Arkib Kategori: DUNIA

Acura NSX Type S terakhir siap dibina – nombor 350 daripada 350

SETELAH enam tahun berada di pasaran, Acura NSX generasi kedua kini secara rasmi akan dihentikan penjualannya. Unit terakhir yang merupakan model Type S berwarna Gotham Grey siap dibina pada 16 November lalu di Performance Manufacturing Center (PMC) di Marysville, Ohio.

Diumumkan pada Ogos tahun lalu, NSX Type S merupakan model edisi terhad yang ditawarkan sebagai tanda selamat tinggal. Hanya 350 unit dihasilkan, dengan 300 daripadanya diperuntukkan untuk pasaran Amerika Syarikat, 3o untuk pasaran Jepun dan selebihnya untuk Kanada.

Pelanggan yang membeli NSX Type S mendapat versi yang paling berkuasa pernah dihasilkan. Ia mempunyai 600 hp dan 667 Nm yang dibekalkan oleh enjin 3.5-liter twin-turbo V6 telah dinaik taraf dengan pengecas turbo daripada kereta lumba NSX GT3 Evo, penyuntik bahan api dan intercooler baharu, serta tiga motor elektrik.

Turut dinaik taraf adalah transmisi automatik klac berkembar sembilan kelajuan yang dikatakan mampu menukar gear 50 peratus lebih pantas berbanding sebelum ini. Bukan itu sahaja, ia juga mempunyai mod Rapid Downshift baharu yang membolehkan pemandu melangkaui beberapa gear dengan menekan pedal downshift.

Dengan kemunculan NSX Type S dengan nombor siri 350/350 ini, hayat NSX generasi kedua dengan rasminya berakhir. Persoalannya sekarang, adakah supercar hibrid itu akan mempunyai pengganti?

Masih terlalu awal untuk dikatakan namun Naib Presiden dan Pegawai Jenama Acura, Jon Ikeda sebelum ini dilaporkan pernah memberi bayangan bahawa NSX generasi baharu akan tampil sebagai sebuah model elektrik sepenuhnya.

Subaru Impreza 2024 diperkenalkan – 2 pilihan enjin, tiada lagi versi sedan

ACARA Los Angeles Auto Show yang kini sedang berlangsung menyaksikan kemunculan Subaru Impreza generasi keenam, yang tampil dengan reka bentuk serba baharu, prestasi yang dipertingkatkan serta varian sporty baharu yang dikenali sebagai RS.

Selain itu, Subaru juga telah menggugurkan varian sedan, bermakna untuk model tahun 2024, Impreza hanya boleh didapati dalam bentuk hatchback lima pintu.

Dibina menggunakan platform Subaru Global Platform (SGP) yang telah dipertingkatkan, Impreza dikatakan mempunyai ketegaran torsi 10 peratus lebih tinggi berbanding sebelum ini dan juga pelekat struktur tambahan.

Menurut Subaru, ini memberikan prestasi dinamik yang lebih baik, pemanduan yang lebih lancar serta kabin yang lebih senyap.

Untuk pasaran Amerika Syarikat, Impreza akan ditawarkan dalam tiga varian iaitu Base, Sport dan RS. Varian Base dan Sport dikuasakan oleh enjin boxer 2.0-liter empat silinder dengan 152 hp dan 197 hp, manakala varian RS mendapat enjin boxer 2.5-liter yang menjana 182 hp dan 241 Nm.

Ketiga-tiga varian didatangkan standard dengan Lineartronic CVT (tiada pilihan transmisi manual), serta sistem pacuan Symmetrical All-Wheel Drive dengan ciri Active Torque Vectoring. Menariknya, model ini juga mendapat rak stereng kuasa elektronik daripada WRX yang menjanjikan pengendalian yang lebih responsif.

Sebagai tambahan, varian Sport dan RS dilengkapi dengan mod manual lapan kelajuan dengan paddle shifter, sistem SI-Drive, rim aloi 18 inci dan sistem suspensi dengan talaan sporty.

Seperti bahagian luarannya, rekaan ruang kabin Impreza dilihat tidak jauh berbeza dengan Crosstrek. Bahagian tengah papan pemuka menampilkan skrin sentuh Subaru Starlink berukuran 11.6 inci dengan ciri Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

Ciri-ciri lain yang turut disertakan termasuklah Remote Keyless Access, sistem pemantuan tekanan tayar, tempat duduk belakang yang boleh dilipat secara 60/40, sistem pendingin hawa dwi-zon serta tempat duduk pemandu dengan pelarasan kuasa 10 hala dan sokongan lumbar.

Akhir sekali, setiap varian Impreza didatangkan standard dengan teknologi bantuan pemandu EyeSight yang kini telah ditambah baik dengan sudut pandangan lebih luas, kawalan perisian serta tambahan booster brek elektrik. Ciri ini juga boleh mengenal pasti pejalan kaki dan penunggang basikal di persimpangan lebih awal.

Selain itu, Automatic Emergency Steering disertakan pada model yang dilengkapi dengan Blind-Spot Detection dengan Lane Keep Assist dan Rear Cross-Traffic Alert. Ia berupaya mengawal stereng bagi membantu mengelakkan perlanggaran pada kelajuan kurang 80 km/j.

Porsche 911 Dakar 2023 – 3.2 inci lebih tinggi, dengan mod Rallye!

PORSCHE memperkenalkan variasi terbaharu 911, bukan convertible, bukan GT3 untuk litar, sebaliknya 911 Dakar. Ya, ia hadir lengkap dengan suspensi lebih tinggi dan tayar all-terrain dari kilang. Dan ia juga akan menjadi agak rare, hanya 2,500 unit akan dikeluarkan seluruh dunia.

Paling ketara anda dapat lihat pada 911 Dakar ini pastinya ride height padanya yang lebih tinggi, iaitu dua inci pertambahan dari biasa. Dan bila diperlukan, ia boleh dinaikkan sebanyak 1.2 inci lagi.

Ini bermakna 3.2 inci lebih tinggi dari Carrera biasa, menyamai ride height sebuah SUV. Ketinggian 3.2 inci ini boleh dipandu sehingga 169km/j, dan selepas itu ia akan turun semula ke ketinggian asal. Kelajuan maksima ialah 241km/j.

Kelajuan itu dihadkan secara elektronik kerana 911 Dakar ini datang dengan tayar all-terrain khas Pirelli Scorpion dengan profil 245/45/R19 di depan dan 295/40/R20 di belakang. Tayar ini mempunyai rating Z untuk kekerasan dan pemanduan di jalan biasa.

Untuk anda yang mahu lebih prestasi, tayar prestasi biasa atau tayar salji juga boleh digunakan.

Porsche 911 Dakar ini dipacu oleh enjin 3.0-liter flat-six twin-turbo dengan 473hp, dan kuasa disalurkan ke semua roda melalui kotak gear PDK dwi-klac 8-kelajuan.

Dengan bantuan Launch Control, 911 Dakar mampu memecut ke 96km/j dalam masa 3.2 saat.

Kereta ini juga mendapat dua mod tambahan iaitu Off-Road dan Rallye. Seperti pada namanya, mod Off-Road untuk permukaan kasar yang akan menaikkan ketinggian kenderaan ke tahap maksima, manakala Rallye untuk permukaan berpasir, dan kuasa akan dihantar lebih ke roda belakang untuk keseronokan.

Ciri standard lain termasuklah Porsche Dynamic Chassis Control, sistem stereng belakang, cagak enjin dari GT3, dan Rallye Launch Control khas untuk pecutan di permukaan off-road.

Terdapat spoiler di belakang, manakala hud depan adalah CFRP dari GT3. Anda juga boleh mendapatkan khemah bumbung dan bakul kargo.

Kelengkapan lain pada badannya termasuklah flared fender, beberapa komponen stainless steel, dan cangkuk tunda berwarna merah.

Kesemua pembeli 911 Dakar juga akan mendapat akses khas untuk membeli jam Porsche Design Dakar istimewa.

bZ Compact pamer hala tuju crossover EV Toyota

TOYOTA nampaknya memfokuskan kepada elektrifikasi di Los Angeles Auto Show tahun ini. Selain dari pengenalan Prius generasi kelima, pengeluar itu turut memperkenalkan SUV konsep bZ Compact yang menggambarkan hala tuju mereka untuk segmen crossover EV.

bZ Compact menampilkan rekaan penuh ‘lipatan’ dan berukiran. Di bahagian depan, ia mendapat lampu identiti Toyota seperti pada Prius, selain bahagian luar sisi yang agresif.

Jika dilihat pada profil bZ ini, anda akan nampak overhang yang pendek di depan dan belakang. Bumbungnya mempunyai garisan nipis dari cermin depan kemudian menebal di belakang. Lampu brek ketiga di belakangnya dipasang pada sirip bumbung.

Ciri sebegini biasanya dilihat pada hatchback. Pemegang pintu depannya adalah jenis ‘flush’ dalam badan manakala untuk belakang ianya ‘disorok’ pada tiang-C.

Bahagian dalam Toyota bZ ini mengambil pendekatan minimalis. Untuk pemandu, terdapat stereng lebar oktoagonal. Kemudian kluster instrumen pula terpacak di atas papan pemuka, sama seperti bZ4X dan Prius.

Paparan infotainmen pula menampilkan butang-butang kapasitif yang sensitif kepada sentuhan, manakala di konsol tengah terletaknya butang pemilih gear.

bZ juga mempunyai ‘pembantu’ bernama Yui yang boleh diaktifkan dengan arahan suara.

Crossover konsep ini hanya untuk demonstrasi, dan Toyota belum menyatakan sebarang sistem janaan kuasa untuknya buat masa ini.

Hyundai Ioniq 6 First Edition habis dijual dalam kurang 24 jam

NAMPAKNYA sambutan yang diterima untuk Hyundai Ioniq 6 benar-benar menggalakkan. Pada Ogos lalu, kami melaporkan bahawa sedan EV itu menerima lebih 37,000 tempahan dalam tempoh 24 jam selepas pra-jualannya dibuka di Korea Selatan.

Dalam perkembangan terbaru, Hyundai mengumumkan kesemua 2,500 unit model First Edition telah berjaya dijual dalam masa kurang 24 jam selepas pra-jualannya dibuka pada 9 November lalu.

 

Model edisi terhad itu hanya ditawarkan di beberapa pasaran EV utama Hyundai iaitu Jerman, UK, Perancis, Norway dan Belanda.

Bagi membezakannya dengan model standard, Ioniq 6 First Edition tampil dengan elemen-elemen eksklusif pada bahagian luaran dan dalaman. Ini termasuk warna hitam matte, rim 20 inci serta logo aluminium hitam pada bampar depan dan belakang.

Ruang dalamannya pula dihiasi dengan upholsteri kulit yang dipadankan dengan fabrik Grey Tartan yang diinspirasikan oleh kereta konsep Prophecy EV, serta karpet First Edition ECONYL dengan perincian Grey Tartan.

Ioniq 6 First Edition juga mendapat trenkuasa dalam spesifikasi tertinggi yang menggabungkan sistem pacuan semua roda (AWD) motor berkembar dan bateri ‘long-range’ berkapasiti 77.4 kWh. Gandingan ini memberikan kuasa keseluruhan sebanyak 320 hp dan 650 Nm, serta jarak pemanduan sejauh 519 km.

Selain itu, model First Edition ini juga mendapat manfaat daripada platform E-GMP (Electric Global Modular Platform) dengan sistem 800-volt yang membolehkan ia disambungkan kepada pengecas ultra-pantas 350 kW.

Menurut Hyundai, pelanggan yang berjaya menempah model eksklusif ini secara dalam talian akan menerima kereta mereka antara Mac dan April 2023.

Toyota Prius generasi ke-5 tiba sebagai model PHEV dengan 220 hp

TOYOTA telah memperkenalkan Prius generasi kelima di Eropah, di mana ia akan ditawarkan secara eksklusif sebagai model hibrid plug-in (PHEV).

Model serba baharu ini dibangunkan berdasarkan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) GA-C generasi kedua yang dikatakan lebih ringan dan tegar berbanding platform terdahulu.

Trenkuasa PHEV berkenaan menampilkan gabungan enjin petrol 2.0-liter empat silinder dan sebuah motor elektrik pada gandar depan yang memberikan kuasa keseluruhan mencecah 220 hp, hampir 100 hp lebih tinggi berbanding model sedia ada yang menggunakan enjin 1.8-liter.

Secara berasingan, enjin tersebut menghasilkan 148 hp manakala motor elektrik tersebut menjana 160 hp. Kuasa untuk motor elektrik berkenaan dibekalkan oleh pek bateri berkapasiti 13.6 kWh yang menawarkan jarak gerak “50 peratus lebih jauh berbanding model generasi semasa.”

Ini bermakna, berdasarkan jarak gerak 63 km yang ditawarkan oleh model generasi semasa di UK, model baharu ini mungkin menawarkan jarak sehingga 95 km.

Menariknya, Prius baharu akan ditawarkan dengan sel solar pada bahagian bumbung yang dikatakan dapat menjana tenaga bersih. Namun, tidak pasti jika ciri ini berupaya meningkatkan jarak geraknya.

Dari segi reka bentuk, Prius kini tampil lebih segak dan moden, dengan ketinggian yang dikurangkan sebanyak 50 mm, puncak bumbung ‘ditolak’ ke belakang, serta diameter roda yang lebih besar sehingga 19 inci.

Menurut Toyota, reka bentuk keseluruhan model ini lebih bersih dan diinspirasikan oleh aliran udara semula jadi. Jika dibandingkan dengan model sedia ada, ukuran tapak rodanya bertambah sebanyak 50 mm, manakala ukuran panjangnya dikurangkan sebanyak 46 mm.

Pada bahagian depan, kita dapat melihat dengan jelas Prius menampilkan motif ‘yu tukul’ seperti model-model siri Toyota bZ iaitu bZ4X dan bZ3. Di belakang pula terdapat elemen pencahayaan tiga dimensi yang menonjolkan lagi logo Prius.

Bahagian dalaman pula dibahagikan kepada tiga kawasan mengikut konsep ‘Island Architecture’ iaitu persekitaran, modul pemandu dan panel instrumen terapung.

Sekali imbas, ia tidak jauh berbeza dengan kokpit bZ4X dengan skrin TFT LCD tujuh inci yang berada tepat dalam pemandangan pemandu dan skrin tengah besar yang mendominasi papan pemuka.

Lebih menarik lagi, panel instrumen Prius mempunyai ciri pencahayaan yang disambungkan dengan notifikasi daripada Toyota Safety Sense dan mampu mengeluarkan amaran melalui perubahan warna.

Teaser dedah enjin 6-silinder Mazda baharu, bakal muncul pada CX-90 Januari 2023?

MAZDA pada 2019 pernah dilaporkan berada dalam pembangunan enjin enam-silinder. Kini nampaknya projek itu semakin membuahkan hasil, kerana satu teaser CX-90 menampakkan lencana yang bertulis “…LINE 6”.

Tidak banyak perincian boleh didapati mengenai enjin enam-silinder Mazda ini. Versi petrol dikatakan mempunyai kapasiti 3.0-liter dengan bantuan turbo.

3.3-liter turbodiesel pula akan menjana sekitar 228hp dan 500Nm tork. Akan terdapat juga versi hibrid dengan output 251hp dan 550Nm.

Dalam satu siaran media untuk teaser CX-90, menurut laporan Motor1, Mazda mengesahkan kemunculan SUV itu pada Januari 2023 depan.

Belum dipastikan sama ada pendedahan itu akan dibuat pada acara CES di Las Vegas atau pada acara berasingan oleh Mazda. Apa pun, ianya akan menjadi pelancaran global untuk SUV itu.

Mazda dilaporkan juga mahu memasang enjin enam-silinder ini pada model pacuan roda-belakang dengan platform baharu. Model ini sepatutnya dikeluarkan pada awal 2022 tetapi tidak menjadi.

Mungkinkah ia ditangguhkan? Terdapat juga ura-ura mengatakan ia akan berkongsi platform dengan Toyota dan Lexus.

Mazda berkata enjin enam-silinder ini berkemungkinan menjadi enjin pembakaran dalaman terakhir mereka. Pengeluar itu telah pun melangkah ke alam EV dengan MX-30.

Jualan global Chery bagi tahun 2022 kini melebihi 1 juta unit

BAGI bulan Oktober 2022, jualan global Chery telah mencapai 132,828 kenderaan, menunjukkan peningkatan sebanyak 50.4 peratus berbanding Oktober 2021. Ini merupakan bulan kelima berturut-turut di mana jualan bulanan syarikat melebihi 100,000 unit.

Pencapaian tersebut melonjakkan jualan global Chery bagi 10 bulan pertama 2022 kepada 1,026,758 unit, naik 38.8 peratus. Ini juga kali pertama jualan tahunan Chery mencecah 1,000,000 unit, mengatasi rekod 961,926 unit yang dicapai bagi seluruh 2021.

Dua model peneraju pencapaian tersebut adalah Tiggo 8 dan Tiggo 7 yang mencatat jualan global sebanyak 159,500 unit dan 134,900 unit masing-masing dari Januari hingga Oktober. Selain itu, prestasi syarikat di Amerika Selatan, Timur Tengah dan rantau-rantau lain terus maju.

 

Di Brazil, Chery telah menjual 29,854 unit setakat tahun ini, menguasai 2.38 peratus pasaran dan menempatkannya di kalangan 10 jenama kenderaan terlaris. Prestasinya di negara itu didorong oleh populariti siri Tiggo dan sedan Arrizo 6 yang merupakan pemegang Anugerah Nilai Jualan Semula Terbaik.

Di Timur Tengah pula, Chery mencatat peningkatan dari segi jualan serta reputasi jenama. Tiggo 8 Pro telah menerima pujian daripada media terkemuka sebagai “revolusi baharu yang dibawa ke pasaran kenderaan Qatar”, dan telah memenangi gelaran “Perintis Terpintar”.

Bulan lalu menyaksikan Chery melancarkan pelbagai aktiviti global sempena acara terhangat tahun ini iaitu Piala Dunia, termasuk menerangi mercu tanda di Qatar, Mexico dan Brazil. Bukan itu sahaja, cabaran TikTok ‘Play Together’ serta ‘Malam Karnival With Chery With Love’ juga bakal bermula pada hujung bulan ini.

Selain itu, Chery juga akan akan menjalin kolaborasi dengan pemain-pemain dan media sukan terkemuka di Brazil, serta menganjurkan aktiviti menarik yang melibatkan ribuan peminat.

Sementara itu di Qatar pula, syarikat tersebut akan menyediakan kenderaan bagi jabatan keselamatan serta kenderaan media bagi lebih 10 negara yang bersaing. Chery juga akan menyediakan perkhidmatan ulang-alik percuma di Lapangan Terbang Antarabangsa Doha bagi pemilik kenderaannya di seluruh dunia semasa Piala Dunia.

Raja baru di Nurburgring! Mercedes-AMG One lapan saat lebih pantas dari Porsche 911 GT2 RS

MERCEDES-AMG One telah membuat pusingan terpantas di Litar Nurburgring dengan catatan masa 6 minit 35.183 saat.

Catatan masa ini adalah lebih pantas dari Porsche 911 GT2 RS dengan pakej Manthey Racing yang mencatatkan pusingan 6 minit 43.0 saat, perbezaan sebanyak 7.817 saat.

Ini bermakna Mercedes-AMG One kini merupakan raja terbaharu di litar sepanjang 20.8km dengan jolokan nama The Green Hell itu.

Cubaan rekod pada 28 Oktober itu walaubagaimanapun menghadapi beberapa cabaran. Semasa mereka memulakan pemanduan, masih terdapat beberapa kawasan lembap di litar, termasuk di ‘racing line’ sesetengah sektor.

Semasa keadaan bertambah baik, pasukan Mercedes mempunyai masa kurang dari sejam sebelum slot mereka tamat. Pemandunya, Maro Engel hanya sempat membuat empat pusingan.

Engel telah pun mencipta rekod baharu sebelum masa tamat, tetapi keadaan litar masih sedang bertambah baik. Dia keluar untuk satu lagi pusingan terakhir dan berjaya mencatat masa lebih pantas.

“Saya tidak menjangkakan dapat mencatat masa sepantas itu dengan keadaan litar sebegini. Di beberapa kawasan penting, ia belum benar-benar kering, jadi agak sukar. Ianya satu cabaran unik,” kata Engel.

Mercedes juga telah melantik pakar untuk memastikan kereta yang digunakan merupakan spesifikasi produksi. Setup pada AMG One itu termasuklah angka camber pada suspensi supaya tayar berada pada tahap toleransi maksima.

Mercedes berkata pemilik biasa pun boleh menala kereta mereka seperti jentera yang digunakan untuk rekod itu.

Mercedes-AMG One dipacu oleh enjin 1.6-liter V6 dari Formula 1 dengan empat motor elektrik dan menjana 1,049hp.

Ia mampu memecut ke 100km/j dalam hanya 2.9 saat dan mencapai 200km/j dalam 7 saat. Kelajuan maksima pula ialah 352km/j.

Semasa di Nurburgring, Engel berjaya memandu One hingga mencapai 338km/j di bahagian lurus Döttinger Höhe.

Setahun jalan lebih 400,000km! Honda Civic FE ini untuk dijual, RM89,000 sahaja

KERETA dan enjin Jepun terkenal dengan kelasakan dan ketahanan mereka, boleh dipandu beratus ribu kilometer tanpa sebarang masalah besar.

Sebuah Honda Civic FE 2022 (dilancar pada 2021) telah mencatatkan lebih 250,000 batu (400,000km) dalam hanya setahun! Dan kini ia disenaraikan untuk dijual di Weeks Motors, sebuah laman jualan kenderaan di Amerika Syarikat.

Iklan ini mula dijumpai oleh Tire Meets Road, dan Civic 2022 varian Touring ini berada di Dallas, Texas. Ia diiklankan untuk dijual pada harga USD18,999 (RM89,143), iaitu kira-kira USD6,000 (RM28,000) kurang dari harga asalnya.

Secara purata, pemilik Honda Civic ini memandunya sejauh 600 batu (965km) sehari. Banyak betul berjalan! Kini ia mencari pemilik baharu.

Menurut sumber berita, pemilik asal menjalankan kerja-kerja kurier perubatan dengan menghantar alatan ke Houston setiap hari.

Laporan penuh Carfax pula menunjukkan kerja penyelenggaraan yang mantap telah dibuat pada Civic ini untuk memastikan ianya dalam keadaan baik.

Sebagai contoh, minyak enjin ditukar setiap 10,000 batu (16,674km) dalam tiga hari pertama. Pada masa ini juga minyak dan penapis pertama ditukar, di Rusty Wallis Honda di Dallas.

Cecair brek pula ditukar pada 50,539 batu (81,334km) dimana pada masa yang sama cecair penyejuk juga ditukar – dan kemudian ditukar lagi pada 202,839 batu (326,437km).

Sanggupkah anda beli kereta berumur setahun dengan perbatuan 400,000km yang berada dalam keadaan baik?

Sumber gambar: Weeks Motors

Volvo EX90 2023 serba baharu dengan bonggol atas cermin seperti jentera rali – EV, 469hp, 482km

Volvo EX90 baru-baru ini telah membuat kemunculan global buat pertama kali di Stockholm, menandakan era baharu untuk pengeluar Sweden itu.

Ini kerana ia bukan sahaja mendapat bahasa rekaan baharu, tetapi juga platform serta powertrain serba baharu. Mari kita lihatkan satu-persatu.

SUV elektrik sepenuhnya ini membawakan segala yang anda boleh jangkakan mengenai sebuah Volvo – moden, menyerlah, terperinci, dan sedikit ‘edgy’.

Secara kasar ia memang nampak hampir serupa dengan XC90 hari ini, tetapi dibawahnya terdapat platform serba baharu. Dan aspek keselamatan sentiasa menjadi tunjang utama Volvo, maka EX90 ini dikatakan model paling selamat pernah mereka hasilkan.

Nampak bonggol atas cermin depan itu? Ia bukan corong udara seperti kereta rali, sebaliknya ia menempatkan segala pengesan, kamera dan radar. Dan semua sistem ini disokong oleh komputer berkelajuan tinggi dengan perisian sendiri.

Kamera pada unit ini mmeberikan pandangan 360 darjah sekeliling kereta malah mampu melihat objek kecil beberapa ratus meter di depan dan memberikan lebih masa kepada pemandu untuk bertindak balas.

Dengan saiznya yang besar membolehkan Volvo ‘menyumbat’ bateri 111kWh dengan dua motor elektrik. Kuasa yang mampu dibekalkan adalah sehingga 496hp dan 910Nm tork, serta jarak pemanduan sehingga 482km untuk setiap caj.

Ciri lain termasuklah fungsi Google yang terbina dalam seperti Google Maps dan Google Play, skrin potret tengah 14.5-inci, sambungan 5G, ciri penstriman muzik, dan sistem audi Bowers & Wilkins.

Penghantaran pertama dikatakan akan dibuat pada awal 2024.

Tunda lagi! Pengeluaran Tesla Cybertruck dijangka bermula hujung 2023 pula

TESLA dilaporkan merancang untuk memulakan pengeluaran besar-besaran Cybertruck pada penghujung 2023, dua tahun selepas sasaran awal mereka iaitu 2021.

Reuters mendakwa maklumat ini diperolehi dari dua orang yang mempunyai pengetahuan mengenai perancangan ini, tetapi tiada perincian lain didedahkan dan Tesla juga tidak memberi maklum balas.

Bulan lepas, Tesla berkata mereka sedang mempersiapkan kilang di Austin, Texas untuk membina model baharu, dengan “produksi awal” dijangka bermula pertengahan 2023.

Imej oleh: CNBC

Elon Musk berkata semasa persidangan itu bahawa syarikat itu “dalam proses akhir untuk Cybertruck”.

Ini juga selari dengan kenyataan bahawa IDRA Group, iaitu syarikat Itali yang menghasilkan Giga Press seberat 9,000 tan yang akan digunakan untuk acuan Cybertruck, bahawa mesin itu sudah sedia untuk dibungkus dan dihantar.

Sejak prototaip Cybertruck didedahkan di penghujung 2019, Tesla telah menganjak waktu pengeluaran tiga kali, dari akhir 2021 ke akhir 2022, kemudian ke awal 2023, dan kini ke pertengahan 2023.

Semasa pendedahan pada 2019, Tesla Cybertruck dikatakan dijangka dijual pada harga permulaan sekitar USD40,000 (RM189,760).

Honda WR-V dilancar di Indonesia – SUV kompak 1.5L, inilah pesaing Perodua Ativa

INDONESIA menjadi negara pertama di dunia menerima Honda WR-V serba baharu. SUV segmen-B ini lebih kecil dari HR-V dan menjadi pesaing kepada Daihatsu Rocky dan Toyota Raize, iaitu kembar kepada Perodua Ativa.

WR-V mempunyai ukuran dimensi 4,060mm panjang, 1,780mm lebar, dan 1,608mm tinggi. Sebagai perbandingan dengan Ativa, WR-V ini 5mm lebih pendek, 70mm lebih lebar, dan 27mm lebih rendah. WR-V juga mempunyai kelegaan tanah sebanyak 220mm dan ruang kargo 380 liter.

Nadi kepada Honda WR-V ini ialah unit 1.5-liter NA dengan 121hp dan 145Nm tork. Output disampaikan ke roda depan melalui transmisi CVT.

Antara ciri pada WR-V (bergantung kepada varian) adalah lampu depan LED dengan DRL LED, rim 16- atau 17-inci, auto-lock, paparan instrumen analog dengan skrin MID 4.2-inci, enam pembesar suara, tempat duduk kombinasi kulit-fabrik, stereng balutan kulit, dan pendingin hawa automatik.

WR-V juga didatangkan dengan ciri keselamatan seperti Honda Sensing, ADAS, LaneWatch, dan enam beg udara. Pilihan warna untuk SUV kompak ini termasuklah Taffeta White, Meteoroid Gray Metallic, dan Crystal Black Pearl. Warna Stellar Diamond Pearl dan Ignite Red Metallic pula hanya untuk varian RS.

Untuk harga, Honda WR-V dijual pada harga bermula Rp.271.9 juta (RM82k) untuk E, hingga Rp.309.9 juta (RM94k) untuk RS dengan Sensing.

Sebagai perbandingan, Honda HR-V di Malaysia bermula pada harga RM114,800 manakala Perodua Ativa berharga antara RM62,500 hingga RM72,600.

Macam dalam video game! Pelumba NASCAR bergesel dengan dinding litar untuk menang

Pelumba Ross Chastain telah mengejutkan dunia NASCAR dengan membuat satu pemanduan yang biasa dilihat hanya dalam permainan video.

Semasa pusingan akhir dalam perlumbaan 500 pusingan itu, Chastain telah ke sisi luar litar hingga ke dinding dan terus menekan pedal minyak.

Dia telah memotong dari kedudukan ke-10 hingga ke-5 di dua selekoh akhir dan terus merampas takhta NASCAR Cup Series, menyingkirkan pesaingnya Denny Hamlin sebanyak 0.73 saat.

Jika anda biasa dengan permainan video, anda akan biasa dengan istilah ‘wall-riding’. Ianya satu teknik penuh kontroversi dimana anda sengaja menggunakan dinding litar di selekoh dan terus mara ke posisi depan.

Dalam satu temuramah selepas perlumbaan, Chastain sendiri mengaku teknik itu dillhamkan dari pengalamannya bermain permainan video NASCAR 2005 di Gamecube dengan abangnya semasa kecil.

Dia berkata ‘wall-riding’ itu boleh dilakukan dalam permainan video, tetapi dia tidak menyangka ianya boleh dilakukan dalam perlumbaan sebenar.

Perbuatan itu juga boleh menjadi sangat bahaya, dan Chastain mengaku dia “melepaskan roda stereng dan berharap tidak melanggar pintu masuk di selekoh keempat atau berlaku apa-apa sebarang perkara buruk”.

Mungkinkah selepas ini NASCAR akan mengharamkan teknik ‘wall-riding’ ini untuk mengelakkan pemandu lain dari mencuba untuk mengulanginya?

Ducati catat rekod jualan untuk Q3 2022, Multistrada V4 kekal model paling popular

DUCATI mencatatkan keuntungan terbaik lagi sekali untuk sembilan bulan pertama tahun 2022 dengan 872 juta Euro. Ini merupakan angka jualan terbaik untuk tempoh ini berbanding tahun-tahun sebelumnya, dengan pertumbuhan sebanyak 21 peratus berbanding 2021.

Keuntungan operasi juga meningkat dari 67 kepada 109 juta Euro berbanding sembilan bulan pertama untuk 2021, pertambahan sebanyak 62 peratus.

Dari segi angka penyerahan pula, sebanyak 49,873 unit diserahkan kepada pelanggan sejak awal tahun, sedikit peningkatan berbanding 2021 (49,719 unit).

Claudio Domenicali, CEO Ducati

Claudio Domenicali, CEO Ducati berkata: “Suku ketiga 2022 mencatatkan pertumbuhan kuat terhadap krisis bekalan dan logistik.

“Disebabkan pemulihan ini dan juga strategi cekap yang dijalankan dengan pembekal dan rakan kongsi, kami berjaya memenuhi permintaan penghantaran.

Tambahnya, “Prestasi kewangan yang baik ini sangat relevan untuk membiayai perancangan masa depan syarikat dan mengekalkan sifat dinamik Ducati berkenaan teknologi motosikal.”

China catat pertumbuhan terbesar

Itali masih menjadi pasaran terbesar dengan 8,283 motosikal diserahkan. Ini diikuti dengan Amerika Syarikat (6,595 unit) dan Jerman (5,701 unit).

Populariti jenama ini semakin meningkat di China, pasaran keempat terbesar Ducati, dimana pertumbuhan kekal positif untuk Q3, dengan 4,103 unit motosikal diserahkan. Ini mewakili pertumbuhan 15 peratus berbanding Q3 2021.

Multistrada V4 kekal model paling popular

Sementara itu, Multistrada V4 kekal menjadi model paling popular di suku ketiga ini, dengan 8,776 unit diserahkan kepada pelanggan seluruh dunia. Ini diikuti dengan Monster dengan 6,903 unit dan Scrambler 800 dengan 5,771 unit.

Lelaki ini hasilkan grafik kereta ringkas tetapi cool – Evo, CR-X, AE86, Audi Quattro dan banyak lagi

Kami pernah berkongsi beberapa artikel mengenai lakaran kereta sebelum ini seperti Proton Saga Knight moden, dan Proton Saga ala Seoul Vibe. Tetapi kedua-dua lakaran itu adalah rekaan dan imaginasi artis/pelukis semata-mata, tidak wujud kereta sebenar.

Kali ini, kami kongsikan lakaran kereta yang diambil dari kereta sebenar, cuma ia diolah cukup ringkas tetapi agak cool. Hinggakan kami rasa lakaran-lakaran ini boleh dijadikan poster dinding bilik tidur atau wallpaper telefon pintar.

Dihasilkan oleh Sajay Shinu dan dikongsi di laman Instagram beliau, pelbagai model kereta telah dilakar antaranya Mitsubishi Lancer Evo VI, Alfa Romeo 159 wagon, Honda CR-X, Porsche 935 Slant Nose, Volkswagen Golf Mk4 R32, dan kegemaran penulis, Peugeot 205 GTi.

Terdapat juga SUV seperti Volvo XC90, Mercedes-Benz G500, Land Rover Discovery dan Jeep Wrangler Overlook.

“Saya hanya menggunakan Photoshop pada peranti Wacom Cintiq untuk lakaran-lakaran ini,” kata Sajay kepada Engear.

Terdapat juga lakaran yang dibuat secara fizikal di atas kertas sebenar.

“Untuk lakaran atas kertas pula, saya menggunakan pen fountain, marker alkohol, dan ball point. Kemudian jenis kertas pula adalah multimedia paper,” terangnya.

Anda boleh lihat gambar-gambar lakaran lain di laman Instagram milik Sajay. Penulis pula rasa berminat nak mintak dia lakarkan Proton Satria GTi atau Perodua Myvi. Amacam?

Ferrari kembali dalam Le Mans Hypercar selepas 50 tahun, pertaruhkan dua jentera 499P

FERRARI akan kembali ke siri perlumbaan Le Mans Hypercar tahun depan, dan akan mempertaruhkan jentera yang diberi nama 499P.

499 merujuk kepada kapasiti enjin dalam sentimeter kubik (cc) untuk setiap silinder, manakala P merujuk kepada ‘prototype’.

Ferrari 499P ini akan dikuaskan oleh enjin 3.0-liter V6 twin turbo. Menurut Ferrari, enjin menggunakan cara binaan sama dengan 3.0-liter V6 pada 296 GTB, tetapi ianya “bukan enjin yang sama”.

Enjin ini akan menjana sehingga 680hp dan dipadankan dengan kotak gear sequential 7-kelajuan dan motor elektrik berkuasa 272hp (200kW).

Kuasa motor elektrik dibekalkan oleh unit bateri 900 volt yang mampu dicaj semula semasa kereta diperlahankan atau dibrek.

Ferrari 499P ini ‘memakai’ livery merah dan kuning yang mengambil inspirasi dari 312PB dari tahun 1970an.

Dua jentera 499P akan membawa nombor perlumbaan #50 dan #51. Nombor pertama bermaksud 50 tahun sejak kali terakhir mereka bersaing dalam kategori tertinggi Le Mans, manakala nombor kedua merujuk kepada angka biasa digunakan jentera luma GT Ferrari.

499P ini telah menjalani lebih dari 12,000km ujian dengan dua unit prototaip akan dihomologasi sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.

Jentera-jentera ini akan mula membuat kemunculan di perlumbaan WEC Sebring 1000 Miles pada Mac 2023 depan.

Gara-gara aksi ‘drift’ di Thailand, pemandu BMW warga Malaysia bayar ganti rugi lebih RM12k

GARA-gara melakukan drift atau lebih tepat lagi aksi ‘donut’ di tempat letak kereta, seorang warga Malaysia terpaksa membayar ganti rugi hampir 100,000 baht (RM12,438) kepada empat pemilik kenderaan di Hatyai, Songkhla, selatan Thailand.

Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari (waktu tempatan) pada Jumaat lalu, pemandu berusia 32 tahun yang memandu BMW itu membuat aksi berkenaan di tempat letak kereta di sebuah kem gajah, Chang Puak Camp, Hatyai.

Susulan aksi ‘donut’ itu, sebuah kereta dan tiga lagi tuk-tuk berdekatan mengalami kerosakan termasuk cermin pecah dan calar.

Tanpa menyedari kerosakan pada kenderaan lain, pemandu itu beredar dari tempat kejadian.

Ketua Polis Pelancong Hatyai, Left Kol Anuwat Rithichai, berkata pemilik kenderaan yang mengalami kerosakan itu membuat laporan polis pada Jumaat.

“Polis berjaya mengesan kenderaan dipandu lelaki warga Malaysia itu di Kompleks Imigresen, Kastam, dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Thailand kira-kira jam 6 petang semalam.

“Pemandu itu bersama isterinya dibawa ke balai polis untuk bertemu pemilik kenderaan yang terjejas,” katanya pada sidang media hari ini.

Anuwat berkata, kedua-dua pihak bersetuju pemandu berkenaan membayar ganti rugi sebanyak 99,000 baht kepada empat pemilik kenderaan terbabit.

Lelaki itu turut memohon maaf kerana tidak menyedari aksinya menyebabkan kerosakan pada kenderaan lain.

Thailand bakal jadi negara pertama ASEAN dapat Toyota GR Corolla – Malaysia menyusul?

BAGI mereka yang terlepas membeli Toyota GR Yaris, kini ada berita baik kerana pengeluar Jepun itu akan mengeluarkan satu lagi hot hatch AWD (pacuan semua-roda) berprestasi tinggi, iaitu GR Corolla.

Dan dalam perkembangan terbaharu, GR Corolla itu akan mula memasuki pasaran Asia Tenggara (ASEAN) hujung tahun ini, lebih tepat lagi, ia akan dilancarkan di Thailand tidak lama lagi.

Menurut Autonetmagz, presiden Toyota, iaitu Akio Toyoda sendiri akan terbang ke Thailand untuk melancarkan kereta itu nanti.

Walaubagaimanapun, dikhabarkan hanya 10 unit GR Corolla akan ditawarkan untuk pasaran Thailand. Sebelum ini, Thailand mendapat 71 unit GR Yaris berbanding 127 unit untuk Malaysia.

Mungkinkah kita akan mendapat lebih banyak unit GR Corolla juga? Hanya masa akan menentukan. Yang pasti sekarang, Thailand akan menjadi negara pertama di ASEAN mendapat hot hatch itu.

GR Corolla berkongsi banyak komponen powertrain dengan GR Yaris, iaitu enjin 1.6-liter turbo 3-silinder dengan 304hp dan 370Nm tork, sistem AWD GR-Four, dan kotak gear manual 6-kelajuan.

Terdapat juga mod pemanduan Normal, Sport, dan Track yang masing-masing memberikan agihan kuasa depan ke belakang 60:40, 30:70, dan 50:50.

Perbezaan ketara antara kedua-dua model ini semestinya badannya dimana GR Corolla merupakan kereta 5-pintu berbanding GR Yaris (3-pintu).

GR Yaris semasa dilancarkan berharga RM299,000 atas jalan tanpa insurans, lengkap dengan Performance Pack sebagai standard. Berapa agaknya harga GR Corolla nanti?

Kit M Performance ini menjadikan BMW M2 2023 lebih sporti dan dinamik

BMW telah memperkenalkan M2 2023 baru-baru ini yang menimbulkan kontroversi dan perdebatan mengenai rupa parasnya. Dan kali ini, pengeluar Jerman itu melancarkan pula komponen M Performance untuk coupe sports ini.

Ia menjadikan BMW M2 ini lebih agresif, hampir seperti jentera lumba. Kesemua panel badan tambahan di depan, sisi, dan belakang adalah dari CFRP (carbon fibre reinforced plastic). Spoiler belakang boleh ditukar dengan sayap lebih besar.

Gentian karbon juga digunakan pada perumah cermin sisi dan ruang kemasukan udara di depan yang dikritik hebat. Item M Performance lain di luar ini termasuklah tali tunda merah, pelekat hitam, dan tulisan “M Performance” di skirt sisi.

M Performance turut memberikan pilihan rim aluminium dengan warna Jet Black atau Frozen Glod Bronze, dengan saiz 20-inci di depan dan 21-inci di belakang.

Modifikasi tidak terhad kepada kosmetik, kerana bahagian ekzos contohnya mendapat naik taraf. Ia kini menggunakan peredam titanium yang 8kg lebih ringan, serta flap yang dikawal secara elektronik. Flap ini akan memberikan bunyi berbeza bergantung sama ada menggunakan mod Sport atau Sport+.

Dari segi pengendalian pula, ia ditingkatkan melalui spring yang boleh dilaras ketinggian. M2 dengan M Performance boleh direndahkan sehingga 10mm untuk pengendalian lebih tajam.

Pakej M Performance ini juga merangkumi beberapa barangan di bahagian dalam seperti kemasan gentian karbon dan Alcantara, stereng Pro dengan pedal penukaran gear gentian karbon, dan jahitan dengan warna M.

BMW berkata barangan M Performance ini boleh mula didapati April depan selepas M2 mula dijual.