fbpx

Suzuki Jimny kini di Malaysia! Apa yang anda wajib tahu di sini

suzuki jimny thumb

AKHIRNYA SUV yang dinanti-nanti telah tiba di Malaysia secara rasmi, iaitu Suzuki Jimny generasi keempat.

SUV 4×4 kecil dan unik ini menjadi model kedua untuk era baharu Suzuki di Malaysia di bawah naungan Naza Eastern Motors selepas mereka memperkenalkan Swift Sport beberapa bulan lepas.

Suzuki Jimny ini diimport sepenuhnya dari Jepun, dan dijual pada harga RM168,900 atas jalan tanpa insurans (harga tidak termasuk SST 50 peratus).

Mahal? Ya, harganya memang sedikit ‘keras’, tapi anda dapat sebuah kenderaan yang sangat stailo dan walaupun kecil, disebabkan badannya yang petak bersegi, ruang dalamannya tidaklah begitu sempit. Oh ya, dengan pembelian Jimny secara rasmi melalui Naza juga anda dapat jaminan rasmi tiga-tahun/100,000km.

Dari segi mekanikal, anda harus tahu bahawa Suzuki Jimny hanya ditawarkan dengan pilihan kotak gear automatik untuk pasaran Malaysia, tiada manual. Transmisi ini dipadankan dengan enjin 1.5-liter K15B VVT 4-silinder petrol yang menjana 100hp dan 130Nm tork.

Sistem pacuannya menggunakan pacuan empat-roda separuh-masa seperti 4×4 ‘old-skool’, berserta casis ladder-frame yang ditampung dengan suspensi live axle di depan dan belakang.

Sesuai dengan sifatnya iaitu sebuah off-road, kelengkapannya tidaklah begitu mewah. Tiada tempat duduk berkuasa atau brek parkir elektrik dan sebarang kamera. Ia mendapat tempat duduk fabrik, dan masih menggunakan kunci fizikal untuk menghidupkan enjinnya.

Paling penting ialah gayanya, dengan warna hero Kinetic Yellow berserta bumbung hitam, selain warna Bluish Black Pearl 3, Jungle Green dan Medium Grey.

Kelengkapan standard pada Jimny termasuklah lampu projektor LED, lampu kabus, rim aloi 15-inci, sistem pendingin hawa automatik, tempat duduk fabrik manual dan Cruise Control. Sistem infotainmennya menggunakan skrin sesentuh dan menyokong Apple CarPlay, serta disambungkan dengan dua pembesar suara.

Dari segi keselamatan? Suzuki Jimny hadir dengan dua beg udara, ABS, Brake Assist, Stability Control, dan ISOFIX. Tiada sistem terlalu canggih seperti Autonomous Emergency Braking atau Lane Keep Assist yang merumitkan kenderaan. Less is more.

Adakah anda sanggup berbelanja lebih untuk ciri ‘cool’ pada Suzuki Jimny ini, atau anda rela mengambil SUV lebih besar seperti Honda CR-V dan Proton X70?

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved