Mercedes-Benz C-Class EV 2027 tawar jarak pandu 762 km tanpa imej ‘telur’ EQS & EQE

Mercedes-Benz C-Class EV

Ucapkan selamat datang kepada Mercedes-Benz C-Class Electric, jawapan dan pesaing terus kepada sedan elektrik BMW i3.

Nama EQ tidak lagi digunakan untuk merujuk kepada penawaran model EV, malah imej ‘telur’ yang wujud pada sedan EQS dan EQE juga lesap habis.

Luaran

Sekali imbas, anda boleh bayangkan sebuah GLC Electric yang tampil dalam bentuk badan sedan.

C-Class EV ini membawakan rekaan jeriji retro moden yang diinspirasikan daripada model klasik (W111 & W108) serta konsep Vision Iconic.

Untuk lebih menonjol, Mercedes memadankan 1,050 lampu piksel pada struktur tersebut.

Motif bintang juga turut dikekalkan pada bahagian depan dan belakang, diikuti 162 bintang bercahaya pada bumbung kaca panoramik.

Secara keseluruhan, C-Class EV mempunyai angka pekali seretan 0.22 Cd.

Ruang kabin

Untuk sedan elektrik ini disediakan dengan dua pilihan skrin lebar:

  • Hyperscreen bersaiz 39.1 inci
  • Superscreen yang terdiri daripada skrin kluster 10.3 inci dan dua skrin 14 inci

Varian asas pula hadir dengan skrin kluster digital pemandu dan skrin infohibur tengah, manakala skrin penumpang digantikan dengan panel animasi digital (atau rangka gambar digital).

Antara ciri lain termasuklah kaca tingkap berlamina, sistem pendingin hawa yang lebih senyap dan penebat tambahan untuk ruang kabin yang lebih selesa.

Dengan platform EV baharu, C-Class EV mampu menawarkan jarak roda 97 mm lebih panjang, menjadikannya C-Class yang paling luas.

Ruang kargo belakang adalah sebesar 470 liter, diikuti dengan ruang frunk sebesar 101 liter.

Jarak pandu cecah 762 km

Untuk permulaan, C-Class EV ditawarkan dalam varian C400 4Matic yang dipacu motor elektrik berkembar 482 hp/800 Nm.

Ia dipadankan dengan pek bateri 94.5 kWh yang menawarkan jarak pandu sejauh 762 km (data WLTP).

Sedan elektrik ini turut menyokong pengecasan pantas DC 330 kW, membolehkan jarak 325 km dicapai dalam tempoh 10 minit sahaja.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 4.1 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 209 km/j.

Terdapat juga perancangan untuk memperkenalkan varian RWD dengan jarak pandu sekitar 800 km.

Aspek pemanduan

C-Class Electric ini dilengkapi dengan sistem stereng gandar belakang (sehingga 4.5 darjah) bertujuan untuk mengurangkan radius putaran kepada 11.2 meter.

Ia juga turut berguna untuk kestabilan kenderaan sewaktu pemanduan berkelajuan tinggi.

Selain itu, Mercedes bakal menawarkan opsyen suspensi udara adaptif dengan ramalan redaman menggunakan data Google Maps dan maklumat masa nyata untuk mengesan permukaan jalan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved