fbpx

Zoox uji Robotaxi di jalan raya awam dengan pekerja sendiri

zoox robotaxi 01

ZOOX pada Isnin lepas berkata mereka telah berjaya menguji Robotaxi di jalan raya awam untuk kali pertama. Walaupun dalam keadaan terhad, ujian itu menghubungkan dua bangunan Zoox dengan jarak kira-kira satu batu.

Syarikat pemanduan autonomi milik Amazon itu telah memohon lesen robotaxi pada Julai 2022, dan akan menggunakan kenderaan itu untuk membawa pekerja antara dua bangunan tersebut. Servis itu disediakan secara percuma, menurut Reuters.

“Menggunakan kenderaan itu di jalan raya awam dan mengesahkan pendekatan kami untuk semua piawaian merupakan satu langkah besar. Kami tidak akan mampu melaksanakannya melainkan kami telah melihat ke arah mengkomersialkannya,” kata Aicha Evans, CEO Zoox.

Ujian pertama dijalankan pada Sabtu, 11 Februari dan servis itu akan membantu Zoox memperhalusi teknologinya selain memberikan pilihan kepada pekerja untuk bergerak antara dua pejabat di California itu.

Zoox walaubagaimanapun tidak menetapkan sebarang garis masa untuk pelancaran komersial. Untuk mengenakan caj kepada pelanggan, mereka akan perlu mendapat lebih banyak pelepasan dari kerajaan.

Amazon membeli Zoox pada 2020 dengan nilai USD1.3 bilion (RM5.72 bilion) semasa minat terhadap teknologi autonomi masih tinggi. Akhir-akhir ini, beberapa pengeluar utama telah berundur dari membangunkan teknologi itu.

Ford dan Volkswagen pada tahun lepas mengumumkan mereka akan menutup Argo Ai, iaitu unit pemanduan kendiri yang mereka laburkan. Di saat teknologi ini seakan menemui jalan buntu, beberapa pengeluar mula memfokus untuk teknologi bantuan pemandu yang lebih mudah.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved