fbpx

Baojun Yep – EV comel ala Jimny untuk pasaran China

Baojun Yep EV 02

BAOJUN, anak syarikat hasil usahasama SAIC-GW-Wuling (SGMW), telah memperkenalkan kenderaan elektrik bersaiz kompak yang dikenali hanya sebagai Yep.

Dijangka membuat kemunculan di Shanghai Auto Show 2023 pada April ini sebelum memasuki pasaran China bermula Mei, Yep merupakan versi produksi bagi model konsep ‘City Fun Trendy Product’ yang diumumkan oleh SGMW pada akhir tahun lalu.

Menariknya, ia terdahulunya dikenali sebagai KiWi berikutan tertiris gambar yang menunjukkan logo ‘KiWi’ pada gril, namun dengan perkembangan terbaru ini, model ini sah akan dipasarkan di China sebagai Baojun Yep.

Dari segi penampilan, Yep mengekalkan sebahagian besar elemen reka bentuk yang diperlihatkan menerusi model konsep tersebut. Ia ada iras Suzuki Jimny, dengan elemen-elemen off-road seperti fender yang lebar, trim hitam di sekeliling badan, skid plate dan rel bumbung.

Saiz Yep agak kecil iaitu 3,381 mm panjang, 1,685 mm lebar dan 1,721 mm tinggi, menjadikanya 214 mm lebih pendek berbanding Jimny.

Baojun masih belum mendedahkan spesifikasinya namun menurut pemfailan yang dibuat di Kementerian Industri dan Teknologi China, Yep bakal tampil dengan motor elektrik tunggal pada gandar belakang yang menghasilkan 67 hp (50 kW) dan 140 Nm yang membolehkannya mencapai kelajuan maksimum 100 km/j.

Untuk jarak pemanduan, pek bateri litium-ion fosfat yang tidak diketahui kapasitinya menawarkan jarak sejauh 303 km berdasarkan protokol ujian CLTC.

Menurut laporan, Baojun akan memperkenalkan varian yang lebih berkuasa yang mempunyai dua buah motor elektrik dan pacuan semua roda pada masa hadapan.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved