fbpx

Subaru Crosstrek 2023 diperkenalkan – nama XV tidak lagi digunakan

Subaru Crosstrek 2023 01

SUBARU telah memperkenalkan Crosstrek generasi baharu di Jepun. Dengan model generasi ketiga ini, nama XV yang digunakan di beberapa pasaran termasuk Malaysia telah digugurkan, bermakna ia akan dikenali sebagai Crosstrek di peringkat global.

Untuk model tahun 2023, SUV kompak ini masih lagi mengguna pakai platform Subaru Global Platform (SGP) namun ia diberikan reka bentuk yang lebih segar, pengendalian lebih selesa serta beberapa teknologi baharu termasuk trenkuasa hibrid.

Dari segi saiz, model baharu ini mempunyai ukuran panjang 4,480 mm, lebar 1,800 mm dan tinggi 1,580 mm, menjadikan ia 15 mm lebih panjang dan 35 mm lebih rendah berbanding model sedia ada. Panjang tapak roda pula bertambah sebanyak 5 mm kepada 2,670 mm.

Sementara itu, jarak lega tanah adalah 200 mm, manakala radius pusingan adalah sekitar 5.4 meter.

Perubahan terbesar reka bentuk Crosstrek boleh dilihat pada bahagian depan, di mana ia mendapat gril heksagon lebih besar yang bersambung dengan lampu LED yang lebih langsing, serta kemasan plastik hitam berbentuk C pada bampar.

Profil sisinya tidak begitu berbeza, cuma ia diserlahkan lagi dengan kemasan plastik hitam seperti yang terdapat pada WRX dan pilihan rim aloi berukuran 17 atau 18 inci. Di belakang, lampu berbentuk C dan pintu tailgate diberikan rekaan yang lebih menonjol.

Masuk ke dalam, anda akan menemui papan pemuka yang direka semula bagi memuatkan skrin sistem infohibur berukuran 11.6 inci yang disusun dalam format potret. Bagaimanapun, ia masih tidak mendapat kluster instrumen digital.

Selain itu, Crosstrek didatangkan dengan kerusi baharu yang dikatakan lebih selesa dengan fungsi sokongan tulang pinggul. Struktur tapak kerusi juga telah direka semula bagi mengurangkan gegaran, sekaligus meningkatkan keselesaan.

Subaru turut menggunakan bahan penyerap gegaran pada panel bumbung bagi mengurangkan tekanan bunyi yang terhasil daripada gegaran dan meningkatkan prestasi redaman bunyi di dalam kabin.

Di bawah bonet, terdapat enjin hibrid 2.0-liter e-Boxer yang digandingkan dengan transmisi Lineatronic CVT dan sistem pacuan AWD Symmetrical. Jumlah kuasa dan tork tidak didedahkan namun menurut Subaru, trenkuasa itu telah ditambah baik bagi mengurangkan gegaran dan bunyi bising.

Untuk keselamatan pula, Crosstrek mendapat sistem EyeSight generasi baharu yang menggunakan perisian baharu dan kamera mono sudut lebar yang boleh mengesan motosikal dan pejalan kaki.

Lihatkan Ulasan (1)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved