka berwarna hitam, belly pan gentian karbon, triple clamp CNC, tuil dan tempat letak kaki CNC, serta panel instrumen bertemakan Brabus dengan animasi unik.

1300 R Edition masih dikuasakan oleh enjin 1,301 cc LC8 V-berkembar yang mampu menjana kuasa sebanyak 180 hp pada 9,500 rpm dan 140 Nm pada 8,000 rpm. Ia juga dilengkapi dengan sistem suspensi separa aktif APEX dan peredam stereng keluaran WP.

Harga jualan bermula dari 42,500 euro (~RM200,498). Kesemua 290 unit akan ditawarkan secara eksklusif menerusi portal pra-tempahan dalam talian yang akan dibuka bermula 16 Februari.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved